Loh Seng Kok

Parlimen Malaysia

Barisan Nasional MCA

Loh Seng Kok 卢诚国
Member of Parliament for Kelana Jaya
雪州格拉那再也区国会议员
(2004 - Feb 2008)

Today is 

Utilisasi Peruntukan, PLKN

Home
Back
My Profile 简介
My Opinion 观点
In the News 新闻
Gallery 活动照片
Voter Search
Links 网站连接
Contact Us 联络
Advanced Search

Pages on this website have been viewed
Hit Counter
times

(Extracted from hansard dated 16-04-2007)

4.22 ptg

Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian untuk membahaskan rang undang-undang yang berkaitan dengan Akta Perbekalan Tambahan 2006 yang melibatkan sejumlah wang lebih kurang RM19 bilion.

Tuan Yang di-Pertua, setiap kali kita membahaskan tentang perbelanjaan, kita akan mempersoalkan tentang sistem penyampaian dan sistem pengagihan. Apakah wang yang telah dibelanjakan itu berbaloi atau tidak dan sebagainya? Dari segi sistem pengagihan, kadang-kadang kita terdengar bahawa ada kementerian-kementerian yang mengadu bahawa tidak ada cukup peruntukan diagihkan kepada kementerian tersebut. Walaupun Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diberikan lebih kurang RM425 juta masih tidak cukup lagi kerana banyak perkara yang perlu dilakukan untuk memberi bantuan kepada masyarakat ataupun individu-individu yang bermasalah sama ada OKU, sama ada ibu tunggal ataupun mereka yang sakit teruk dan sebagainya.

Pada masa yang sama, kita juga lihat bahawa terdapat juga kementerian-kementerian yang dapat peruntukan yang sebegitu rupa dan yang juga untuk memberi bantuan kepada anak-anak muda, kanak-kanak sekolah dan sebagainya seperti di dalam Kementerian Pelajaran. Maka mungkin dari segi pengagihan itu, kita hendak meminta agak pihak kementerian yang bertanggungjawab dari segi pengagihan itu dapat diselaraskan supaya tidak ada pertindihan di antara kementerian-kementerian yang berkaitan.

Apabila kita soal tentang sistem pengagihan, kita hendak melihat agar peruntukan yang disampaikan itu memang berbaloi. Dalam erti kata lain, masyarakat tempatan ataupun rakyat jelata hendak melihat wang yang telah dibelanjakan itu adalah duit rakyat cuma kerajaan dipertanggungjawabkan dan diberi amanah untuk mengurus tadbir duit rakyat ini. Maka mereka mengharapkan agar perbelanjaan yang telah dibelanjakan itu akan mendatangkan pulangan sama ada pulangan dalam bentuk perkhidmatan ataupun dalam bentuk projek yang telah dilaksanakan. Itu memang berguna kepada masyarakat ataupun rakyat jelata.

Maka dari sini kita hendak melihat bagaimanakah pihak kementerian membuat penilaian ke atas perbelanjaan yang telah dilakukan. Kadang-kadang kita lihat bahawa sekiranya sesebuah kementerian itu telah habis menggunakan peruntukan yang telah diagihkan itu, maka diberikan prestasi bahawa ini mencapai penilaian 100% kerana wang yang diperuntukkan itu habis digunakan, maka prestasinya 100%. Padahalnya apakah apabila wang peruntukan itu habis digunakan, apakah hasilnya itu memang memberi manfaat kepada rakyat jelata? Itu persoalan yang perlu kita lihat dan pertimbangkan dari segi penilaian prestasi kementerian-kementerian dalam menggunakan duit yang diperuntukkan itu.

Dalam masa yang sama, saya hendak masukkan tentang polis iaitu peruntukan yang diagihkan kepada kementerian yang berkaitan...

 

Datuk Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Penjelasan Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat bagi Kelana Jaya. Saya berminat apabila Yang Berhormat bagi Kelana Jaya menyebut tentang utilisasi bajet atau budget utilization bagi kementerian-kementerian. Di mana saya teringat ketika saya berkhidmat dengan jabatan, budget utilization ini menjadi satu key performance indicator kepada agensi ataupun jabatan yang memohon bajet tersebut.

