Loh Seng Kok

Parlimen Malaysia

Barisan Nasional MCA

Loh Seng Kok 卢诚国
Member of Parliament for Kelana Jaya
雪州格拉那再也区国会议员
(2004 - Feb 2008)

Today is 

Pages on this website have been viewed
Hit Counter
times

UCAPAN LOH SENG KOK, AHLI PARLIMEN KAWASAN KELANA JAYA (P104) MENYOKONG USUL MENJUNJUNG KASIH TITAH UCAPAN SPB YANG DI-PERTUAN AGONG XII DI MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KETIGA, DEWAN RAKYAT, PARLIMEN KESEBELAS, 14 & 15-3-2006.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Embargo:

Bahagian-bahagian teks berkenaan telah diucapkan dalam Dewan Rakyat pada 14hb dan / atau 15hb Mac 2006, dan tertakluk kepada pindaan.

(1)       INTEGRASI NASIONAL DAN RAKYAT MALAYSIA

(2)       PENGHARAPAN RANCANGAN MALAYSIA KE-9 (RMK-9)

(3)       PENINGKATAN PRODUKTIVITI BAGI MENYERAP KESAN NEGATIF EKORAN PENARIKAN BALIK SUBSIDI MINYAK

(4)       KEGUNAAN PENJIMATAN SUBSIDI MINYAK & KEYAKINAN RAKYAT

(5)       PENYUSUNAN SEMULA SISTEM PENGANGKUTAN AWAM

(6)       SUMBER TENAGA ALTERNATIF

(7)       KPI PERKHIDMATAN AWAM & SISTEM PENYAMPAIAN

(8)       Industri Perkhidmatan Air (IPA) & Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

(9)       WARISAN KITA – BUKU TEKS SEJARAH

(10)     BUTIRAN AGAMA DALAM MYKAD & JABATAN PENDAFTARAN NEGARA

(11)     PERUNTUKAN & PENYEDIAAN TEMPAT IBADAT SEJAJAR DENGAN PEMBANGUNAN SEJAGAT

(12)     PEMBATALAN DAFTAR GEREJA OLEH PENDAFTAR PERTUBUHAN (REGISTRAR OF SOCIETIES, ROS)

(13)     GARIS PANDUAN TATACARA MEMBACA DOA & PENUBUHAN JABATAN KEMAJUAN AGAMA

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Terima kasih, Tuan Yang Di-Pertua,

Salam Sejahtera kepada semua.

1.         Terlebih dahulu, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang Di-Pertua kerana sudi memberi peluang kepada saya untuk menyokong usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat bagi Kuala Pilah, iaitu usul menjunjung kasih titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XII semasa merasmikan Mesyuarat Dewan Rakyat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen kesebelas di Dewan yang mulia ini.

2.         Rakyat Malaysia amat bertuah sekali kerana sejak mencapai kemerdekaan, dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan telah berjaya menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negara dan peningkatan kualiti hidup rakyat. Ini adalah berkat usaha gigih Kerajaan dengan sokongan padu semua lapisan rakyat jelata. Biarpun sejak akhir-akhir ini terdapat beberapa kebimbangan akibat ancaman kesihatan daripada beberapa jenis penyakit seperti SARS, HFM, “bird flu”, serta serangan keganasan ekstrimis di negara-negara jiran, namun negara kita terus stabil, menikmati suasana sosio-ekonomi yang aman dan harmoni.

“Bulan bintang hendak dipanjat,

Tali sabut siap dipintalkan;

Saya datang membawa hajat,

Hajat rakyat saya utuskan.”

 

(1)       INTEGRASI NASIONAL DAN RAKYAT MALAYSIA

3.         Isu-isu yang timbul seperti pertikaian tentang keturunan mangsa “ear squat”, penyiaran karikatur Nabi Muhammad, dan sebagainya telah menimbulkan pertanyaan dan kebimbangan rakyat. Antara persoalan yang timbul ialah ke mana perginya ketertiban tahun 50an dan awal 60an di mana integrasi antara kaum direnung dengan rasa nostalgik sebagai lebih mesra, kerap dan rapat.

4.         Misalnya, dahulu, penuntut-penuntut berlainan kaum dan agama berkongsi satu bilik hostel, sekarang fenomena ini sudah jarang berlaku. Setelah sekian lama rakyat kita bersama-sama memerdekakan Malaysia, ada juga di kalangan kita yang masih lagi membuang masa memperluaskan jurang perkauman dan bangsa? Integrasi antara kaum sepatutnya sudah jauh dipertingkatkan sekarang, tetapi apabila kita melihat sekeliling, didapati integrasi antara kaum agak membimbangkan.

