Loh Seng Kok

Parlimen Malaysia

Barisan Nasional MCA

Loh Seng Kok 卢诚国
Member of Parliament for Kelana Jaya
雪州格拉那再也区国会议员
(2004 - Feb 2008)

Today is 

Motions (19 March - 26 April 2007)

Home
Back
My Profile 简介
My Opinion 观点
In the News 新闻
Gallery 活动照片
Voter Search
Links 网站连接
Contact Us 联络
Advanced Search

Pages on this website have been viewed
Hit Counter
times

USUL dicadangkan oleh LOH SENG KOK, AHLI DEWAN RAKYAT KAWASAN KELANA JAYA sempena MESYUARAT PERTAMA (19 Mac – 26 April), PENGGAL KEEMPAT, PARLIMEN KE-11, TAHUN 2007

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

1)      PR-1133-U5617
         Loh Seng Kok (Kelana Jaya)
akan mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini menyedari suatu pelan tindakan pragmatik untuk menggalak, memupuk persefahaman dan hubungan harmoni yang lebih erat di kalangan rakyat berbilang kaum perlu bermula dari sektor awam, sesuai dengan slogan kepimpinan melalui teladan;

Bahawa Dewan ini mengambil keputusan untuk mendesak institusi pentadbiran Kerajaan mengkaji semula kaedah dan sistem pengambilan kakitangan perkhidmatan awam supaya komposisi kaum di kalangan kakitangan Kerajaan mencerminkan komposisi kaum di negara ini dan sasaran pengambilan adalah juga untuk menggalakkan integrasi nasional di setiap agensi awam.”

 

2)      PR-1133-U5637
         Loh Seng Kok (Kelana Jaya)
akan mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini mengambil iktibar tentang perlunya Pihak Berkuasa Tempatan melaksanakan 23 langkah yang digariskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mewujudkan ‘bandar selamat’;

Menyedari hakikat bahawa masih terdapat lebih daripada 60% PBT dalam negara yang masih gagal melaksanakan 23 langkah berkenaan;

Maka dengan itu Dewan ini mengambil ketetapan agar PBT yang gagal atau belum melaksanakan 23 langkah berkenaan tidak layak menukar statusnya ke taraf perbandaran atau bandar raya.”

 

3)      Loh Seng Kok (Kelana Jaya) akan mencadangkan:-

“Dewan ini mengambil maklum bahawa tujuan sistem kontraktor yang dilaksanakan oleh Kerajaan adalah untuk meringankan beban Kerajaan, mempercepatkan proses pelaksanaan projek-projek dan merangsang aktiviti serta pertumbuhan sektor  ekonomi yang ‘vibrant’ ;

Dewan ini menyedari hakikat bahawa sehingga kini, masih wujudnya  kelemahan dan kekurangan dalam sistem kontraktor yang dijalankan, terutamanya kekurangan pemantauan pelaksanaan dan pengagihan kontrak yang berasaskan keupayaan serta kebolehan;

Maka dengan ini Dewan ini mendesak institusi pentadbiran Kerajaan supaya mengkaji semula sistem kontraktor yang diadakan sekarang dan menubuhkan satu badan yang bebas untuk membuat pemantauan terhadap sistem ini.”

 

4)      PR-1133-5643
         Loh Seng Kok (Kelana Jaya)
akan mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini melahirkan rasa penuh keyakinan dan pengiktirafan ke atas prestasi baik yang ditunjukkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), iaitu satu jabatan yang telah ditubuhkan untuk mengurus hal ehwal agama Islam, sebagai agama persekutuan, sepertimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan, menangani pelbagai masalah dan cabaran memajukan agama Islam di negara kita, termasuklah menangani ajaran sesat dan soal-soal akidah yang berkaitan;

Bahawa Dewan ini menyedari hakikat bahawa agama-agama yang dianuti oleh kira-kira 40% rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam juga menghadapi pelbagai cabaran yang bersangkut-paut dengan pemupukan akidah serta mengerjakan ibadat agama mereka;

Bahawa Dewan ini menerima baik pembelaan Kerajaan terhadap kebajikan kerohanian rakyat tanpa mengira kepercayaan dan agama, dan menerima hakikat bahawa kerohanian rakyat semakin tercabar dengan ledakan teknologi maklumat yang terlalu meluap-luap, di samping kewujudan anasir-anasir yang menjatuhkan moral dan akhlak rakyat;

Bahawa Dewan ini menyahut dan menyokong seruan YAB Dato’ Seri Perdana Menteri, bersama-sama membela rakyat dan membina rakyat Malaysia demi memantapkan usaha pembangunan modal insan negara kita;

Maka dengan ini Dewan ini membuat resolusi agar sebuah agensi Kerajaan ditubuhkan untuk mengurus hal ehwal agama-agama lain di negara kita.”

