Loh Seng Kok

Parlimen Malaysia

Barisan Nasional MCA

Loh Seng Kok 卢诚国
Member of Parliament for Kelana Jaya
雪州格拉那再也区国会议员
(2004 - Feb 2008)

Today is 

Perbahasan Bajet 2007

Home
Back
My Profile 简介
My Opinion 观点
In the News 新闻
Gallery 活动照片
Voter Search
Links 网站连接
Contact Us 联络
Advanced Search

Pages on this website have been viewed
Hit Counter
times

PERBAHASAN BAJET 2007 OLEH YB LOH SENG KOK, AHLI DEWAN RAKYAT KAWASAN KELANA JAYA PADA 13 SEPTEMBER 2006 (RABU)

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tuan Yang DiPertua,

Bajet 2007 yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada 1 Sept 2006 itu mempunyai satu mesej bahawa Kerajaan berhasrat melaksanakan misi nasional ke arah mencapai wawasan negara. Bajet 2007 semacam beg yang penuh berisi kudap-kudapan (a bag full of goodies) untuk dibahagi-bahagikan kepada semua sektor, setiap lapisan masyarakat, dari rakyat sehinggalah korparat masing-masing memperolehi insentif-insentif tertentu. Tidak ada golongan yang tertinggal.

Perkara yang akan disentuh dalam perbahasan saya:

1) Mewujudkan masyarakat penyayang – Yuran Peperiksaan

2) Meningkatkan kualiti pengangkutan awam – Rangkaian LRT & sokongan

3) Melonjakkan industri halal ke fasa global – Pengusaha Kecil & Sederhana (SME)

4) Menjamin keselamatan awam – Polis, Pendatang Asing & Penduduk Tetap

 

Tuan Yang DiPertua,

1)           TERAS KEEMPAT: MENINGKATKAN TAHAP DAN KEMAMPANAN  KUALITI HIDUP

Kerajaan berazam mewujudkan masyarakat penyayang.  Saya amat berterima kasih kepada YAB PM yang begitu prihatin terhadap cadangan kita bagi pihak rakyat dan mansuhkan yuran peperiksaan UPSR, PMR, SPM atau setarafnya, serta STPM di semua sekolah Kerajaan. Ini bermaksud kutipan Kerajaan dijangka berkurangan sebanyak lebih kurang RM71 juta.

Di dalam masyarakat kita, terdapat juga sebilangan remaja yang kurang bernasib baik, mereka tidak belajar di mana-mana sekolah persendirian atau sekolah Kerajaan. Mereka ini berazam untuk terus menuntut ilmu, melengkapkan diri dan belajar secara persendirian sambil bekerja untuk mencari nafkah hidup. Mereka mengambil peperiksaan Kerajaan sebagai calon persendirian atau calon pos (study by mail).

Terdapat juga sebilangan pelajar yang berasal dari keluarga kurang berada tetapi memilih untuk menuntut di sekolah agama atau sekolah menengah persendirian Cina. Mereka juga rakyat Malaysia. Walau pun bukan belajar di sekolah Kerajaan, mereka juga mengambil peperiksaan Kerajaan selain dari peperiksaan di dalam sistem persekolahan bukan Kerajaan masing-masing. Bilangan pelajar dalam kategori calon persendirian, calon dari sekolah agama dan sekolah menengah persendirian Cina ini tidak ramai.

Mengikut data yang diperolehi, kutipan yuran peperiksaan UPSR tahun 2004, tanpa mengambil kira sekolah antarabangsa, sekolah ekspatriat dan sekolah rendah swasta yang berunsur komersial, kutipan yang diperolehi dari sekolah rendah agama dan sekolah khas / istimewa untuk kanak-kanak OKU adalah RM5,135.50 sahaja;

Manakala kutipan yuran peperiksaan PMR & SPM bagi tahun 2004, tanpa mengambil kira sekolah menengah swasta yang berunsur komersial, kutipan diperolehi dari sekolah menengah agama dan sekolah menengah persendirian Cina adalah kurang dari RM1.9 juta;

Manakala kutipan yuran peperiksaan SPM dari calon persendirian atau calon pos bagi tahun 2004 adalah RM29,360.00 sahaja.

