Loh Seng Kok

Parlimen Malaysia

Barisan Nasional MCA

Loh Seng Kok 卢诚国
Member of Parliament for Kelana Jaya
雪州格拉那再也区国会议员
(2004 - Feb 2008)

Today is 

Skim Pencen Sosial untuk Warga Tua Miskin

Home
Back
My Profile 简介
My Opinion 观点
In the News 新闻
Gallery 活动照片
Voter Search
Links 网站连接
Contact Us 联络
Advanced Search

Pages on this website have been viewed
Hit Counter
times

UCAPAN PENANGGUHAN OLEH YB LOH SENG KOK, AHLI PARLIMEN KAWASAN KELANA JAYA (P104) DI MESYUARAT KE-2, PENGGAL KE-4, DEWAN RAKYAT, PARLIMEN KE-11, PADA HARI RABU, 20 JUN 2007.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

CADANGAN MEWUJUDKAN SKIM PENCEN SOSIAL UNTUK MENANGANI MASALAH KEMISKINAN GOLONGAN WARGA TUA

Menurut statistik dan definasi Bangsa-bangsa Bersatu di mana sesebuah negara dikatakan berpopulasi tua apabila nisbah populasinya yang berumur 65 tahun ke atas melebihi 7%.  Jika kita mengikut sukatan ini dan daripada perangkaan Jabatan Statistik, maka Malaysia sudah pasti akan mencapai paras masyarakat tua menjelang tahun 2010.

 

Di banyak negara luar, berbagai jenis skim sekuriti sosial telah diperkenalkan untuk memastikan agar keperluan harian golongan warga tua tidak terjejas akibat ketiadaan pendapatan. 

 

Di Malaysia, skim sedemikian agak terhad.  Secara umumnya, skim persaraan Malaysia boleh dibahagikan kepada dua jenis, yakni KWSP dan Skim Pencen yang berdasarkan pencaruman.  Walau bagaimanapun, pernah ditunjukkan bahawa kurang daripada 10% golongan warga tua yang dilindungi skim pencen ini.  Malah, kajian terkini telah menunjukkan bahawa kebanyakan pencarum akan menghabiskan simpanan wang mereka dalam lingkungan masa tiga tahun selepas pengeluaran. 

 

Golongan yang tidak terlindung oleh skim -skim sedemikian seperti mereka yang bekerja di sektor-sektor informal, yang menggaji sendiri atau suri rumahtangga dan sebagainya terpaksa bergantung kepada ahli-ahli keluarga, saudara-mara atau badan-badan sukarela, kebajikan atau Kerajaan untuk bantuan.

 

Kajian di Malaysia menunjukkan 32% daripada golongan miskin adalah terdiri daripada golongan warga tua yang merupakan 5.9% populasi kita. Golongan wanita terutamanya didapati lebih susah menyimpan daripada golongan lelaki atas sebab-sebab seperti upah yang lebih rendah, tanggungan anak, hayat hidup yang lebih panjang dan sebagainya.

 

Berkenaan dengan bantuan Kerajaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia mempunyai satu skim bantuan kewangan untuk warga tua dengan kriteria-kriteria kelayakan seperti berikut:- pemohon haruslah berumur lebih daripada 60 tahun dengan tiada sebarang sumber sokongan kewangan atau tiada anak dan saudara-mara yang rela menanggung mereka.  Daripada tahun 2001, bantuan kepada warga tua miskin oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah dalam lingkungan RM135 sebulan.

 

Tuan Yang Di-Pertua, 

 

Beberapa persoalan mengenai cabaran masalah kemiskinan warga tua ialah:

 

a)     Patutkah warga tua dibiarkan hidup dalam keadaan miskin yang teruk atau meninggal dunia lebih awal kerana kemiskinan?

 

b)     Patutkah warga tua dibenarkan untuk menghadapi riwayat akhir mereka dalam kemiskinan dan tidak terjamin?

 

c)      Patutkah warga tua menikmati riwayat hidup yang sihat dan gembira?

 

Sehubungan itu, cabaran kini adalah untuk memastikan peningkatan populasi tua membawa manfaat yang benar kepada semua warga tua.  Ini harus dilihat dari segi kesejahteraan kebendaan, kesihatan dan jaminan individu memandangkan ramai warga tua yang hidup dalam kemiskinan dan kesihatan yang lemah.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

 

Oleh yang demikian, saya mencadangkan agar diwujudkan satu skim pencen sosial sebagai satu ukuran untuk mengurangkan kemiskinan di kalangan warga tua.

 

Pengalaman negara-negara yang telah memperkenalkan skim 'pencen asas' menunjukkan bahawa skim sedemikian mendatangkan kebaikan secara praktikal kepada pembangunan, dengan memberikan keadilan kepada individu tua, menggalakkan pentadbiran yang baik, serta menstimulasikan perkembangan ekonomi.  Skim tersebut juga memberikan satu peringkat situasi yang sejahtera, mantap dan gembira kepada golongan tua.

 

Kebaikan skim ini dari segi ekonomi dan sosial boleh meliputi:

-          meningkatkan kesihatan golongan tua

-          meningkatkan status sosial golongan tua

-          meningkatkan maruah dan perasaan keyakinan di kalangan golongan tua  

           yang tidak ingin bergantung kepada ahli-ahli keluarga

-          mengurangkan risiko dera dalam kes individu yang tua dan lemah

-          membolehkan golongan tua makan sekurang-kurangnya sekali sehari

-          memastikan golongan tua menikmati perkhidmatan dan kemudahan asas  

           seperti jagaan kesihatan, tempat tinggal dan sebagainya

-          menanggung seluruh rumahtangga secara tidak langsung terutamanya            

           rumahtangga yang mempunyai anak yatim yang diketuai oleh golongan tua

-          memperkukuhkan tanggungjawab negara

-          melegakan atau mengurangkan beban anak-anak dewasa

-          menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembentukan kerja-kerja  di mana

           rakyat akan lebih sedia mengambil risiko

 

 

Tuan Yang Di-Pertua,

 

Dengan yang sedemikian, saya berpendapat bahawa pelaksanaan satu skim pencen sosial harus dirancang untuk dimasukkan ke dalam program pembangunan negara sebagai sebahagian daripada strategi untuk mengurangkan kemiskinan.  Ini boleh juga dijadikan satu demonstrasi kepada dunia bahawa Malaysia maju ke hadapan sebagai sebuah negara yang prihatin, penyayang, bertanggungjawab serta matang.  Ia juga menunjukkan komitmen Malaysia dalam Deklarasi Bangsa-bangsa Bersatu untuk hak asasi manusia dan perjanjian antarabangsa untuk melindungi daripada kemiskinan di mana Malaysia adalah juga ahli. 

 

Bagi Kerajaan pula, skim sedemikian yang memenuhi keperluan asas untuk hidup bagi golongan tua dan miskin, adalah bukti kejujuran dan keprihatinan Kerajaan untuk memastikan rakyat jelata meningkat tua dengan bermaruah.

 

 

(Teks Jawapan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat)

 

 

Home Back My Profile 简介 My Opinion 观点 In the News 新闻 Gallery 活动照片 Voter Search Links 网站连接 Contact Us 联络 Advanced Search
Send mail to mpcentre@kelanajaya.com.my with questions or comments about this web site.
Copyright 2004 - 2009 Loh Seng Kok 卢诚国
Last modified:  Monday, August 10, 2009