Loh Seng Kok

Parlimen Malaysia

Barisan Nasional MCA

Loh Seng Kok 卢诚国
Member of Parliament for Kelana Jaya
雪州格拉那再也区国会议员
(2004 - Feb 2008)

Today is 

Ucapan Penagguhan

Home
Back
My Profile 简介
My Opinion 观点
In the News 新闻
Gallery 活动照片
Voter Search
Links 网站连接
Contact Us 联络
Advanced Search

Pages on this website have been viewed
Hit Counter
times

UCAPAN PENANGGUHAN OLEH YB LOH SENG KOK, AHLI PARLIMEN KAWASAN KELANA JAYA (P104) DI MESYUARAT KE-2, PENGGAL KE-4, DEWAN RAKYAT, PARLIMEN KE-11, PADA HARI ISNIN, 2 JULAI 2007.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

CADANGAN MEMPELBAGAIKAN PAKEJ PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA

Kerajaan memperkenal dan melancarkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dengan tujuan melatih remaja pelbagai kaum dan agama supaya bersemangat waja, berdisiplin, patriotik, membentuk perwatakan positif, sentiasa bersedia menghadapi cabaran serta menjadi pelapis dalam pembangunan masyarakat yang mampan lagi bersatupadu.

PLKN telah dimulakan dengan siri pertama pada tahun 2004 dengan pengambilan pelatih seramai lebih kurang 85,000 orang remaja. Sehingga dalam siri 4 tahun 2007, ditambahkan pengambilan pelatih di mana 100,000 orang remaja dipilih secara rambang melalui komputer untuk menyertai program latihan beruniform ini.

Setakat ini, hanya remaja berumur 18 tahun telah disasarkan dalam semua siri program berkenaan, sungguhpun peruntukan Akta Latihan Khidmat Negara membolehkan penglibatan peserta yang berumur di antara 16 – 35 tahun,

Setiap tahun dianggarkan terdapat lebih kurang 450,000 orang remaja berumur 18 tahun dalam populasi negara kita. Walaupun setakat ini hanya golongan remaja berumur 18 tahun sahaja dipilih menyertai PLKN, akan tetapi masih terdapat majoriti dalam golongan remaja itu tidak dapat menyertai PLKN.

Ini adalah kerana PLKN yang kini dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan tidak dapat menampung kesemua remaja golongan itu disebabkan kekurangan-kekurangan dari segi tenaga, jurulatih, kewangan, kemudahan, prasarana latihan dan sebagainya.

Dalam pada itu, oleh kerana terdapatnya kelemahan-kelemahan dalam pelaksanaan PLKN, maka timbullah persoalan tentang kesesuaian penglibatan perempuan, cadangan kurangkan latihan fizikal untuk pelatih perempuan, mengasingkan pelatih ikut jantina, cadangan mengurangkan bilangan pelatih perempuan dan lain-lain lagi.

 

Tuan yang DiPertua,

Negara kita juga berhadapan dengan dua permasalahan yang lain, iaitu

1) kekurangan anggota polis yang menjaga keselamatan dan ketenteraman masyarakat; dan 2) kekurangan jururawat dalam sektor perkhidmatan kesihatan.

Sehingga 31 Julai 2006, PDRM mempunyai 96,861 perjawatan dan kekuatan seramai 91,727 orang pegawai dan anggota di seluruh negara. PDRM memerlukan seramai 60,000 lagi anggota pegawai / anggota pelbagai pangkat. Sasaran pengisian keperluan ini adalah seramai 10,000 pegawai / anggota setahun mulai tahun 2007 hingga 2011 mengikut kapasiti latihan, selaras dengan Pelan Strategik 5 Tahun PDRM.

Bagaimanapun, majoriti yang memohon dan menyertai PDRM adalah kebanyakannya kaum Melayu. Maka PDRM dan pihak berkuasa lain perlu berusaha menarik lebih ramai penyertaan lain-lain kaum.

Tuan Yang DiPertua,

Bagi perjawatan jururawat pula,

Mengikut Lembaga Jururawat (di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM), jumlah jururawat yang telah didaftarkan dengan KKM setakat 31 Disember 2006 adalah 52,456 orang jururawat di kemudahan kesihatan awam; manakala 15,883 orang jururawat di kemudahan kesihatan swasta.