Dengan ini, jumlah kutipan yuran peperiksaan tahun 2004 dari sekolah rendah agama, sekolah khas / istimewa, sekolah menengah agama, sekolah menengah persendirian Cina dan calon persendirian atau calon pos adalah kurang dari RM2 juta sahaja. Jumlah RM2 juta ini amatlah kecil berbangding dengan cadangan pemansuhan yuran peperiksaan RM71 juta, jauh lebih kecil berbanding dengan kerugian Kerajaan dalam projek-projek sakit & terbengkalai, pampasan tol, tuntutan kontraktor “scenic bridge” dan lain-lain lagi yang bernilai beratus-ratus juta ringgit (berbilion-bilion ringgit).

“Why don’t the Government be a little bit more gracious, a little bit more generous and don’t take the little sum and could make you win more hearts”

Sehubungan itu, bersesuaian dengan langkah mewujudkan masyarakat penyayang, mengamalkan sikap terbuka, membina satu warga bangsa yang kukuh teguh dalam kepelbagaian latar belakang, membina modal insan yang mahir dan berpengetahuan, untuk ini, saya meminta dan menyeru agar pihak badan eksekutif negara dapat bersetuju dengan saranan badan perundangan untuk berkorban sedikit lagi dan memansuhkan yuran peperiksaan bagi pelajar-pelajar persendirian, pelajar-pelajar sekolah khas / istimewa, sekolah rendah dan menengah agama, serta sekolah menengah persendirian Cina.         

(back to top) 

 

2)             TERAS KELIMA: MENGUKUHKAN KEUPAYAAN INSTITUSI DAN PELAKSANAAN

Meningkatkan kualiti pengangkutan awam.

Pengembangan sistem transit aliran ringan  atau LRT atau rel, samada STAR dan PUTRA adalah antara langkah-langkah yang menggalakkan yang diambil oleh Kerajaan dalam memperbaiki sistem pengangkutan awam.

Rakyat dan warga dalam kawasan Parlimen Kelana Jaya yang meliputi kawasan Bandar Sunway, Subang Jaya, USJ dan berjiran dengan Puchong amat mengalu-alukan cadangan Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) ingin menambah 140 lagi bilangan tren untuk memperluaskan lagi perkhidmatan rel bandar, melaksanakan penyambungan laluan rel daripada Kelana Jaya ke Subang Jaya dan USJ, serta daripada Sri Petaling ke Puchong, yang dijangka siap pada tahun 2009.

Kawasan Subang Jaya dan USJ bersempadan dengan Puchong. Kawasan berkenaan sedang giat dibangunkan dan mempunyai kepadatan penduduk yang terlalu tinggi. Perjalanan harian adalah sibuk, jalan-jalan yang menghubungkan Bandaraya Kuala Lumpur dan lain-lain bahagian Lembah Kelang dengan kawasan USJ, Subang Jaya, Kelana Jaya dan Puchong adalah sentiasa sesak.  Aktiviti sosio-ekonomi adalah sangat aktif juga.

Maka kita perlu mengadakan jaringan rel yang baik, networking yang menyeluruh. Sehubungan itu, saya cadangkan supaya perkhidmatan rel dapat disambungkan di antara kawasan Subang Jaya atau USJ dengan Puchong untuk membentuk satu rangkaian perkhidmatan rel yang lebih sempurna.

Sebelum pihak berkuasa berkenaan membuat keputusan untuk memilih tapak sebagai lokasi terminal rel dan memilih salah satu daripada beberapa laluan yang dicadangkan, pendengaran awam atau taklimat kepada orang ramai perlu diadakan selari dengan prinsip Local Agenda 21, Supaya penduduk tempatan dapat diyakinkan dengan sistem pengangkutan yang berintegrasi, tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat.

Penduduk berasa lokasi terminal LRT hendaklah sesuai, sistem transit aliran ringan ini hendaklah berkesan dengan adanya sokongan daripada sistem berintegrasi iaitu bas-bas “feeder” ke kawasan perumahan tempatan, tempat letak kereta yang mencukupi, ciri-ciri keselamatan dititikberatkan seperti pemasangan CCTV dan peralatan komunikasi di kawasan letak kereta dan dalam tren.

