Loh Seng Kok

Parlimen Malaysia

Barisan Nasional MCA

Loh Seng Kok 卢诚国
Member of Parliament for Kelana Jaya
雪州格拉那再也区国会议员
(2004 - Feb 2008)

Today is 

Rancangan Malaysia ke-9

Home
Back
My Profile 简介
My Opinion 观点
In the News 新闻
Gallery 活动照片
Voter Search
Links 网站连接
Contact Us 联络
Advanced Search

Pages on this website have been viewed
Hit Counter
times

PERBAHASAN OLEH YB LOH SENG KOK, AHLI DEWAN RAKYAT KAWASAN KELANA JAYA (P.104) PADA 19 APRIL 2006 (Rabu), ATAS USUL DIBUAT OLEH YAB PERDANA MENTERI MENGENAI RANCANGAN MALAYSIA KE-9.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

Saya bangun untuk mengambil bahagian dalam membahaskan usul yang dikemukakan oleh YAB Perdana Menteri mengenai Rancangan Malaysia Ke-9.

Sebelum saya teruskan, oleh kerana ramai rakan dalam Dewan ini pernah mengatakan suara saya kurang jelas kerana ada sedikit kekurangan rekabentuk kedudukan dalam Dewan ini. Kedudukan kerusi saya berada di selekoh, dan mikrofon berada di sebelah kiri. Mengikut Peraturan Mesyuarat 35(1), saya kena mengarahkan ucapan kepada Tuan Yang Di-Pertua yang berada di sebelah kanan saya.

Oleh itu, saya mohon agar pihak pentadbiran Dewan mengambil perhatian dan tindakan segera agar mikrofon di sini dipindah pasang ke sebelah kanan dan menggunakan mikrofon yang boleh dilaraskan (adjustable) mengikut ketinggian seseorang.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang bertema Bersama Ke Arah Cemerlang, Gemilang & Terbilang merupakan satu rancangan yang ingin memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat kerana penekanan utama adalah kepada pembangunan sumber manusia dan pembangunan fizikal. RMK-9 memetakan strategi-strategi pembangunan negara ini untuk tempoh 2006-2010.

RMK-9 perlu mengandungi langkah-langkah yang cukup radikal bagi membawa Malaysia ke tahap pembangunan yang lebih mantap seterusnya menghala wawasan 2020. Langkah-langkah ini perlu mengambil kira perubahan pantas lanskap global dan perlu memastikan negara kita kekal dengan daya persaingan yang tinggi dalam persekitaran dunia yang semakin mencabar.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

Cadangan Insentif Bagi Pemberi Sumbangan Kepada Sekolah

Modal insan negara yang berkualiti merupakan elemen paling kritikal dalam pencapaian Misi Nasional. Pembangunan modal insan harus dilakukan secara holistik melalui pendidikan, latihan, pembelajaran sepanjang hayat dan agama. Pendidikan wajib di peringkat rendah yang dilancarkan Kerajaan pada tahun 2003 merupakan langkah bijak bagi memastikan setiap warganegara dapat menikmati pelajaran peringkat rendah .

Bagi mencapai matlamat pendidikan wajib ini, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk menyediakan kemudahan-kemudahan pendidikan yang cukup dan baik bagi setiap rakyatnya. Kelengkapan seperti sekolah-sekolah, guru terlatih, buku-buku dan sebagainya perlu diutamakan.

Pendidikan yang berkesan bermula dari kanak-kanak dan berterusan sehingga dewasa. Kerajaan mesti komited bagi mengurangkan buta huruf dewasa sebanyak 50% menjelang 2015.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

Sejumlah RM45.1 bilion akan diperuntukkan dalam tempoh RMK-9 untuk melaksanakan pelbagai program pendidikan dan latihan (Jadual 11-8, m/s 273, RMK-9,). Antaranya, sebanyak RM4.84 bilion telah diperuntukkan kepada sekolah rendah sebagai peruntukan pembangunan, berbanding dengan RM5.37 bilion pada RMK-8 yang menunjukkan penyusutan sebanyak RM0.53 bilion (9.9%). Penyusutan peruntukan ini agak emeranjatkan memandangkan bilangan pelajar sekolah rendah bertambah dari 2.91 juta pada tahun 2000, 3.04 juta pada 2005 ke 3.20 juta pada tahun 2010.