Antaranya ialah kerana kerajaan telah terpaksa membuat satu pinjaman. Contohnya RM1 dan jika RM1 tadi tidak dimanfaatkan ataupun tidak diutilisasikan oleh jabatan ataupun agensi, maka ia akan menimbulkan satu kerugian kepada pihak kerajaan yang terpaksa meminjam RM1 tadi disebabkan oleh faedah atau kadar-kadar interest yang lain.

Jadi di sini apabila Yang Berhormat bagi Kelana Jaya menyebut tentang 100% perbelanjaan oleh sebuah agensi kerajaan itu tidak membayangkan sebenarnya mereka telah perform ataupun telah berprestasi, perlu kita kembangkan lagi atau perlu kita memperbesarkan lagi supaya bajet utilisasi ini mesti dijadikan satu key performance indicator untuk menggerakkan jabatan dan agensi kerajaan bekerja ke arah melaksanakan perancangan-perancangan yang telah mereka lakukan. Kemudian hasil daripada itu, apakah utilisasi bajet tadi boleh memulangkan hasil-hasil yang diharapkan oleh agensi tersebut.

Saya kira masih lagi penting. 100% perbelanjaan terhadap peruntukan yang diperuntukkan atau disediakan oleh kerajaan masih lagi sebagai priority (keutamaan). Kemudian selepas itu mesti letakkan apakah hasil-hasil daripada pelaksanaan bajet kerajaan itu tadi. Boleh Yang Berhormat bersetuju dengan saya? Terima kasih.

 

Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat bagi Tangga Batu yang membantu saya untuk memberi penerangan yang lebih jelas tentang utilisasi peruntukan yang telah disediakan itu. Saya memang bersetuju dengan pandangan Yang Berhormat bagi Tangga Batu. Sebab itulah saya minta agar pihak kementerian yang berkaitan dan yang bertanggungjawab dalam mengagihkan peruntukan itu dapat dilihat semula cara pengagihan dan penilaian prestasi serta juga hasil peruntukan yang telah digunakan itu.

Dalam bidang polis Tuan Yang di-Pertua, contohnya kita ada juga menyediakan peruntukan untuk Kementerian Keselamatan Dalam Negeri untuk diberikan kepada pihak Polis Diraja Malaysia di dalam memperkasakan lagi pasukan polis di dalam negara kita.

Cuma satu perkara yang saya hendak bertanya, apakah peruntukan yang diberikan itu benar-benar dapat dilihat hasilnya dari segi pengagihan ataupun dari segi memperkuatkan lagi dan meyakinkan lagi anggota-anggota polis kita dalam menjalankan tugas mereka. Seperti contohnya dalam kawasan-kawasan tertentu di mana kepadatan penduduk adalah tinggi, maka kita perlu lebih banyak tenaga polis dikerahkan ke kawasan itu.

Saya hendak memberi contoh di mana saya lihat di kawasan daerah Hulu Langat, di daerah Hulu Selangor, daerah Sepang dan daerah Sabak Bernam. Nisbah anggota polis dengan penduduk adalah 1 nisbah kurang daripada 400 penduduk di keempat-empat daerah tersebut.

Tetapi di kawasan daerah Petaling, anggota polis adalah satu nisbah 7,000 lebih kalau mengikut data yang diberikan kepada kita pada tahun 2004. Saya tidak tahu sejauh mana kementerian itu dapat mengagihkan sumber-sumber tenaga ini mengikut taburan yang lebih saksama, lebih baik, lebih sempurna supaya pengagihan ataupun kerahan tenaga anggota polis itu dapat dimanfaatkan kepada semua masyarakat dan bukannya satu kawasan itu mendapat anggota polis yang cukup, satu kawasan kekurangan anggota yang begitu tinggi. Sehinggakan anggota-anggota kadang-kadang terasa tekanan kerja terlalu tinggi, tidak dapat menjalankan tugas dengan baik kerana mereka terpaksa menjaga keselamatan, ketenteraman masyarakat di mana bilangan penduduk adalah terlalu tinggi, contohnya di daerah Petaling.

