Loh Seng Kok

Parlimen Malaysia

Barisan Nasional MCA

Loh Seng Kok 卢诚国
Member of Parliament for Kelana Jaya
雪州格拉那再也区国会议员
(2004 - Feb 2008)

Today is 

Pages on this website have been viewed
Hit Counter
times

(extracted from hansard dated 06-12-2007)

6.50 ptg.

Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: Terima kasih Tuan Pengerusi, Butiran 041000 – Kurang Upaya. Tuan Pengerusi, kita masyarakat Malaysia yakin dan mengiktiraf ke atas keupayaan, kebolehan dan ketekunan dan juga kesungguhan golongan OKU untuk menjalankan kehidupan yang berjaya. Malahan ramai OKU itu lebih berjaya dalam hidup mereka berbanding dengan orang-orang yang normal. Maka, dengan itu saya rasa tafsiran OKU yang diguna pakai sekarang ini mempunyai konotasi negatif, konotasi putus asa dan juga kurang motivasi. Maka saya rasa pihak kementerian perlu melihat dan meneliti agar OKU ini ditafsirkan semula sebagai Orang ‘Kuat’ Upaya, itu yang pertama.  

Yang keduanya saya nak tanya sejauh manakah autoriti ataupun perakuan diberikan kepada kad OKU yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana saya lihat ada agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan juga syarikat-syarikat tertentu seperti syarikat pengangkutan awam tidak memperakui kad OKU yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan.

Malahan apabila mereka mohon untuk diskaun pengangkutan awam seperti dalam perkhidmatan bas, maka mereka disuruh untuk isikan borang lain untuk mendapatkan pengesahan doktor dan juga perlulah dapat satu kad lagi untuk memohon mendapatkan diskaun dalam tambang bas dan sebagainya manakala pihak berkuasa tempatan mereka kata kemudahan yang diberikan untuk peniaga, lesen dan juga penjaja itu sama saja kepada semua dan tidak ada layanan yang istimewa. Maka saya rasa perkara ini perlu dilihat supaya kita dapat memperkasakan kad autoriti yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Yang ketiga, tentang Butiran 01800 – Pusat Khidmat Setempat OKU. Saya nak bertanya tentang Pusat Khidmat Setempat OKU ini, apakah kemudahan-kemudahan yang disediakan dan juga khidmat kepakaran yang ada ditawarkan di Pusat Khidmat Setempat OKU ini supaya kita dapat memberi perkhidmatan yang lebih cemerlang dan dapat membantu golongan OKU dalam hal ini.

Saya difahamkan dalam kawasan Parlimen Kelana Jaya iaitu kawasan Subang Jaya akan ditubuhkan, dibina satu pusat khidmat setempat tapi tidak tahu di mana dan berapakah jumlah peruntukan yang disalurkan untuk pembinaan sesebuah pusat khidmat setempat ini. Minta penjelasan dalam hal ini.

Tuan Pengerusi, kalau di sekolah-sekolah biasa yang mana adanya Kelas Pendidikan Khas, guru-guru pendidikan khas ini diberi elaun RM250 sebulan, tambahan kepada mereka kerana menggunakan kemahiran tertentu untuk mengajar dan mendidik dan membimbing kanak-kanak khas tetapi saya rasa bagi sekolah kanak-kanak pekak contohnya di mana guru-guru biasa tak dapat mengajar kanak-kanak yang pekak kerana ini memerlukan kemahiran dan juga mengetahui bahasa-bahasa isyarat. Maka saya rasa perlulah pihak kementerian supaya memberi juga elaun khas ini kepada guru-guru yang mengajar bahasa isyarat di sekolah kanak-kanak pekak dan saya harap perkara ini dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin.

Dan perkara yang seterusnya adalah Butiran 040300 – Kaunseling. Tuan Pengerusi, dalam hal ini saya telah melawat beberapa pusat pemulihan dadah yang dianjurkan oleh pihak badan bukan kerajaan dan saya melihat bahawa kejayaan bimbingan dan juga kaunseling oleh para kaunselor ini memang berjaya dan lebih efektif dan lebih komited kalau berbanding dengan kaunselor di pusat serenti kerana kejayaan pemuliharaan di pusat-pusat pemulihan dadah NGO ini dapat dilihat kesannya tetapi malangnya mereka tidak diiktiraf oleh pihak kerajaan terhadap keupayaan kaunseling mereka. Mungkin mereka kurang mahir, arif dalam teori tetapi secara praktikalnya, mereka lebih mahir dan memang berkesan dalam hal ini. Maka saya memohon kepada pihak kementerian supaya para kaunselor di pusat-pusat pemulihan dadah NGO ini dapat diberi pengiktirafan yang sewajarnya. Sekian, terima kasih.

 

Send mail to mpcentre@kelanajaya.com.my with questions or comments about this web site.
Copyright © 2004 - 2009 Loh Seng Kok 卢诚国
Last modified:  Friday, May 22, 2009