 

5)      Loh Seng Kok (Kelana Jaya) akan mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini merakamkan keprihatinan di atas kesulitan dan beban yang ditanggung oleh rakyat akibat kenaikan harga tol lebuhraya-lebuhraya  dalam negara;

Menyedari hakikat bahawa wujudnya keraguan dan kekeliruan tentang isi kandungan, terma dan syarat dalam perjanjian konsesi lebuhraya bertol; di samping hak pengguna untuk mengetahui justifikasi sebenar kenaikan harga tol;

Dewan ini mengambil maklum akan usaha YAB Perdana Menteri untuk mewujudkan institusi pentadbiran Kerajaan yang telus, berintegriti dan mempunyai akauntabiliti yang tinggi;

Maka dengan ini Dewan ini membuat resolusi bersetuju institusi pentadbiran Kerajaan menghapuskan keraguan dan kekeliruan tersebut sekaligus dengan mengubah status (declassify) dokumen perjanjian konsesi lebuhraya bertol, membolehkannya diteliti umum dan sekiranya perlu, terma dan syarat perjanjian dikaji semula.”

 

6)      Loh Seng Kok (Kelana Jaya) akan mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini merakamkan keprihatinan di atas kesulitan dan beban hidup rakyat jelata akibat kenaikan harga petrol kerana penurunan subsidi di negara kita pada awal tahun 2006. Menyedari bahawa harga petrolium di pasaran dunia telah menurun, maka dengan ini Dewan ini membuat ketetapan supaya harga petrol dan diesel dalam negara diturunkan.”

         Maklumbalas daripada Bahagian Analisa Cukai (11-04-2007)

 

7)      Loh Seng Kok (Kelana Jaya) akan mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini mengambil iktibar bahawa negara kita masih kekurangan anggota dalam profesion kedoktoran, pergigian dan farmasi. Pada masa yang sama, Dewan ini menyedari bahawa Kerajaan menanggung perbelanjaan yang tinggi apabila menawar dan menaja ramai pelajar ke luar negeri untuk melanjutkan pengajian mereka dalam bidang-bidang berkaitan;

Maka dengan ini Dewan ini membuat resolusi agar langkah-langkah diambil untuk menambah enrolmen dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi di IPTA dan IPTS tempatan.”

 

8)      Loh Seng Kok (Kelana Jaya) akan mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini melahirkan rasa penuh keyakinan dan pengiktirafan ke atas keupayaan, kebolehan, ketekunan, dan kesungguhan golongan OKU untuk menjalani kehidupan yang berjaya; menyedari tafsiran OKU sebagai Orang Kurang Upaya mempunyai konotasi negatif, keputusasaan dan kurang motivasi; maka dengan ini Dewan mengambil ketetapan agar OKU ditafsirkan sebagai ORANG KUATKAN UPAYA di samping institusi pentadbiran Kerajaan membuat perancangan untuk memperkasakan OKU.”

 

9)      Loh Seng Kok (Kelana Jaya) akan mencadangkan:-

“Bahawa Dewan ini melahirkan rasa kesal terhadap kelemahan-kelemahan logistik dan masalah pengangkutan yang berulang semasa pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), mengakibatkan sebahagian pelatih Kumpulan 1 Siri 4/2007 PLKN yang sepatutnya melapor diri di kem pada hari pertama terpaksa pulang, manakala beribu-ribu lagi terkandas di beberapa lokasi ‘pick-up’  dan lapangan terbang;

Bahawa Dewan ini menyedari perlunya tindakan tegas diambil terhadap pegawai yang bertanggungjawab dalam penilaian dan perlantikan kontraktor serta kontraktor pengangkutan yang gagal menunaikan syarat-syarat kontrak.

Bahawa Dewan ini juga mengambil keputusan untuk mendesak pihak kementerian berkenaan mengkaji semula kaedah dan sistem pengambilan kontraktor perkhidmatan pengangkutan PLKN supaya isu ketidakcukupan kenderaan, ketiadaan permit perjalanan, ‘roadworthiness’ kenderaan dan lebih-lebih lagi budaya kontraktor ‘sub’ dan ‘sub-sub’ dapat diatasi.”

 

 
Home Back My Profile 简介 My Opinion 观点 In the News 新闻 Gallery 活动照片 Voter Search Links 网站连接 Contact Us 联络 Advanced Search
Send mail to mpcentre@kelanajaya.com.my with questions or comments about this web site.
Copyright © 2004 - 2009 Loh Seng Kok 卢诚国
Last modified:  Monday, August 10, 2009