Maka saya rasa pihak yang bertanggungjawab juga harus melihat taburan anggota polis haruslah seimbang di semua kawasan supaya ia tidak memberi tekanan kepada anggota kerana bebannya terlalu berat untuk dipikul oleh segelintir ataupun satu golongan anggota yang tenaganya kurang untuk menjaga satu populasi yang begitu tinggi. Pada masa yang sama Tuan Yang di-Pertua, walaupun kita faham bahawa memang adanya kekurangan dan kelemahan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia, kita mengaku adanya kelemahan dan kita juga tahu bahawa pihak Polis Diraja Malaysia cuba berusaha untuk mempertingkat lagi kualiti perkhidmatan, mempertingkatkan lagi mutu kerja mereka.

Saya tidak akan membantah sekiranya pihak kementerian ataupun pihak institusi pentadbiran kerajaan memberi kenaikan gaji kepada polis kerana ianya salah satu cara sebagai satu pengiktirafan kepada pengorbanan, usaha dan jasa bakti yang telah dicurahkan oleh pihak polis. Jadi pada masa yang sama saya terkilan apabila saya diberitahu bahawa alat-alat kelengkapan tidak cukup diberikan kepada anggota polis.

Misalnya saya diberitahu, dimaklumkan oleh pihak polis di daerah IPD Petaling Jaya. Anggota polis beribu-ribu orang tetapi peralatannya seperti peralatan keselamatan untuk anggota polis, hanya terdapat tiga helai baju ataupun jaket kalis peluru di balai tersebut. Maka sekiranya berlaku keganasan ataupun berlaku pertempuran antara anggota polis dengan penjenayah, siapakah yang akan diberi peluang untuk memakai baju, jaket kalis peluru itu. Apakah pegawai yang tinggi ataupun anggota yang di hadapan yang terpaksa membalas tembakan dengan penjenayah di hadapan. Apakah nyawa mereka tidak penting? Dan dari segi alat komunikasi di dalam perkhidmatan polis, saya rasa semua ini perlu dinaiktarafkan lagi supaya apa yang telah dikaji dinaikkan tetapi kelengkapan-kelengkapan haruslah diberi perhatian supaya anggota polis mempunyai keyakinan yang tinggi untuk menjaga dan mempertahankan ketenteraman masyarakat kita dan senjata yang dipakai.

Kita tahu bahawa sekarang ini penjenayah memakai senjata api yang begitu canggih, mereka ada machine gun, mereka ada M16. Kalau anggota polis hanya memakai pistol yang revolver itu, macam mana hendak lawan dengan pihak penjenayah? Maka saya rasa perkara-perkara ini perlulah diberi pertimbangan supaya dalam pengagihan peruntukan patutlah diberi keutamaan dan apakah bidang yang perlu diberi keutamaan untuk mengagihkan peruntukan tersebut. Tuan Yang di-Pertua, dalam sistem penyampaian juga saya hendak kaitkan tentang kontrak-kontrak yang diberikan oleh kementerian. Bukan hanya Kementerian Kewangan, tetapi semua agensi kerajaan.

Kita adakan sistem kontraktor, melantik kontraktor, memberi tender dan kita ada negotiate tender, ada selective tender, ada open tender, ada close tender dan sebagainya. Saya tidak kisah bagaimanakah seseorang kontraktor itu mendapat kontrak yang tertentu tetapi akhirnya yang penting adalah hasil kerja tersebut dan apabila kontrak telah diberikan. Apabila seseorang kontraktor telah menghabiskan kerja, sistem pembayaran janganlah tunggu sehingga setengah tahun, satu tahun barulah pembayaran dibuat kepada kontraktor. Dalam hal yang sama juga kontraktor kita ini diberikan tugas kerana untuk meringankan beban kerajaan supaya dapat mempercepatkan proses pelaksanaan projek-projek dan merangsang aktiviti di kawasan tempatan serta merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih vibrant dan kita masih ada kelemahan dan kekurangan yang wujud dalam sistem kontraktor yang dijalankan terutama sekali dari segi pemantauan.

Tadi saya mempertahankan kontraktor tentang pembayaran tetapi sekarang ini kita juga hendak mempersoalkan apakah kontraktor-kontraktor yang dilantik itu dapat menjalankan tugas dengan baik? Apakah kerja-kerja yang telah dilaksanakan itu memuaskan? Apakah produk yang dihasilkan itu berbaloi, betul-betul ada kualiti? Maka saya minta pihak institusi pentadbiran kerajaan supaya mengkaji semula sistem pemantauan ke atas kontrak-kontrak yang diberikan. Saya hendak beri contoh, Tuan Yang di-Pertua. Di dalam kawasan saya sebuah sekolah telah dibina baru sahaja siap dibina tahun lepas bulan Ogos.

Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan, berdekatan dengan PJS 8 dan PJS 10, baru sahaja siap bulan Ogos diserahkan kepada Jabatan Pelajaran dan digunakan pada bulan September dan Oktober dan separuh bulan November. Tetapi dua bulan yang lepas mereka datang jumpa saya hendak minat peruntukan, minta sumbangan untuk memperbaiki bangunan sekolah, untuk memperbaiki padang sekolah. Nampaknya bila kita pergi ke tempat itu, adanya padang sekolah tetapi tidak ada rumput, yang ada hanyalah batu bata. Bagaimanakah budak-budak sekolah hendak menjalankan pendidikan jasmani?

 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Dekat padang itu memang tidak ada rumput... memang letak batu bata?

 

Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: Batu bata, kemudian sisa-sisa construction, sisa-sisa pembangunan, pembinaan ada di situ. Namanya padang sekolah tetapi tidak boleh sepak bola. Mungkin pendapat Yang Berhormat bagi Bera betul kena tukar nama padang batu bata bukan padang sekolah.

Tuan Yang di-Pertua apa yang saya hendak tekankan di sini ialah dari segi pemberian, penganugerahan kerja-kerja kontrak ini bagaimanakah kita memantau hasil kerja tersebut? Apakah mereka telah sendiri memberitahu pihak kementerian ataupun pihak jabatan kerja saya telah siap maka pembayaran dibuat. Tidak sampai setengah tahun bulan Ogos tahun lepas, dua bulan yang lepas tidak sampai setengah tahun projek siap tetapi hendak minta peruntukan, minta sumbangan untuk memperbaiki paip air bocor dan air mengalir ke dalam kelas. Pihak kontraktor kata paip yang kita beli itu mempunyai kualiti yang baik. Siapakah yang menjaga kualiti paip atau bekalan bahan-bahan binaan, siapa yang bertanggungjawab?

Apakah kita pula pihak PIBG diminta untuk mencari sumbangan derma daripada orang ramai untuk memperbaiki sistem paip air dan juga padang sekolah, mana adil? Oleh sebab itu saya minta pihak kementerian supaya kontrak-kontrak yang diberikan itu pastikan semua kerja siap dan kualiti kerja itu adalah bertaraf mengikut spesifikasi yang ditentukan, barulah kita membuat bayaran. Dan kalau kerja tidak sempat siap, tidak sempurna maka janganlah bagi ...

Dan sebelum itu saya pun hairan, pernah saya cakap dalam Parlimen ini bahawa apabila kita membina sekolah dan sebagainya pastikan adanya kemudahan-kemudahan yang minimum disediakan, contohnya di antara bangunan sekolah. Kalau ada bangunan sekolah, kita tahu bahawa pelajar-pelajar kena beralih dari satu kelas ke satu kelas untuk mengikuti kelas yang lain.

Maka kena lalu kawasan lapang. Kalau perlu lalu kawasan lapang binalah laluan pejalan kaki berbumbung supaya bila hujan budak-budak sekolah tidak kena hujan dan tidak basah. Kalau basah dan sakit, siapa yang jaga? Takkanlah kita hendak rujuk balik kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat lagi minta bantuan kewangan dan sebagainya, minta bantuan perubatan, tidak adil.

Maka semua spesifikasi itu kena dikaji semula supaya hendak menghasilkan sesuatu bangunan. Saya tidak minta sekolah itu dibina mengikut taraf dunia, tak payah. Taraf kebangsaan, cukup. Taraf kebangsaan yang boleh digunakan sebaik mungkin, itu sahaja. Ya, saudara.