Mengikut risalah Health Facts, nisbah bilangan jururawat kepada bilangan penduduk negara kita bagi tahun 2004 - 2005 adalah:

2005

awam

1: 802 penduduk

swasta

1:2,264 penduduk

Purata

1: 592 penduduk

2004

awam

1: 853 penduduk

swasta

1: 2,504 penduduk

Purata

1: 636 penduduk

Nisbah bilangan jururawat kepada bilangan penduduk yang sewajarnya (ideal) adalah di dalam lingkungan 1:200 penduduk.

Dalam pada itu, pecahan jururawat yang berkhidmat di kemudahan kesihatan awam (5 jenis kemudahan kesihatan awam termasuk hospital, poliklinik, maternal and child health centres, klinik bergerak dan klinik desa) mengikut kaum seperti yang dicatatkan oleh Lembaga Jururawat adalah Melayu 77%, Cina 4%, India 2%, Bumiputra Sabah & Sarawak 17% dan lain-lain itu “negligible” atau sedikit sahaja.

 

Tuan Yang DiPertua,

Status ketidakseimbangan (imbalance) dari segi kaum dan kekurangan anggota dalam pasukan polis dan perjawatan jururawat perlu diberi perhatian serius dan langkah-langkah perlu diambil untuk memperkasakan kedua-dua jenis kerjaya murni yang beruniform.

Pihak institusi pentadbiran Kerajaan telah menjalankan kajian dan mendapati bahawa PLKN memang mendapat sambutan baik dan memperakui bahawa semua remaja perlu diberi peluang yang saksama untuk mengikuti PLKN, di samping mencari jalan untuk memperkasa PLKN dengan mengadakan program pra dan pasca PLKN yang bersesuaian;

Memperakui bahawa kejayaan PLKN adalah tanggungjawab bersama semua sektor dan lapisan masyarakat, dan juga menyedari agar agensi-agensi tertentu juga dapat mengendalikan PLKN di mana pelatih akan memakai pakaian seragam sambil menjalankan latihan yang dapat menyemai nilai murni seperti setia kepada negara, berdisiplin, sudi bekerjasama, dan bersedia berkhimat untuk komuniti,

Maka mempelbagaikan pakej PLKN di bawah penyeliaan dan pengelolaan pihak agensi PDRM dan agensi Kesihatan adalah dicadang dapat diperkenalkan. Tertakluk kepada penelitian lebih lanjut, pengambilan pelatih pakej PLKN di bawah PDRM boleh jadi 70% lelaki dan 30% perempuan; manakala pakej PLKN di bawah agensi Kesihatan boleh timbang terima 20% lelaki dan 80% perempuan.

Cadangan mempelbagaikan pakej PLKN ini diharap mendapat sambutan memandangkan ianya dapat mencapai beberapa objektif serentak yang mungkin lebih baik daripada serampang dua mata seperti berikut:

1)  memperluaskan skop PLKN;

2)  meringankan beban Kementerian Pertahanan yang kini merupakan agensi

     tunggal melaksanakan PLKN;

3)  lebih ramai remaja berpeluang menyertai PLKN;

4)  memberi peluang kepada agensi berlainan untuk berinteraksi dengan

     golongan remaja dan dapat mesra rakyat;

5)  memberi pendedahan kepada remaja tentang profesion kepolisan &

     kejururawatan;

6)  menyemai nilai penyayang, keprihatinan, kesetiaan dan semangat

     bertanggungjawab kepada masyarakat;

7)  memasyarakatkan (socialization) dan menyetempatkan (localize) PLKN.

Maka dengan itu. adalah diharap pihak institusi pentadbiran Kerajaan membuat penggubalan perundangan tertentu, perancangan penyenggaraan dan persiapan agar PLKN dapat dipelbagaikan demi pembinaan modal insan sebagai menyediakan generasi muda yang bersemangat waja, berdisiplin dan patriotik untuk membangunkan masyarakat yang lebih bersatupadu dan progresif.

 

(Jawapan oleh Timbalan Menteri Pertahanan)

 

Home Back My Profile 简介 My Opinion 观点 In the News 新闻 Gallery 活动照片 Voter Search Links 网站连接 Contact Us 联络 Advanced Search
Send mail to mpcentre@kelanajaya.com.my with questions or comments about this web site.
Copyright © 2004 - 2009 Loh Seng Kok 卢诚国
Last modified:  Monday, August 10, 2009