Loh Seng Kok

Parlimen Malaysia

Barisan Nasional MCA

Loh Seng Kok 卢诚国
Member of Parliament for Kelana Jaya
雪州格拉那再也区国会议员
(2004 - Feb 2008)

Today is 

Pages on this website have been viewed
Hit Counter
times

(Extracted from hansard dated 11-12-2007)

 

3.32 ptg.

Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua memberi peluang kepada saya untuk membahaskan rang undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan umur persaraan seorang anggota ataupun ahli Majlis Suruhanjaya Pilihan Raya.

Saya tidak akan pergi ke hujah-hujah yang telah pun dibangkitkan oleh rakan-rakan dalam Dewan ini. Cuma Tuan Yang di-Pertua, kita sedar bahawa terdapat individu yang lanjut usia dan memiliki kesihatan yang lebih baik berbanding sebelumnya. Mengikut Jabatan Statistik Malaysia sehingga tahun 2005, terdapat 1.66 juta warga tua berumur melebihi 60 tahun di Malaysia dan bilangan itu akan terus meningkat pada tahun 2020. Jumlah yang dijangkakan ialah 3.21 juta orang atau 9.5% daripada jumlah penduduk Malaysia.

Maka saya rasa apabila kita membentangkan cadangan pindaan rang undang-undang pada hari ini, maka pihak pentadbiran kerajaan boleh menjelaskan apakah ini satu sebagai satu usaha selaraskan dengan polisi kebangsaan bagi warga tua yang telah dirumuskan pada tahun 1995 bagi menjamin integrasi dan penglibatan warga tua dalam proses pembangunan serta menggunakan potensi dan pengalaman yang ada pada golongan warga tua. Sehubungan dengan itu Tuan Yang di-Pertua, umur persaraan rasmi di Malaysia ialah 56 tahun. Akan tetapi ramai yang masih berupaya dan berkebolehan untuk bekerja dan ingin bekerja telah dipaksa untuk bersara dalam pekerjaan tetap mereka.

Sepertimana yang diperhatikan oleh Kumpulan Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan, SUHAKAM yang mengatakan tentang hak warga tua. Maka apa yang kita lakukan hari ini menaikkan umur persaraan seseorang anggota SPR, apakah ini dianggap sebagai salah satu indikasi awal ataupun langkah awal menyahut seruan SUHAKAM melanjutkan umur persaraan rasmi di Malaysia kepada 60 tahun. United Nation World Assembly on Aging, dengan izin yang diadakan di Vienna pada tahun 1982 menerima pakai umur 60 tahun bagi membincangkan isu-isu berkaitan dengan peningkatan usia. 

Tuan Yang di-Pertua, kita percaya bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya sekian lama telah berusaha untuk memantapkan sistem pendaftaran pemilih atau pengundi dan juga kelayakan daftar undi selama ini. Seperkara yang kita perhatikan selama ini, SPR telah cuba mengemaskinikan daftar undi supaya tidak ada pengundi hantu seperti mana yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu.

Walau bagaimanapun ramai lagi yang belum daftar, yang layak daftar tapi belum lagi daftar. Maka saya rasa perkara ini perlu dilihat oleh pihak SPR supaya mereka yang layak yang menjadi warganegara perlulah kita gesa mereka untuk mendaftar diri sebagai pemilih. Berkaitan dengan pemilih hantu yang didakwa oleh pihak-pihak yang tertentu, kita tahu bahawa ada yang telah meninggal dunia selepas pewartaan senarai ataupun daftar pengundi itu.

Walau bagaimanapun kita percaya bahawa dalam era ICT ini kita boleh menggunakan peralatan atau mekanisme yang tertentu untuk menghubungkan Jabatan Pendaftaran Negara ataupun pihak-pihak tertentu dengan Suruhanjaya Pilihan Raya supaya walaupun mereka baru sahaja meninggal dunia tetapi ada petunjuk, adanya maklumat ataupun catatan dalam data undi itu memaklumkan bahawa orang ini baru sahaja meninggal dunia. Maka saya rasa perkara ini boleh dilakukan oleh pihak SPR.

Tuan Yang di-Pertua, negara kita membenarkan mereka yang berumur 21 tahun berdaftar sebagai pengundi. Di negara-negara seperti Australia saya dimaklumkan bahawa mereka yang layak mengundi adalah 18 tahun dan sekarang ini mereka mengkaji apakah membenarkan mereka yang berusia dianggap telah menjadi umur dewasa dengan izin age of puberty yang berumur 16 tahun yang telah berumah tangga dianggap sebagai dewasa boleh didaftar sebagai pengundi. Maka apakah pandangan dan langkah yang diambil oleh pihak kerajaan untuk melihat perkara ini. Termasuk juga ada pihak-pihak tertentu dari segi agama memandangkan bahawa sekiranya seseorang itu adalah dewasa kerana bagi kaum wanita dia datang haid maka dia anggap dewasa boleh membuat keputusan, maka juga dianggap sebagai umur dewasa. Maka perkara-perkara seperti yang ini perlu juga diteliti oleh pihak institusi pentadbir kerajaan supaya memperjelaskan kepada rakyat jelata tentang tindakan mengundi ini.