Di samping itu, dalam RMK-8, perbelanjaan Kementerian Pelajaran adalah RM24.17 bilion berbanding peruntukan pembangunan dalam RMK-9 hanyalah RM16.96 bilion dan sasaran Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) ialah sebanyak RM6.24 bilion.

Mengikut deklarasi pendidikan di Dakar pada 25 April 2000, (NGO Declaration on Education for All, International Consultation of Non-Governmental Organizations, Dakar 25 April 2000), Kerajaan digalakkan membelanjakan sebanyak 6% daripada GNP untuk pendidikan.

Pendidikan yang bermutu bermula dengan prasarana yang baik. Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan bagi menyediakan tempat pelajaran yang mencukupi bagi pendidikan peringkat rendah. Pembinaan sekolah yang baru di kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi seperti sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru, penambahan pembinaan bilik darjah di sekolah yang sedia ada serta peruntukan kewangan yang sama rata harus dipergiat dan disalurkan dengan secepat mungkin. Pembinaan sekolah rendah yang baru sebanyak 180 buah di seluruh pelusuk negara dalam RMK-9 amat dialu-alukan. Namun demikian, Kerajaan kena mengambil kira sumbangan dan pembinaan sekolah kebangsaan, SJKC dan SJKT. Sekolah-sekolah baru semua aliran perlu dibina di kawasan berkepadatan penduduk tinggi dan terbuka untuk pilihan pelajar seperti sistem kemasukan yang sedia ada.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

Pembangunan modal insan seharusnya ditumpukan pada segenap lapisan tanpa mengira agama, keturunan atau sekolah perantaraan. Masalah kekurangan guru, bilik darjah dan/atau buku yang menjejaskan proses pelajaran harus diselesaikan dalam RMK-9. Komitmen Kerajaan untuk memperkasakan dasar pendidikan negara pada semua sekolah adalah perlu, agar negara kita sentiasa bersedia menghadapi cabaran menjelang tahun 2020. Ketrampilan Negara Cina sebagai sebuah gergasi ekonomi dunia dan kemaraan Negara India pada masa terdekat dalam pasaran dunia di zaman globalisasi ini berkehendakan rakyat Malaysia mempunyai pemandangan dunia (World View), tidak mempunyai sikap berkubu, dan sentiasa meletakkan diri dalam senario antarabangsa.

Oleh yang demikian, Kerajaan kita khasnya Kementerian Pelajaran harus menitikberatkan kesaksamaan dari segi mutu kemudahan pelajaran di semua peringkat dari sekolah rendah, menengah sehingglah ke peringkat pengajian tinggi, kesaksamaan ini termasuklah kepada golongan kurang upaya (OKU), dan keturunan minoriti.

Selain daripada peruntukan Kerajaan, penyertaan sektor swasta dan persendirian memainkan peranan yang penting dalam usaha membina modal insan. Sebagai contoh, dua syarikat suratkhabar telah berusaha mengumpul dana pendidikan semenjak dua dekad yang lepas, mereka menganjurkan pementasan amal sebanyak 10 hingga 15 kali setahun bagi mengumpul sumbangan kewangan orang ramai, dua syarikat berkenaan berjaya mengumpul purata sebanyak RM12 - RM15 juta bagi membantu 20 - 25 buah sekolah setiap tahun (Nanyang Siang Pau dalam tempoh lebih kurang 20 tahun telah berjaya mengumpul derma untuk institusi pendidikan melebihi RM269 juta; manakala Sin Chew Jit Poh mengumpul derma melebihi RM147 juta dalam tempoh 12 tahun).

