Loh Seng Kok

Parlimen Malaysia

Barisan Nasional MCA

Loh Seng Kok 卢诚国
Member of Parliament for Kelana Jaya
雪州格拉那再也区国会议员
(2004 - Feb 2008)

Today is 

Pages on this website have been viewed
Hit Counter
times

(Extracted from hansard dated 29-11-2007)

 

4.48 ptg.

Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya hendak bangkit tentang Butiran 020000 Pendidikan Rendah dan Menengah, dikaitkan dengan Butiran 020100 - Pengurusan Sekolah dan Butiran 020300 - Pendidikan Rendah dan juga dalam maksud pembangunan Butiran 03501 - Ubahsuai Naik Taraf Rendah.

Tuan Pengerusi, isu yang pertama tentang urusan penggredan semula sekolah. Penggredan sekolah dilaksanakan setiap tiga tahun sekali. Urusan penggredan sekolah ini yang terakhir dilakukan adalah pada November 2001. Maksudnya sampai sekarang tidak ada penggredan semula dilakukan lagi. Perkara ini saya telah bawa selama tiga tahun berturut-turut khususnya bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chee Wen Subang Jaya.

Tuan Pengerusi, sekolah ini masih dalam gred B dan tahun ini bilangan pelajar adalah 2,117 orang, tahun depan diluluskan oleh Jabatan Pelajaran ialah 2,500 pelajar, tapi masih gred B. Tahun lepas apabila saya bangkitkan semula perkara ini, Timbalan Menteri sendiri menjawab bahawa sekolah ini telah pun dimasukkan ke dalam senarai permohonan kementerian ke JPA untuk diubah status gred sekolah, tapi sampai sekarang tak ada berita lagi. Apakah yang berlaku setelah dilaporkan ke kementerian atau di jabatan ataupun di JPA? Sama juga berlaku di sekolah pada tahun ini, iaitu sekolah dua sesi. Sebelum dibenarkan membuat dua sesi, sekolah telah pun memohon untuk mewujudkan jawatan penyelia petang.

Namun, sampai sekarang tidak ada penyelia petang, tahun hadapan pun tidak tahu macam mana. Tahun hadapan pun dua sesi juga Tuan Pengerusi. Saya minta agar pihak kementerian dapat melaksanakan dengan secepatnya tentang hal ini. Keduanya tentang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Seaport saya dimaklumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Kerja Daerah bahawa kementerian akan dipanggil untuk membina sekolah tersebut yang hanya mempunyai 10 bilik darjah. Tuan Pengerusi, tapak sekolah ini terletak di Kampung Lindungan PJS 6 di mana kawasan tersebut kawasan Desa Mentari, Desa Ria, Bandar Sunway, dan sebagainya mempunyai populasi masyarakat India yang agak tinggi.

Anggaran bahawa lebih daripada tiga ribu buah keluarga India. Hanya dibina 10 bilik darjah, saya rasa ini tidak munasabah. Walaupun ia dibina di atas tapak satu ekar sahaja. Apabila saya tanya soalan ini, pihak Kementerian Pelajaran tidak dapat jawab soalan saya dalam mesyuarat tersebut bahawa tidak diluluskan atau tidak dilihat oleh pihak Jabatan Pelajaran tentang spesifikasi yang ditentukan. Apakah ini adalah ditentukan mengikut spesifikasi yang ditentukan oleh Kementerian Pelajaran. Di mana saya cadangkan untuk membina 24 bilik darjah dan kemudahan-kemudahan yang lain mengikut spesifikasi yang ditentukan oleh pihak kementerian. Saya minta agar perkara ini dapat dilihat semula dan diteliti oleh pihak kementerian yang berkaitan.

Ketiga, Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan, PJS 10. Saya bangkitkan hal ini dalam di peringkat Jawatankuasa Kementerian Kerja Raya tetapi dia kata rujuk balik kepada Kementerian Pelajaran kerana ini adalah projek Kementerian Pelajaran. Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan PJS10 Tuan Pengerusi, pembinaan sekolah ini telah dilanjutkan dua kali tempohnya dan telah siap tahun lepas bulan Ogos. Apabila siap sekolah tersebut, pihak sekolah dan ibu bapa telah berjumpa dengan saya merayu agar mendapatkan peruntukan tambahan untuk membaik pulih padang sekolah. Tahun ini sukan diadakan di atas gelanggang sepak takraw dan tapak badminton. Bukannya di atas padang sekolah, kerana padang sekolah tidak boleh dipakai.

