Loh Seng Kok

Parlimen Malaysia

Barisan Nasional MCA

Loh Seng Kok 卢诚国
Member of Parliament for Kelana Jaya
雪州格拉那再也区国会议员
(2004 - Feb 2008)

Today is 

Pages on this website have been viewed
Hit Counter
times

(Extracted from hansard dated 22-11-2007)

 

12.05 tgh.

Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Maksud P. 27, Butiran 02000 - Skim mengatasi Kesesakan Lalu Lintas, Butiran 20000 - Membina Persimpangan Bertingkat dan Jejambat, Butiran 21000 yang juga berkaitan dengan Membina Persimpangan Bertingkat (Projek Baru).

Isu pertama Tuan Pengerusi, Yang Berhormat Menteri. Lebuh Raya Damansara Puchong, LDP sudah bertahun-tahun saya bercakap dengan hal ini masih berlakunya kesesakan iaitu Plaza Tol LDP di Bandar Sunway. Selepas tol jam, sebelum tol pun jam. Tuan Pengerusi, mungkin saya rasa perlu ada satu skim integrasilah untuk mengatasi kesesakan lalu lintas di lebuh raya LDP di sini.

Mungkin saya boleh cadangkan, kalau kita lihat dalam PBT ada pelbagai kadar dikenakan kepada luar bandar dan dalam bandar untuk assessment dan sebagainya, dan bagi syarikat telekomunikasi hand phone sama ada Maxis ataupun Celcom adanya kadar off peak adanya kadar peak hours. So, oleh itu bila kadar dalam waktu peak dia lebih mahal, kadar off peak dia lebih murah. Maka saya ingin mencadangkan kepada Yang Berhormat Menteri supaya mengkaji, apakah kita boleh melaksanakan satu kadar sebegini, satu skim macam ini supaya dalam waktu peak adanya kadar berlainan dan waktu off peak yang berlainan, tetapi perlu disepadukan dengan insentif yang diberikan seperti mereka yang menggunakan kad ETC, Electronic Toll Collection sistem di Amerika Syarikat dan juga Canada, EZ pass.

Mereka yang menggunakan ETC ini maka diberikan diskaun dan laluan-laluan di dalam plaza tol itu ditambahkan untuk kemudahan mereka yang menggunakan kad ETC. Itulah saya hendak cadangkan supaya dikaji agar dapat dilaksanakan di kawasan di Lebuh Raya LDP, di Plaza Tol LDP di Bandar Sunway. Kalau tidak dapat dilaksanakan mungkin Yang Berhormat Menteri boleh fikirkan, cadangkan kepada Kabinet supaya buangkanlah plaza tol tersebut kerana sebelum tol, selepas tol jam, tidak ada orang yang suka maka bayar pun jam tidak bayar pun jam, mengapa pula? Selepas bayar pun jam, okey itu yang pertama.

Yang keduanya, jalan penyambung Subang-Kelana dan sedang dilaksanakan oleh Ahmad Zaki Resources Berhad di Jalan Kewajipan Subang Jaya. Tuan Pengerusi, projek ini dimulakan pada tahun 2004, dua kali dilanjutkan tempoh dan sepatutnya habis dilaksanakan tahun ini bulan Jun 2007, dilanjutkan lagi sehingga tahun depan 2008, Disember. Apa yang saya hendak tanya ialah seperti mana berapa kali saya bangkitkan perkara ini, skop kerja jalan penyambung Subang-Kelana ini, setakat ini hanya sampai di hadapan Kompleks 3K Jalan Kewajipan melepasi Sekolah Sri Kuala Lumpur dan Bulatan Kewajipan.

Skop ini hanya berhenti di hadapan traffic light, lampu isyarat sebelum melintasi Lebuh Raya KESAS ke USJ. Oleh itu saya hendak cadangkan, ini masih akan jadi bottleneck di traffic light sebelum melintasi KESAS, dan saya hendak cadangkan agar dilanjutkan lagi projek ini supaya, bukan lanjutkan tempoh tetapi panjangkan lagi skop kerja ini supaya lebih kurang 800 meter hingga 1,000 meter sahaja, melintasi KESAS dan selepas Kompleks Summit menurun di Persiaran Murni dan Persiaran Subang Permai. Maka ini akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan di situ. Itu perkara yang kedua.

Perkara yang ketiga ialah LDP lagi. LDP mempunyai beberapa persimpangan U-Turn di sepanjang lebuh raya ini. Ini dapat memberi keselesaan kepada rakyat yang berulang alik, yang membuat pusingan U–Turn di mana-mana di sepanjang LDP. Ini adalah suatu perkara yang baik. Oleh itu saya hendak mencadangkan kepada Yang Berhormat Menteri supaya, New Pantai Express Way (NPE) pun mempunyai persimpangan pusing-U bertingkat sedemikian sebab sebelum pelaksanaan NPE, penduduk-penduduk di Bandar Sunway, PJS 5, PJS 6 dan PJS 7 dapat berulang alik dengan senang.

Selepas pembinaan NPE, penduduk-penduduk telah dipisahkan di antara PJS 6 dan juga PJS 7. Sekolah-sekolah terletak di kawasan PJS 7. Seperti SMK Bandar Sunway yang terletak di sebelah sana. Walaupun sekarang ini ada satu pusingan U yang substandard di bawah NPE iaitu di PJS 5/1, tetapi pusingan U ini membenarkan kenderaan dari kedua-dua arah lalu. Ini membahayakan pengguna. Oleh itu saya hendak cadangkan supaya pihak NPE mengambil contoh LDP membina persimpangan pusingan U bertingkat sebelum plaza tol PJS 5. Maksudnya penduduk daripada Bandar Sunway apabila menggunakan NPE boleh berpusing balik ke PJS 7 sebelum plaza tol PJS 5. Itu sahaja cadangan saya.