(back to top)  

 

3)           TERAS PERTAMA: MENINGKATKAN EKONOMI DALAM RANTAIAN NILAI LEBIH TINGGI

Kerajaan menaruh harapan ke atas sektor swasta agar terus menjadi pemangkin dan peneraju pertumbuhan ekonomi. YAB PM juga berjanji bahawa Kerajaan terus komited menyediakan persekitaran kondusif, meningkatkan lagi daya saing sektor swasta di dalam pasaran antarabangsa, termasuk ingin “melonjakkan industri halal ke peringkat global”.

Langkah-langkah yang dicadangkan untuk memajukan industri halal disambut baik oleh pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana (SME). Langkah-langkah itu termasuklah penubuhan Perbadanan Kemajuan Industri Halal dengan diberi geran pelancaran RM25 juta, Malaysian International Halal Showcase (MIHAS) dan World Halal Forum diteruskan sebagai acara tahunan, SME Bank diperuntukkan RM20 juta untuk memberi pinjaman kepada usahawan yang membangunkan produk halal, dan peruntukan RM50 juta bagi penyediaan tapak Taman Halal (Halal Park) di beberapa buah negeri.

Saya yakin bahawa langkah-langkah berkenaan dapat membantu pengusaha-pengusaha tempatan meningkatkan lagi mutu pengeluaran produk halal mereka, dan seterusnya mengembangkannya ke pasaran dunia di dalam membantu negara menaikkan kadar eksport secara global. Seterusnya, ia dapat membantu menaikkan kadar  pertukaran wang asing negara, memberi peluang pekerjaan kepada penduduk-penduduk tempatan, membangunkan industri tempatan, mempromosikan produk-produk halal dan perkhidmatan ke pasaran antarabangsa serta dapat memberi sokongan dan bantuan kepada pengusaha tempatan membuat pelaburan di dalam perindustrian produk halal.

Oleh yang demikian, di dalam menggalakkan pengeluar-pengeluar makanan tempatan untuk memperolehi sijil pematuhan halal yang diiktiraf dunia iaitu daripada JAKIM, di sini saya ingin membuat beberapa cadangan mengenai pematuhan dan syarat-syarat yang dikehendaki di dalam mendapatkan sijil halal iaitu dari segi kos, keselesaan (convenience), pemudahan & kesenangan (simplification) dan kecekapan (efficiency).

Dalam usaha “Mempromosikan Industri Halal di Peringkat Global” dan meningkatkan daya saing di kalangan pengusaha, saya menyarankan agar pihak JAKIM dapat membantu pengusaha menyediakan kos perbelanjaan yang berhemah, terutamanya kepada para pengusaha kecil dan sederhana agar mereka dapat meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran produk mereka dan seterusnya memberi peluang kepada mereka untuk bersaing dari segi harga dan mutu produk di peringkat antarabangsa. Kos-kos berhemah ini diharap agar tidak membebankan kepada pengusha-pengusaha tersebut di samping mematuhi syarat-syarat pengeluaran sijil halal.

Sekiranya pengusaha-pengusaha tersebut terlalu dibebankan dengan pelbagai perbelanjaan dan pelaburan tidak relevan untuk pengeluaran sijil halal, adalah dikhuatiri daya saing yang tidak sihat akan timbul dan seterusnya menyukarkan mereka untuk berkembang terutamanya kepada pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana (SME).

Di dalam melaksanakan pematuhan terhadap permohonan sijil halal, adalah diharapkan agar pihak JAKIM dapat menggunakan satu garis panduan yang seragam di seluruh Malaysia supaya tidak timbul sebarang percanggahan dan pertikaian yang berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain. Ini adalah bertujuan memberi keselesaan kepada pengusaha agar tidak berasa keliru di dalam mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan untuk mencapai satu matlamat yang sama iaitu untuk mendapatkan sijil halal bagi pengeluaran produk mereka.

Terdapat dua aspek yang perlu diberi pertimbangan utama dalam pemberian sijil halal, iaitu 1) teknikal, keselamatan & kebersihan persekitaran (safe & hygienic environment), dan 2) Ramuan atau kandungan bahan-bahan (ingredients). Dari segi teknikal, keselamatan dan kebersihan, sekiranya pengusaha telah mendapat pengiktirafan HACCP (Hazard Analysis and Critical Control Point) dan ISO, saya ingin mencadangkan bahawa ianya hendaklah diterima sebagai mematuhi syarat teknikal dan keselamatan dalam membuat permohonan sijil halal; manakala pihak JAKIM hendaklah lebih memberi tumpuan dan pemeriksaan kepada kandungan bahan-bahan di dalam membuat sesuatu pengeluaran atau produk.

