Loh Seng Kok

Parlimen Malaysia

Barisan Nasional MCA

Loh Seng Kok 卢诚国
Member of Parliament for Kelana Jaya
雪州格拉那再也区国会议员
(2004 - Feb 2008)

Today is 

Pages on this website have been viewed
Hit Counter
times

(Extracted from hansard dated 07-11-2007)

3.39 ptg.

Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya masuk ke Bekalan 9, Badan Pencegah Rasuah yang berkaitan dengan Butiran 010000 Khidmat Sokongan dan 03000 Operasi berkaitan dengan Khidmat Sokongan Pengurusan Sumber Manusia, Pentadbiran Am dan juga Operasi Perisikan dan Penyiasatan Badan Pencegah Rasuah.

Baru-baru ini kita telah difahamkan oleh pihak Badan Pencegah Rasuah, di mana Ketua Pengarah mengatakan bahawa dengan adanya smart partnership dengan agensi-agensi, jabatan dan menempatkan pegawai-pegawai ACA di jabatan-jabatan tertentu. Maka nampaknya ada keuntungan yang lebih diperolehi dalam agensi-agensi yang berkaitan.

Saya juga tidak nafikan bahawa ini satu usaha yang baik mungkin satu cara yang baik untuk mendapatkan keberkesanan ACA tapi saya rasa ini mempunyai implikasi yang tidak bagus selain daripada membazirkan sumber manusia. Ini kerana peruntukan yang kita berikan ini bukan untuk meletakan pegawai-pegawai di agensi-agensi yang tertentu.

Implikasi yang tidak baik ialah menunjukkan bahawa apakah agensi kerajaan yang tertentu itu mempunyai kecenderungan ataupun memang corrupted ataupun pegawai-pegawai di situ memang membuat penyelewengan, sehinggakan jabatan-jabatan yang tertentu mengalami kerugian dan tidak ada keuntungan.

Maka kita samakan dengan cara penempatan ini agar mengadakan umpamanya tuan rumah memasang sistem alarm ataupun membela anjing untuk menjadi watch-dog dan perkhidmatan tertentu tetapi masih ada kecurian masih ada rompakan kerana pencuri dan perompak boleh merosakkan sistem alarm ataupun meracuni anjing itu sehingga boleh masuk rumah.

Maka kalau menempatkan pegawai dalam jabatan tertentu itu mungkin juga satu hari nanti pegawai-pegawai ini juga pegawai PTD, mungkin akan diracuni juga. Maka saya rasa perkara ini perlu dilihat semula tentang perkara ini.

Keduanya Tuan Pengerusi, tentang Bekalan 6 Butiran 00200 Program MTCP (Malaysian Technical Cooperation Programme) yang membelanjakan RM40 juta. Kita tidak nafikan bahawa negara kita ada banyak membantu sehingga kita begitu bangga dalam program ini kita telah banyak membantu, setakat ini 137 buah negara yang sedang membangun dalam program ini berbanding dengan 46 buah negara pada tahun 1991.

Saya nak tanya apakah pulangan ada hasil daripada program MTCP ini kerana negara-negara barat yang maju sentiasa menganggap Malaysia sebagai sebuah negara emerging donor nation. Maka mengharapkan Malaysia sebuah negara yang sedang membangun juga boleh membantu negara lain dan meringankan beban negara-negara maju. Maka saya nak tanyalah apakah pulangan yang dapat diperolehi dari segi reciprocity oleh negara-negara yang terlibat.

Akhir sekali Tuan Pengerusi, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dalam Butiran 20000 tentang perancangan dan penyelidikan. Apakah pihak JPNIN ada membuat perancangan dan penyelidikan tentang kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin atau rakan-rakan yang boleh membangkitkan syak wasangka, sensitiviti. Contoh, dalam Dewan ini saya rasa di mana ada rakan membangkitkan dalam minggu lepas mengatakan bahawa sekolah-sekolah mubaligh (mission school) seperti Convent, La Salle, Methodist dan sebagainya difahamkan lembaga pengarah di setiap sekolah ini sebahagian ditadbir dari gereja di luar negara seperti Vatican City. Ada yang mengatakan bahawa sekolah-sekolah jenis ini juga tidak tutup semasa Hari Raya Aidilfitri.

Saya rasa kenyataan-kenyataan yang kurang tepat ini akan mengelirukan orang ramai dan membawa kesan yang tidak baik. Maka saya mintalah agar JPNIN dapat membuat perancangan dan penyelidikan yang lebih menyeluruh supaya dapat mengemukakan fakta-fakta di mana dapat membantulah untuk membina sebuah masyarakat yang memang bersepadu dan bersefahaman. Terima kasih, Tuan Pengerusi.

 

Send mail to mpcentre@kelanajaya.com.my with questions or comments about this web site.
Copyright 2004 - 2009 Loh Seng Kok 卢诚国
Last modified:  Friday, May 22, 2009