Akhir sekali Tuan Pengerusi, tentang Butiran 050600 – Pengurusan Projek dan juga Butiran 030000 – Sektor Bangunan yang ada kaitan dengan Cawangan Kerja Pendidikan. Tuan Pengerusi, ini berkaitan dengan Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan di PJS 10. Dalam bulan April lalu, saya pernah membangkitkan perkara ini.

Sekolah ini baru sahaja siap dibina pada akhir tahun lepas dan mula digunakan pada tahun ini. Apabila saya melawat ke sekolah pada awal tahun ini, penduduk dan juga pihak sekolah mengadu kepada saya, bahawa bolehkah kita menjemput menteri-menteri yang bertanggungjawab, timbalan menteri dan setiausaha parlimen untuk “turun padang” dan bersama semua pegawai-pegawai dengan kontraktor yang bertanggungjawab mengadakan perlawanan bola sepak persahabatan di atas padang tersebut, kerana padang tersebut tidak boleh dipakai.

Pada pertengahan tahun ini, kita telah mengadakan majlis sukan. Sukan sekolah terpaksa diadakan di atas gelanggang sepak takraw bukannya di atas padang sekolah kerana padang sekolah tersebut tidak boleh digunakan. Maka kita hendak jemput menteri-menteri atau pegawai-pegawai yang berkaitan mengadakan satu friendly match, kita tengok boleh atau tidak main bola di situ.

Tahun ini, iaitu pada dua bulan yang lepas apabila saya melawat lagi, masih mereka kompelin kerana masalah tidak selesai, tambahan pula bangunan itu terdapat longkang-longkang yang pecah, lantai pun pecah kerana tidak dipantau dengan baik. Maka dengan itu saya rasa pihak kementerian tolonglah, supaya sekolah yang baru ini dapat digunakan oleh pelajar dengan baik kerana saya hendak katakan projek ini menelan perbelanjaan berjuta-juta ringgit.

Kalau ada sekolah-sekolah Cina yang mendapat sumbangan daripada orang ramai, boleh membina sebuah sekolah yang sama dengan kos yang lebih rendah tetapi lebih baik, mengapakah peruntukan kerajaan yang menelan belanja berjuta-juta ringgit mungkin sampai lapan juta ringgit atau sepuluh juta ringgit tetapi kualiti kerjanya begitu teruk sekali. Oleh itu saya minta supaya Yang Berhormat Menteri tolong lihatlah perkara ini. Sekian, terima kasih.

 

4.30 ptg

Dato' Seri S. Samy Vellu: Yang Berhormat dari Kelana Jaya mencadangkan supaya skop projek Subang Kelana dipanjangkan sehingga melepasi Lebuh raya KESAS ke Jalan Murni. Untuk makluman Yang Berhormat, skop asal projek ini adalah sehingga persimpangan kewajipan. Walau bagaimanapun, dengan peruntukan yang ada skop projek ini telah ditambah sehingga ke sempadan Lebuh Raya KESAS. Itu sahajalah jawapan sekarang. Tunggu sikit hari saya beri lebih jawapan lagi.

Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: ...Cuma saya minta sebab perkara ini telah dibangkitkan sejak tahun 2004. Skop sekarang itu walaupun telah dipanjangkan tapi ini akan jadi satu bottleneck di Jalan Kewajipan di Persimpangan KESAS - Kewajipan. Maka saya minta dalam midterm review supaya menteri dapat masukkan, supaya dipanjangkan hanya 800 meter sehingga 1,000 meter sahaja untuk menyelesaikan masalah bottleneck di situ. Terima kasih Tuan Pengerusi dan Yang Berhormat Menteri.

Dato' Seri S. Samy Vellu: Cadangan Yang Berhormat itu missing link ke? Missing link? Sekarang nama sudah jadi missing link. Jalan Missing Link. Baru semalam saya dapat kelulusan daripada Jemaah Menteri untuk membelanjakan RM20 juta. Di mana kita akan tambah lagi jambatan dan juga memperbaiki keadaan menyambung dengan KESAS dan lain-lain.

Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: Yang Berhormat Menteri cuma satu perkara belum dijawab. Minta Projek Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan di bawah pelaksanaan pihak JKR.

Dato’ Seri Samy Vellu: Ada lagi?

Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan yang saya bangkitkan tadi... Padang bola sepak, bangunan yang tidak sempurna.

Dato’ Seri Samy Vellu: Itu sekolah tidak dibina oleh Jabatan Kerja Raya, macam mana mahu jawab? Itu adalah projek-projek Kementerian Pelajaran, projek-projek Kementerian Pendidikan Tinggi, projek JKR. Separuh projek mereka salur kepada JKR. Hari ini kami melaksana lebih kurang 900 projek bagi pihak Kementerian Pelajaran. Itu tidak termasuk dalam... tetapi saya akan ambil kira ini dan saya akan bagi tahu kepada Yang Berhormat Menteri Pelajaran. Yang Berhormat usulkan dan hantar sepucuk surat. Surat itu saya akan hantar kepada Yang Berhormat Menteri Pelajaran untuk mendapatkan peruntukan, di mana kita boleh menaik taraf dan memperbaiki padang bola di sekolah itulah.

Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: Terima kasih.

 

Send mail to mpcentre@kelanajaya.com.my with questions or comments about this web site.
Copyright © 2004 - 2009 Loh Seng Kok 卢诚国
Last modified:  Friday, May 22, 2009