Ini adalah bertujuan untuk mempermudahkan proses permohonan sijil halal. Sekiranya sesebuah syarikat itu tidak mempunyai apa-apa sijil HACCP atau ISO, saya ingin menyarankan kepada pihak JAKIM untuk membuat senarai semak yang lebih jelas dan terperinci mengenai ciri-ciri keselamatan yang diperlukan di dalam mematuhi permohonan sijil halal.

Sehubungan dengan itu, para penaksir / pengaudit dari JAKIM yang telah diberi tanggungjawab membuat pemeriksaan di sesebuah premis atau kilang untuk tujuan mengeluarkan sijil halal hendaklah dilatih untuk menjalankan tugas-tugas mereka dengan cekap, dedikasi dan berkesan.  Diharapkan penaksir / pengaudit dapat memberi penerangan dan penjelasan yang mudah dan senang difahami oleh pengusaha agar tidak mendatangkan sebarang keraguan dan kemusykilan.

Permohonan sijil halal yang dibuat oleh pengusaha-pengusha tempatan hendaklah diproses dengan secepat yang mungkin oleh pihak JAKIM dan tidak memakan masa berbulan-bulan untuk diluluskan. Di dalam menggalakkan promosi produk halal ke peringkat antarabangsa, adalah penting bagi sesebuah syarikat  untuk mendapatkan sijil halal bagi memudahkan mereka mengeksport barang-barang pengeluaran mereka ke luar Negara, dan seterusnya dapat bersaing dengan negera-negara jiran seperti Indonesia dan Thailand di dalam memperkembangkan ekonomi negara dan seterusnya memperkenalkan produk keluaran negara yang halal dan bermutu tinggi.

Oleh yang demikian, kecekapan, ketepatan dan pemudahan proses meluluskan permohonan sijil halal memainkan peranan yang penting di dalam meyumbangkan pertumbuhan ekonomi negara.

(back to top)

 

4)              TERAS KE-4: MENINGKATKAN TAHAP DAN KEMAMPANAN KUALITI HIDUP

Menjamin keselamatan awam

Kerajaan akan mempastikan keselamatan awam sentiasa dijamin dan memberi peruntukan RM4.9 bilion kepada PDRM untuk meningkatkan kecekapan operasinya dan menambahkan anggota polis. Langkah sedemikian diharap dapat menangani masalah jenayah yang kian meningkat, khususnya jenayah yang dilakukan oleh pekerja asing.

Akan tetapi, menurut Tan Sri Musa Hassan (PDRM) pada 22 Ogos 2006 (Utusan Malaysia), kebanjiran pendatang asing yang kini melebihi 2.4 juta orang di negara kita menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah.

Dalam Rancangan Malaysia ke-9, m/s 250, perkara 11.34 menyatakan bahawa Kerajaan berjanji mengurangkan bilangan pekerja asing supaya memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Sungguhpun begitu, ramai yang terkilan dengan mesyuarat J/K Kabinet mengenai Pelancongan pada 18/8/2006 telah membuat keputusan untuk membolehkan lebih banyak sektor mengambil pekerja asing.

Hakikatnya, bilangan pekerja asing yang semakin bertambah telah mengakibatkan pelbagai impak negatif, lalu menjejaskan keharmonian masyarakat tempatan. Ramai pekerja asing membanjiri dari negara jiran, sama ada yang berpermit atau haram, disebabkan permintaan gaji yang rendah, para majikan memberi keutamaan untuk mengupah pekerja asing daripada pekerja tempatan, lalu menyebabkan pengangguran rakyat kita.

Tambahan pula, tahap budaya dan kemahiran bagi kebanyakan pekerja asing yang masuk ke negara kita adalah lebih rendah daripada rakyat kita, ia secara keseluruhannya telah menurunkan kualiti budaya dan tahap kemahiran negara, serta menyebabkan tahap produktiviti negara tidak dapat ditingkatkan, lalu akan menjejaskan pembangunan negara pada jangka panjang.