 

Datuk Dr. Marcus Makin Mojigoh [Putatan]: Terima kasih sahabat saya dari Kelana Jaya, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Dengan ucapan Yang Berhormat tadi, soal kontraktor-kontraktor yang membina sekolah ini Tuan Yang di-Pertua, saya juga telah membawa perkara yang sama dalam perbahasan saya pada minggu yang lepas. Saya minta penjelasan sedikit daripada Yang Berhormat soal kontraktor-kontraktor yang kononnya menyiapkan kerja projek-projek sekolah ini. Adakah sistem pemeriksaan Certification of Works Completion dilaksanakan dengan cara yang betul? Oleh sebab di kawasan saya ada parit yang tidak mengikut spesifikasi bangunan sekolah. Parit dibina dekat dengan tiang sekolah manakala bumbung itu jatuh di lain tempat. Jadi, bagaimana? Saya minta penjelasan sedikit daripada Yang Berhormat.

 

Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: Macam mana saya hendak jelaskan? Inilah kesilapan kontraktor yang dilantik. Kalau kontraktor itu tidak ada kualiti, tidak dapat jalankan tugas, kita buang sahajalah. Kita gugurkan dari senarai kontraktor. Tidak kisahlah dia Kelas F, Kelas A, Kelas B, Kelas C, Kelas D ke? Kalau tidak dapat buat kerja yang memuaskan, kita janganlah memasukkan dia. Mungkin ada kontraktor dia daftarkan dengan nama yang lain, nama syarikat lain, tetapi orang yang sama dan saya minta pihak kementerian supaya melihat perkara ini. Kalau seseorang itu tidak dapat melaksanakan kerja dan sekiranya syarikatnya telah digugurkan dalam senarai kontraktor dan dia tubuhkan syarikat yang lain, maka pihak kementerian harus juga memantau dan meneliti dia adalah orang yang sama terlibat, maka kita tidak perlu beri dia sijil yang baru untuk pergi ke Kelas yang lain. Itu saya minta kementerian supaya melihat..

... Ada lagi dua perkara Tuan Yang di-Pertua. Ringkas sahaja. Tuan Yang di-Pertua, hujan di luar Dewan baru berhenti. Semasa tadi hujan lebat, hati saya pun tidak senang. Sebenarnya saya hendak balik kawasan tengok apakah yang agaknya berlaku di kawasan saya? Sebab semalam, saya baru sahaja melawat ke pangsapuri di mana terdapat pangsapuri yang tiap-tiap kali hujan, walaupun kawasan di dalam kawasan daerah Petaling dan dikatakan kawasan yang maju di negeri Selangor. Negeri Selangor dikatakan negeri yang maju di negara kita. [Disampuk]. Tetapi dari hal-hal yang berlaku macam ini, saya rasa susah hatilah. Bila hujan, memang ada banyak perkara. Bumbung terbang, pintu tercabut...betul!!! Pintu tercabut, cermin habis pecah. Ini di kawasan Desa Ria, Desa Mentari dan Kg. Lindungan di kawasan saya. Bila tanya pemaju, pemaju kata ini bukan salah kita, kita telah siapkan kerja. Ini adalah salah Tuhan katanya, kerana itulah kawasan laluan angin. Kawasan laluan angin, tiap-tiap kali angin hujan, angin akan bertiup kuat, maka setiap kali bila hujan, maka bumbung terbang. Pintu tercabut. Memang berlaku dalam dua, tiga hari.

Tiap-tiap malam, saya pergi sampai pukul 1.00, pukul 2.00 malam, pergi tengok kawasan. Pergi console penduduk-penduduk di situ, kena beri sumbangan lagi. Saya tidak tahulah bagaimana pihak kementerian bertanggung jawab sama ada jabatan pihak berkuasa tempatan, pemaju yang memberi kelulusan dan juga Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Kalau dikatakan itu adalah kerana bencana alam, mungkin Kementerian Sains dan Teknologi dan sebagainya akan mengkaji apakah itu tempatnya laluan angin? Maka tidak boleh dibina pangsapuri-pangsapuri yang bertingkat 14. Malahan semalam tempat yang saya lawati itu hanya 5 tingkat sahaja, pun berlaku juga. Sebenarnya bagi saya bukan kerana kawasan laluan angin.

Kalaupun kawasan gempa bumi, kalau strukturnya bagus, foundationnya bagus, bila ada gempa bumi yang bergerak sedikit pun, bangunan tidak akan runtuh. Kalau katanya ini kerana bencana alam, di Jepun kalau ada gempa bumi, semua bangunan di seluruh negara Jepun habis runtuh. Tetapi kita hendak lihat kualitinya.