Tuan Yang di-Pertua dalam sistem pilihan raya yang diamalkan dalam negara kita ialah sesiapa yang berhak mengundi akan dibenarkan undi dan kalau ada sesiapa yang menghalang seseorang yang menghalang seseorang menunaikan tanggungjawab untuk mengundi adalah merupakan sesuatu kesalahan. Dalam hal ini kita tahu bahawa telah pun diadakan golongan tertentu seperti anggota polis, ataupun angkatan tentera diberi peluang mengundi melalui undi pos. Akan tetapi ada golongan yang berhak mengundi tetapi tidak diberi peluang mengundi atas alasan tugasan kerja dan kerjaya.

Saya petik dua contoh. Golongan yang pertama, mereka yang berkhidmat di dalam bidang industri penerbangan seperti dalam syarikat penerbangan MAS di mana saya difahamkan MAS mempunyai juruterbang lebih kurang 1000 orang dan beribu-ribu pramugara dan pramugari. Setiap hari purata juru terbang yang bertugas adalah 400 orang dan lebih kurang 2000 pramugara dan pramugari bertugas dalam hari mengundi. Maka bila tibanya hari mengundi tetapi kerana tugas mereka, maka mereka tidak dapat mengundi.

Golongan yang kedua ialah mereka yang terlibat dalam bidang kewartawanan. Sama ada wartawan ataupun jurugambar. Sama ada datang daripada swasta atau kerajaan termasuklah NST, The Star, Berita Harian dan juga mereka yang berkhidmat di RTM kerana pada hari undi, mereka diarah untuk membuat liputan di sana, di situ. Maka mereka tidak diberi peluang untuk mengundi. Maka saya rasa pihak SPR juga perlu melihat apakah mekanisme yang perlu diadakan supaya membolehkan orang-orang seperti ini mendapat peluang untuk mengundi.

Tuan Yang di-Pertua, sebentar tadi Yang Berhormat Santubong telah mengatakan bahawa beliau telah menerima beberapa surat untuk memohon beliau bersuara di Dewan supaya beliau mengundi tidak menyokong bil ini. Saya di sini telah pun menerima tiga pucuk surat daripada tiga orang walaupun mereka tidak memberikan kebenaran kepada saya untuk menyebut nama mereka, tetapi mereka mahukan saya menyuarakan bagi pihak mereka. Saya rasa ada wajarlah saya sebut nama mereka mungkin ada kawan-kawan kita kenal mereka. Yang pertama adalah datang daripada Amilia Vijayamala dan keduanya Prabha yang ketiganya Yap Yoke Yin. Kesemuanya telah mengutarakan reservation dengan izin mereka tentang rangkaian yang hendak diambil hari ini. Saya petik beberapa sahaja..

… Pertamanya dengan izin “First request to clean up the EC and the electoral system and process to ensure a fair and democratic election as provided under the constitution”. Saya mungkin tahu niat soalan ini tetapi saya mintalah pihak kerajaan untuk menjelaskan apakah sebab selama ini tidak adanya satu sistem yang ada kepada semua? Bukankah kita membenarkan sistem ini membolehkan pihak pembangkang pun boleh menang dalam pilihan raya.

Kedua, dengan izin saya petik “I demand a new impartial Chairman of the EC who will work for us without fear and favour and ensure a fair and democratic election process now and in future”.

Ketiga, saya petik “It is most disturbing to learn that our constitution has been amended so many times from the time when it was first grounded up and presently for the most trouble reason of extending the terms or just a mere civil servant”

Apakah anggapan-anggapan ini benar? Saya mintalah pihak kerajaan dapat menjawab soalan-soalan ini, kerana saya tidak perlu menjawab dan saya tahu apa yang diperlukan oleh saya untuk mewakili rakyat di kawasan saya dalam hal menguruskan undang-undang untuk meminda Perlembagaan pada hari ini. Dengan itu sekian, terima kasih.

 

Send mail to mpcentre@kelanajaya.com.my with questions or comments about this web site.
Copyright © 2004 - 2009 Loh Seng Kok 卢诚国
Last modified:  Friday, May 22, 2009