Maka kita mencadangkan untuk menjemput pihak Yang Berhormat Menteri, Timbalan Menteri Setiausaha Parlimen dan juga Ketua Setiausaha Kementerian untuk merasmikan sekolah bukan sahaja untuk merasmikan sekolah tetapi merasmikan padang sekolah tersebut di mana mengadakan satu perlawanan persahabatan di antara anggota pentadbiran dengan ketua pengarah dan juga pegawai-pegawai kementerian dan juga kontraktor yang berkaitan supaya adakan satu perlawanan persahabatan di situ. Macam mana padang sekolah di situ. Haraplah perkara ini dapat diambil perhatian.

Perkara tentang pendidikan khas Tuan Pengerusi, 030200 yang juga 01300 - Pendidikan Khas. Sekarang ini setiap guru pendidikan khas sekolah-sekolah telah diberi elaun tambahan RM250 sebulan. Tahniah dan syabas, kerana memanglah pendidikan khas ini merupakan satu perkara yang susah kerana kena mendidik dan membimbing kanak-kanak istimewa. Saya minta agar elaun RM250 ini juga diberikan kepada guru-guru yang mengajar di sekolah kanak-kanak pekak. Ini kerana mereka juga memerlukan skill kemahiran yang tertentu dan mereka lebih pakar dalam hal ini. Maka saya minta agar guru-guru pendidikan khas di Sekolah Kanak-Kanak Pekak Selangor juga diberikan elaun tersebut. Sehingga sekarang tidak ada elaun yang diberikan kepada mereka.

Tentang yuran khas, pengurusan sekolah, yuran khas di mana kita telah dimaklumkan bahawa yuran khas untuk sekolah rendah RM4.50 dan sekolah menengah RM9 akan dimansuhkan mulai tahun hadapan. Ini bermaksud pembiayaan untuk aktiviti peralatan sukan, perpustakaan, seni lukis dan pertukangan tangan akan ditanggung sepenuhnya oleh kementerian melalui geran per kapita PCG. Saya hendak tanya, oleh kerana tanggungan yang lebih apakah kadar PCG akan dinaikkan untuk diberikan kepada sekolah, ini yang pertama. Keduanya, apakah kadar PCG untuk sekolah luar bandar, sekolah kurang murid akan diberi lebih berbanding dengan sekolah-sekolah yang lain kerana mereka memerlukan lebih banyak perbelanjaan.

Sehubungan dengan perkara itu juga Tuan Pengerusi, bayaran tambahan telah pun diumumkan oleh pihak kementerian dan yang mengelirukan masyarakat ialah tentang bayaran tambahan ialah tentang kertas ujian dalaman, sukan tahunan sekolah dan juga skim lindungan diri dan MSSM. Persoalannya ialah pertama, adanya pakej yang berlainan, apakah kos bekalan kertas ujian ini di kawasan luar bandar dan kawasan bandar itu berlainan kosnya. Maka perlulah ada pakej-pakej yang berlainan, itu yang pertama. Keduanya, skim perlindungan insurans dan MSSM. Kita hendak tanya mengapa semuanya sama, ada yang katakan di bandar risiko lebih tinggi, maka perlu lebih tinggi. Maka apakah adakan kadar bayaran yang berlainan, termasuk juga yuran MSSM. Tentang ini sebab peluang kemudahan latihan untuk pelajar luar bandar dan bandar berlainan, mengapa yuran ini sama sahaja untuk semua? Maka saya minta agar pihak kementerian dapat melihat semula perkara ini.

Akhir sekali Tuan Pengerusi, ialah tentang pengurusan buku teks. Saya minta agar pihak kementerian dapat memberikan buku teks sama rata dan semua dibekalkan kepada semua sekolah, sama ada sekolah bantuan kerajaan seperti mana yang dijanjikan termasuklah buku teks untuk mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa-bahasa yang berkaitan, terima kasih Tuan Pengerusi.

 

Send mail to mpcentre@kelanajaya.com.my with questions or comments about this web site.
Copyright 2004 - 2009 Loh Seng Kok 卢诚国
Last modified:  Friday, May 22, 2009