Kualiti kerja patut diberi perhatian dan juga mungkin pihak kementerian yang berkaitan yang mengkaji cuaca, yang mengkaji geografi, tanah dan sebagainya, mungkin juga hendak mempersoalkan apakah kepakaran dalam kementerian-kementerian yang tertentu? Kita membayar gaji, kita membayar emolumen dan sebagainya. Apakah kepakaran mereka? Apakah pihak Kementerian atau Jabatan Alam Sekitar yang menganalisis, memberi komen sebelum pemaju diberi kebenaran untuk memajukan dan sebagainya telah menjalankan tugas dengan baik. Dengan mengikut profesionalisme mereka supaya sebelum sesuatu pemajuan dilakukan, maka adanya komen, maka adanya perdebatan yang telah diberikan kepada pihak berkuasa tempatan, maka hanyalah selepas itu sahaja barulah kelulusan diberikan untuk pemajuan. Maka perkara ini saya rasa haruslah diambil perhatian oleh kementerian.

Perkara yang terakhir sekali Tuan Yang di-Pertua, ialah penggunaan sumber kementerian-kementerian. Kita tahu bahawa misalannya dalam Program Latihan Khidmat Negara, Kementerian Pertahanan melaksanakan dan menjaga PLKN ini. Kita tahu bahawa sekarang ini Kementerian Pertahanan tidak mempunyai sumber yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan semua peserta di negara kita untuk mengikuti PLKN. Di negara kita adanya peer group remaja sebaya yang berumur 18 tahun seramai 450,000 orang. Hanya 100,000 orang yang terpilih untuk mengikuti PLKN. Maka ada 350,000 orang tidak ada peluang.

Mungkin ada yang dikatakan bahawa saya bernasib baik kerana dipilih, ada yang kata saya tidak bernasib baik kerana tidak dipilih. Walau bagaimanapun, program PLKN ini adalah bagus untuk semua dan janganlah hanya dimanfaatkan oleh segelintir sahaja, hanya 100,000 orang sahaja. Manakala 350,000 orang tidak diberi peluang. Walau bagaimanapun, kita faham bahawa Kementerian Pertahanan tidak mempunyai sumber yang cukup. Tidak ada facility, tidak ada prasarana, tidak ada kemudahan yang mencukupi untuk menampung semua remaja. Yang Berhormat Sabak Bernam hendak bercakap? Okey, sedikit.

 

Dato’ Haji Mat Yasir bin Haji Ikhsan [Sabak Bernam]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat bagi Kelana Jaya. Saya anggap isu PLKN ini sebagai isu yang sangat penting dan kritikal dalam pembangunan generasi anak kita yang akan datang.

Saya hendak tanya pandangan Yang Berhormat. Bagi saya, PLKN ini yang boleh membina patriotisme jati diri anak-anak kita, sepatutnya dipilih dan dikenal pasti daripada peringkat sekolah di mana anak-anak kita ini nampak berisiko dan mungkin berisiko tinggi. Mereka ini dipilih daripada golongan yang di sekolah itu telah pun diberikan ruang dan peluang seperti pengawas dan menjadi pemimpin. Kerana mereka ini, kita jelas watak dia.

Seperti kata Yang Berhormat, bilangannya pun dalam 100,000 orang. Mereka yang keluar daripada SPM ini, lebih 416,000 orang. Jadi bagi saya, peluang tempat seperti ini harus diberikan kepada anak-anak kita yang kita nampak mungkin ada masalah dalam konteks jati diri dia, ketahanan dirinya, patriotisme. Apa pandangan Yang Berhormat? Terima kasih.

 

Tuan Loh Seng Kok [Kelana Jaya]: Terima kasih Yang Berhormat bagi Sabak Bernam. Tuan Yang di-Pertua, sama ada mereka telah pernah menjadi pengawas, pengakap di sekolah tidak mengapa. Bagi saya, yang penting adalah semua remaja yang umurnya sebaya, diberi peluang untuk memperkasa atau memperlengkapkan diri dari segi perwatakan dan membina semangat dan jati diri yang waja dan sebagainya. Semuanya perlu diberi peluang. Tetapi cara bagaimana, akan saya pergi lebih mendalam dalam hal ini. Tetapi saya bersetuju, semua harus diberi peluang. Tidak kisah melibatkan pengawas dan sebagainya.