Secara ringkasnya, kita harus sedar akan kesan-kesan kehadiran pendatang asing ke atas kesihatan, ekonomi, sosial dan keselamatan negara, di antaranya:

i.          menimbulkan masalah sosial dalam masyarakat;

ii.          meningkatkan kejadian jenayah;

iii.         kehilangan pendapatan Kerajaan kerana pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak membayar levi, visa dan    bayaran lain;

iv.         meningkatkan perbelanjaan Kerajaan untuk mengurus segala isu berkaiktan PATI;

v.         wujudnya aktiviti-aktiviti pemalsuan dokumen Kerajaan seperti passport, MyKad, permit kerja dan lain-lain lagi;

vi.         menutup peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan; dan

vii.        kemungkinan merebak penyakit berjangkit yang dibawa oleh PATI.

Maka, adalah diharapkan Kerajaan supaya menitikberatkan isu kebanjiran pekerja asing berpermit dan haram yang berkualiti rendah ke negara kita, berusaha untuk mengurangkan bilangan pekerja asing serta pecahan penduduk asing dalam negara kita.

Dalam hal ini, Kerajaan harus lebih tegas dalam isu kelulusan permohonan warganegara asing untuk menjadi Pemastautin Tetap negara kita.

Pada 10hb Julai 2006, ketika sesi soal jawab dalam Dewan Rakyat, pihak Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah menyatakan bahawa, sehingga Mac 2006, seramai 377,842 warganegara asing telah diberikan taraf Pemastautin Tetap di negara ini. Antaranya, warga Indonesia mencatatkan sejumlah 143,995 orang, sementara warga dari 9 buah negara lain yang diberikan taraf Pemastautin Tetap amatlah rendah (5,294), namun seramai 228,533 orang tidak dinyatakan negara asal masing-masing.

Statistik Pemastautin Tetap mengikut negara asal:

Bil

Negara Asal

Jumlah

1

Indonesia

143,995

2

Kemboja

1,868

3

India

1,647

4

Singapura

717

5

Filipina

342

6

China

254

7

Thailand

235

8

Brunei

111

9

Taiwan

67

10

British

53

11

Lain-lain

228,533

 

 

377,842

Ini telah menimbulkan dua persoalan yang perlu dipertikaikan. Pertama, bilangan warga asal Indonesia diberi taraf Pemastautin Tetap amatlah tinggi; kedua, bilangan warga asing yang telah diberikan taraf Pemastautin Tetap negara kita tetapi tidak dinyatakan negara asalnya, jauh lebih tinggi. Pihak berkenaan patut memberi penjelasan yang sewajarnya.

Dalam era globalisasi abad 21, sesebuah negara mesti meningkatkan tahap budaya dan kemahiran untuk menghadapi persaingan hebat antarabangsa. Maka, pihak berkuasa seharusnya mengurangkan pekerja asing berpermit dan haram yang berkualiti rendah, serta mengurangkan perusahaan-perusahaan yang mengguna tenaga kerja berkemahiran rendah yang banyak mengupah pekerja asing, dengan ini membolehkan tahap kemahiran negara kita dapat ditingkatkan.

Selain itu, pihak berkuasa harus berusaha menarik pakar tempatan yang berada di luar negara untuk kembali berkhidmat di negara kita bagi membantu dalam meningkatkan tahap kemahiran dan pengetahuan negara. Sekembalinya mereka, kita harus berusaha supaya mereka sanggup meneruskan perkhidmatan dalam negara, tetapi bukannya menghalau mereka dengan pelbagai kerumitan dan kesukaran menerusi kerenah birokrasi, kerana ini merupakan kerugian seluruh negara dan masyarakat.

Pihak penguatkuasa juga harus tegas dalam penangkapan pekerja asing tanpa izin, demi menjaga keselamatan dan keharmonian masyarakat.

(back to top)

 

Home Back My Profile 简介 My Opinion 观点 In the News 新闻 Gallery 活动照片 Voter Search Links 网站连接 Contact Us 联络 Advanced Search
Send mail to mpcentre@kelanajaya.com.my with questions or comments about this web site.
Copyright © 2004 - 2009 Loh Seng Kok 卢诚国
Last modified:  Monday, August 10, 2009