Kerja-kerja amal sebegini harus diberi insentif oleh Kerajaan agar lebih banyak institusi swasta, organisasi atau perseorangan tampil membantu Kerajaan dalam usaha meningkatkan prestasi pendidikan.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

Bagi mencapai objektif ini terutama pencapaian PFI sebanyak RM6.24 bilion, Kerajaan perlu memberi imbuhan tertentu bagi menggalakkan orang ramai membuat sumbangan kepada usaha penambahbaikan sistem pendidikan amnya dan sekolah-sekolah pelbagai aliran. Insentif-insensif seperti berikut dicadangkan:

 

1.  Permotongan atau Pengecualian cukai

Permotongan cukai berganda pada jumlah yang disumbangkan kepada mana-mana sekolah harus dikuatkuasakan. Kerajaan harus membenarkan syarikat swasta atau perseorangan mendapat potongan cukai berganda pada sumbangan kewangan mereka kepada sekolah, langkah ini bukan sahaja dapat meringankan beban Kerajaan dalam meningkatkan infrastruktur sekolah, malahan menggalakkan semangat penyayang sektor swasta dan tanggungjawab kemasyarakatan.   

 

2.  Penawaran bayaran bunga pembankan yang berpatutan

Tawaran bunga (interest) yang berpatutan (kurang daripada kadar bunga semasa di pasaran) harus diberikan kepada syarikat / perseorangan yang membuat sumbangan kewangan yang melebihi sesuatu jumlah minima setiap tahun (misalnya: RM1 juta setahun bagi syarikat) boleh dilaksanakan. 

 

3.  Keutamaan pembaharuan lesen atau memanjangkan jangkamasa pulangan pinjaman

Semasa memperbaharui lesen perniagaan, Kerajaan boleh memberi keutamaan kepada syarikat yang memberi sumbangan kepada sekolah-sekolah. Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menggalakkan syarikat pembankan memanjangkan jangkamasa bayar balik pinjaman bagi mereka yang menderma kepada pembinaan dan penambahbaikan sekolah.

 

4. Pengecualian cukai pada tanah sekolah sumbangan pihak swasta

Semua tapak pembinaan sekolah rendah baru dan/atau yang sedia ada harus dikecualikan daripada cukai tanah dan cukai harta. Di samping itu, selain dari tapak rizab sekolah seperti yang dikehendaki dalam syarat pemajuan, bagi tapak tambahan untuk sekolah yang disumbang oleh sektor swasta, pihak pemberi tapak tanah patut diberi insentif dalam bentuk pengecualian cukai dengan mengambilkira nilai semasa tapak berkenaan.

 

5.  Pemberian Taraf Pengecualian Cukai kepada sekolah rendah

Pemberian kemudahan pengecualian cukai kepada semua sekolah rendah dan  badan yang berhubung kaitnya seperti Lembaga Pengurus Sekolah dan  Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), secara langsung tanpa kerenah birokrasi yang menyulit dan melambatkan usaha pungutan dana pembangunan sekolah. Ini adalah memandangkan bahawa badan-badan tersebut dikehendaki memberi bantuan kewangan untuk penambahbaikan dan pembangunan sekolah seperti yang  diperuntukkan dalam Akta Pelajaran 1996.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

Sesunguhnya saya amat menyokong usaha pembinaan modal insan negara, bagi menghasilkan insan yang berguna untuk membawa negara mencapai negara maju seperti yang dirancangkan. Saya bangga Kerajaan begitu proaktif bercadang mendirikan sekolah bagi pekerja asing di Sabah, namun demikian, keutamaan harus diberi kepada anak watan yang sedang dan akan belajar di sekolah pelbagai aliran untuk menuntut ilmu yang tiada batasannya.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

Pariti Kuasa Beli (PPP) menyelaraskan Pendapatan Isi Rumah

Saya mengalu-alukan usaha Kerajaan bersungguh-sungguh mengurangkan jurang kekayaan di kalangan rakyat Malaysia bagi mencapai pariti pendapatan.

Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) per kapita Malaysia bertumbuh pada purata 7.1% mencapai RM18,489 atau USD4,904 pada 2005. Namun, ketika ia diselaraskan dengan kos sara hidup Malaysia, GDP per kapita berdasarkan PPP meningkat dua kali ganda kepada USD10,318 pada tahun 2005. Dengan itu, dari segi PPP yang menyelaras GDP per kapita, taraf kehidupan kita adalah kira-kira satu suku daripada taraf hidup Amerika Syarikat dan satu pertiga daripada taraf hidup Jepun.