Tetapi ada cara-caranya yang tertentu yang boleh kita memperbanyakkan lagi peluang kepada remaja kita untuk memperlengkapkan diri mereka. Dalam hal kekurangan Kementerian Pertahanan dan ada juga ura-ura atau cadangan yang mengatakan bahawa wanita atau remaja perempuan tidak sesuai untuk mengikuti PLKN. Maka hendak di readjust semula, 60 peratus lelaki, 40 peratus perempuan dan sebagainya. Kerana kursus atau modul-modul di dalam PLKN ini, mungkin dari segi latihan fizikalnya mungkin terlalu tidak begitu sesuai bagi golongan perempuan.

Walau bagaimanapun, bagi saya ada caranya untuk menyelesaikan masalah ini dan cadangan saya adalah kita mempelbagaikan pakej PLKN di bawah agensi-agensi yang berlainan kerana Kementerian Pertahanan tidak akan mampu untuk menangani semua masalah ini dan cadangan saya untuk mempelbagaikan ini adalah mungkin lebih baik daripada serampang dua mata. Iaitu kita tahu bahawa kita kekurangan remaja belia untuk menyertai pasukan polis. Kita sentiasa hendak mempromosikan pasukan polis, profesion polis kepada golongan muda supaya dapat bersama-sama mengatasi masalah keselamatan tempatan dan sebagainya.

Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan tentang bidang kejururawatan. Kita juga kekurangan jururawat. Sampai ada hospital yang kekurangan jururawat. Katakan mungkin kawan-kawan yang tertentu yang tidak minat dalam jururawat dan juga polis dan bagi jururawat ada pihak hospital swasta mengambil jururawat dari luar negara. Maka untuk menyelesaikan masalah ini, dan semua ini adalah badan-badan beruniform. Jururawat pun ada uniform sendiri, polis juga ada uniform dan saya cadangkan bahawa kementerian mempelbagaikan PLKN satu pakej di bawah polis, satu pakej di bawah kejururawatan. Maka remaja kita boleh membuat pemilihan hendak ikut pakej PLKN di bawah Kementerian Pertahanan ataupun hendak mengikuti pakej PLKN di bawah Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan satu pakej mungkin lebih ramai remaja perempuan hendak memilih mengikuti pakej PLKN di bawah Kementerian Kesihatan iaitu dalam bidang kejururawatan. Mereka semua ini diberi exposure, diberi pendedahan. Maka, apabila remaja kita diberi pendedahan, tentang kepolisan, kejururawatan, satu hari nanti mungkin ini menjadi minat mereka. Maka mereka mohon menjadi polis dan satu golongan lagi mohon untuk menjadi jururawat. Maka saya rasa ini dapat menyelesaikan pelbagai masalah dan dalam bidang kejururawatan pun kita perlukan jururawat lelaki. Mungkin dalam pakej kejururawatan PLKN di bawah Kementerian Kesihatan, kita boleh agihkan 80% perempuan, 20% lelaki dalam pakej PLKN di bawah Kementerian Kesihatan.

Maka kita dapat menarik minat supaya semua orang sama-sama bertanggungjawab semasa mencintai negara kita masyarakat kita. Maka kita akan dapat menarik minat belia-belia pada satu hari nanti mohon menjadi polis, mohon menjadi jururawat dan kita tidak perlu bergantung kepada negara lain atau pun pekerja-pekerja dari luar negara untuk menjaga keselamatan kita. Itulah sahaja saya hendak bangkitkan dan saya minta pihak kementerian yang bertanggungjawab pertimbangkanlah cadangan-cadangan saya dengan seriusnya. Dengan itu saya mohon menyokong. Sekian terima kasih.

 

Home Back My Profile 简介 My Opinion 观点 In the News 新闻 Gallery 活动照片 Voter Search Links 网站连接 Contact Us 联络 Advanced Search
Send mail to mpcentre@kelanajaya.com.my with questions or comments about this web site.
Copyright © 2004 - 2009 Loh Seng Kok 卢诚国
Last modified:  Monday, August 10, 2009