Loh Seng Kok

Parlimen Malaysia

Barisan Nasional MCA

Loh Seng Kok 卢诚国
Member of Parliament for Kelana Jaya
雪州格拉那再也区国会议员
(2004 - Feb 2008)

Today is 

Pages on this website have been viewed
Hit Counter
times

(Extracted from hansard dated 15-11-2007)

 

3.30 ptg

Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya hendak masuk ke Maksud Bekalan 22 berkaitan dengan Pembasmian Kemiskinan - Butiran 010900.

Tuan Pengerusi, kita tahu bahawa kementerian memang berusaha untuk memastikan program dan mekanisme pembasmian kemiskinan dilaksanakan dengan berkesan untuk membasmi kemiskinan khususnya kemiskinan tegar di kawasan luar bandar.

Tuan Pengerusi, satu masalah ialah tentang kemiskinan ini dia berhijrah, saya kawasan Parlimen di kawasan bandar, tetapi sekiranya usaha-usaha membasmi kemiskinan di luar bandar tidak dapat dilaksanakan dengan baik maka ia akan melimpah ke kawasan-kawasan bandar dan membawa masalah-masalah sosial yang tidak diingini.

Oleh itu, Tuan Pengerusi, dalam usaha pembasmian kemiskinan ada satu skim yang dipanggil Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di mana pihak kementerian seharusnya melaksanakan skim dengan baik. Saya dimaklumkan bahawa apabila pihak kementerian hendak melancarkan skim tersebut, maka mereka membuat majlis-majlis tertentu untuk merasmikannya ataupun membuat majlis pelancaran. Sekiranya wang yang diperuntukkan untuk pembasmian kemiskinan hanya digunakan untuk pelancaran majlis-majlis tertentu, saya rasa ini satu pembaziran. Lebih baik wang yang diperuntukkan itu dapat digunakan dengan sebaik-baik mungkin untuk membasmi kemiskinan dengan betul.

Dalam hal Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) ini, saya hendak bertanya bagaimanakah maklumat-maklumat SPKR di kumpul dan di analisa? Ini kerana saya dapati bahawa di kawasan saya pun ada penduduk-penduduk yang telah berhijrah dari kawasan luar bandar ke kawasan bandar dan meminta kita memberi sokongan untuk mendapatkan rumah kos rendah, rumah rakyat dan sebagainya. Pada hal apabila kita semak, dia datang dari luar bandar. Kita tidak ada satu search mekanisme untuk menyemak apakah dia telah memperoleh rumah di kawasan luar bandar dan datang ke bandar dia masih memohon rumah lagi, masih dalam keadaan yang miskin.

Dalam SPKR ini bagaimanakah sistem pengesanan dapat dilakukan dan diselaraskan dengan agensi-agensi yang lain di kawasan bandar supaya tidak ada penipuan dan pertindihan yang berlaku, yang cuba dilakukan oleh kementerian-kementerian tertentu untuk membasmi kemiskinan. Oleh itu saya mintalah supaya pihak kementerian dapat mengemaskinikan data-data itu dan berkongsi data-data tersebut dengan jabatan-jabatan lain. Sekiranya kementerian itu tidak dapat menyelaraskan perkongsian data ini mungkin ia perlu diselaraskan dengan Jabatan Perdana Menteri supaya data-data ini dapat dilihat dan disemak oleh semua kementerian yang cuba berusaha untuk membantu membasmi kemiskinan.

Satu perkara lagi ialah bagi Maksud Bekalan 22 Butiran 02000 tentang Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan saya ingin kaitkan dengan Maksud Pembangunan 22 Butiran 00400 yang berkaitan dengan pendidikan prasekolah.

Tuan Pengerusi, kita semua sedia maklum bahawa kita memang memberi penekanan supaya generasi muda diberi pendidikan yang secukupnya dan peruntukan telah pun disampaikan supaya jabatan itu dapat melaksanakan tugas dengan baik. Dalam hal ini, pendidikan prasekolah, KEMAS ada menubuhkan tabika-tabika ataupun Taska KEMAS untuk membantu golongan yang kurang mampu khususnya di kawasan luar bandar. Kita semua sedia maklum bahawa fokus KEMAS adalah di kawasan luar bandar, tetapi kebelakangan ini saya perhatikan jabatan ini pun masuk ke kawasan bandar. Sekiranya terdapat unit-unit kosong di dalam sesuatu pemajuan perumahan KEMAS pun hendak meminta supaya diberikan tempat untuk menubuhkan taska ataupun tabika KEMAS.

Saya tidak ada halangan sekiranya ada ruangan yang cukup, tetapi saya juga diminta oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) untuk mewujudkan tadika perpaduan. Maka saya lihat sekiranya ada permohonan dari kedua-dua jabatan, saya rasa Jabatan KEMAS perlu memberi laluan kepada JPNIN kerana tumpuan KEMAS adalah di kawasan luar bandar seperti mana yang kita sedia maklum. Tumpuan perlu diberikan di kawasan luar bandar bukannya di kawasan bandar. Oleh kerana masalah sosial yang rumit di kawasan bandar kita perlu menyatupadukan rakyat di kawasan bandar, maka seharusnya Jabatan KEMAS perlulah memberi pertimbangan yang lebih supaya tidak terlalu keras kepala untuk hendak mendapatkan semua ruang yang ada dan tidak mahu memberi laluan kepada JPNIN untuk menubuhkan tabika perpaduan yang boleh membantu negara.

Dengan itu Tuan Pengerusi, hanya dua perkara sahaja yang saya bangkitkan ini dan saya mintalah pihak kementerian dapat memberi keprihatinan yang secukupnya. Sekian, terima kasih.

 

Send mail to mpcentre@kelanajaya.com.my with questions or comments about this web site.
Copyright 2004 - 2009 Loh Seng Kok 卢诚国
Last modified:  Friday, May 22, 2009