Mengikut nisbah pendapatan isi rumah, sejak 1990, kaedah sukatan pendapatan isi rumah antara etnik yang kini digunakan menunjukkan ketaksamaan antara Bumiputera dan Cina telah berubah-ubah daripada 1:1.74 sehingga setinggi 1:1.83 pada 1997 semasa krisis kewangan Asia. Sepanjang tahap pemulihan ekonomi kita antara 2002 dan 2004, perbezaan pendapatan isi rumah telah menurun daripada 1:1.80 ke 1:1.64. Bagi Bumiputera dan Indian, ia juga telah menurun daripada 1:1.42 pada 1999 ke 1:1.27 pada 2004. Hampir dalam tempoh yang sama, kejadian kemiskinan juga telah menurun secara konsisten daripada 8.5% pada 1999 sehingga 5.7% pada 2004. Sementara kemiskinan bandar telah meningkat daripada 11.9% ke 14.1% antara 1999 hingga 2004.

Akan tetapi, yang menariknya adalah dalam tempoh yang sama antara 1999 dan 2004, Koefisien Gini (Pekali Gini, iaitu indeks mengukur ketidaksamaan) keseluruhannya telah meningkat daripada 0.452 ke 0.462.

Corak pendapatan isi rumah Malaysia boleh diringkaskan seperti berikut;

a) perbezaan antara kaum sedang menurun

b) kejadian kemiskinan keseluruhannya juga sedang menurun

c) kejadian kemiskinan bandar lebih jarang di kawasan bandar tetapi ia sedang meningkat

d) Koefisien Gini sedang meningkat

Perangkaan tersebut mempunyai implikasi tentang kebimbangan kita terhadap peningkatan Koefisien Gini kita, faktor penyebab utama peningkatan Koefisien Gini bukannya kerana perbezaan antara etnik memandangkan ianya telah menurun. Ia semestinya disebabkan peningkatan perbezaan dalaman etnik, ketidaksamaan kawasan dan peningkatan kemiskinan bandar.

Sehubungan itu, saya mencadangkan supaya perbezaan pendapatan isi rumah di kalangan rakyat dikaji semula untuk mendapatkan gambaran yang lebih sempurna dan seimbang terhadap pengagihan kekayaan dalam negara. Selepas 8 rancangan Malaysia 5 tahun, ini adalah kali pertama pendapatan isi rumah disasarkan untuk parity / persamaan pendapatan di kalangan berbilang kaum, sementara sebelum ini, tumpuannya adalah 30% ekuiti Bumiputera.

Sekiranya dasar persamaan pendapatan telah beralih daripada ekuiti kepada pendapatan isi rumah, seperti yang tersirat dalam Rancangan Malaysia Ke-9, maka ia adalah munasabah untuk Rakyat memahami sepenuhnya terhadap prinsip sukatan ketidaksamaan.

Maka, saya mencadangkan kita menggunakan PPP yang dikenali secara antarabangsa sebagai metodologi untuk membandingkan taraf kehidupan, yang lebih adil dan sempurna. Walaupun penggunaan kaedah penyelarasan PPP akan mengabaikan faktor kadar pertukaran dalam kes ini, tetapi ia boleh diubahsuaikan dengan mengambil kira kelainan dalam kadar inflasi antara kawasan pedalaman dan bandar, cara hidup, sewa, penggadaian rumah, dan semua ini harus diambil kira apabila membandingkan perbezaan pendapatan isi rumah.

 

Home Back My Profile 简介 My Opinion 观点 In the News 新闻 Gallery 活动照片 Voter Search Links 网站连接 Contact Us 联络 Advanced Search
Send mail to mpcentre@kelanajaya.com.my with questions or comments about this web site.
Copyright 2004 - 2009 Loh Seng Kok 卢诚国
Last modified:  Monday, August 10, 2009