5.         Interaksi antara kaum seolah-olah adalah satu hipokrasi. Sekiranya hipokrasi antara kaum ini dibiarkan membelenggu tindakan dan fikiran kumpulan-kumpulan kaum, ia boleh menjadi sebagai sel kanser dalam tubuh yang tidak diketahui bila masanya akan pecah dan membunuh. Dalam keadaan krisis, hal ini dengan mudah boleh mencetuskan ketegangan kaum. Sekiranya ini berlaku, maka segala pembangunan yang dicapai dan dinikmati oleh tanah air kita yang tercinta ini akan musnah.

6.         Tidak dapat dinafikan bahawa perpaduan tetap menjadi teras pembinaan masyarakat. Memang bukan mudah untuk menghapuskan konflik kaum dalam konteks Malaysia atas faktor-faktor yang sedia ada. Bagaimanapun, segala pertembungan dan konflik kepentingan kaum-kaum itu akan terus berada pada tahap terkawal, selagi semua pihak bersikap matang dan rasional, di samping berfikiran terbuka, kritis dan analitikal.

7.         Senario krisis sosial di negara-negara lain haruslah menjadi renungan yang boleh membantu pembentukan persepsi positif masyarakat kita terhadap corak dan masa depan hubungan kaum di negara ini. Kita sudah disediakan dengan sebuah masyarakat majmuk. Oleh itu, kita tiada pilihan melainkan membina kehidupan bernegara yang harmoni.

8.         Oleh yang demikian, pembangunan negara haruslah berpaksikan konsep pembangunan seimbang iaitu pembangunan ekonomi yang diimbangi dengan pembangunan dan kemajuan sosial dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual supaya dapat mencapai matlamat utama pembangunan iaitu kesejahteraan dalam masyarakat secara keseluruhan. Usaha perlu diambil untuk memperkuat faktor-faktor seperti kesejahteraan, keharmonian, persefahaman, perkongsian dan sebagainya yang mendorong anggota masyarakat untuk saling memahami, bekerjasama dan berkompromi demi mempertahankan kepentingan bersama dalam merealisasikan masyarakat yang maju dan mantap.

9.         Segala usaha perlu diambil untuk memperkuat sistem sokongan sosial yang sedia wujud, iaitu sistem keluarga, komuniti, agama, pendidikan dan organisasi sosial. Kerjasama di kalangan sektor awam dan sektor swasta serta sukarela perlu dipertingkatkan supaya wujud satu sinergi tenaga dan sumber dalam masyarakat, berasaskan konsep bahawa pembangunan sosial adalah tanggungjawab semua.

10.       Pencapaian sebuah negara harmoni yang sebenar hendaklah berpaksi kepada semangat pengwujudan Perlembagaan yang asal. Pembinaan negara Malaysia berasaskan Perlembagaan Persekutuan  yang berpandukan cadangan Reid Commission, merangkumi semua hak asasi, kebebasan beragama, hak pendidikan, hak berkongsi dalam kemajuan negara dan mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi negara.

11.       Setiap warganegara ialah rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia mempunyai segala ciri usahasama yang telah diusahakan oleh pengasas-pengasas negara kita semasa memperjuangkan kemerdekaan. Inilah semangat rakyat Malaysia yang tersurat dan tersirat di dalam Rukun Negara, ideologi negara kita. Rakyat Malaysia menjaminkan satu landasan usahasama dan perkongsian kuasa yang amanah, mesra, adil dan saksama, seperti yang termaktub dalam Wawasan 2020.

(back to top)

 

(2)       PENGHARAPAN RANCANGAN MALAYSIA KE-9 (RMK-9)

12.       Rancangan Malaysia Ke-8 telahpun sampai ke penghujungnya dan Rancangan Malaysia Ke-9 akan dicadangkan tidak lama lagi. Yang Di-Pertuan Agong bertitah bahawa RMK-9 hendaklah mengukuhkan lagi asas-asas ekonomi supaya pertumbuhan dapat dikekalkan dan kualiti hidup rakyat terus dipertingkatkan.

13.       Saya berpendapat, untuk memastikan adanya kesinambungan dan peningkatan pembangunan, RMK-9 hendaklah berlandaskan agenda Malaysia yang kukuh untuk berkembang maju sebagai sebuah negara yang mampu berdaya saing secara global pada abad ke 21 ini. Penekanan harus diberi untuk meningkatkan kekayaan ekonomi bagi negara tercinta ini tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Langkah dan usaha yang dicadangkan adalah seperti berikut:

                   a)           Menaikkan taraf pembentukan sumber insan yang berlandaskan ekonomi berilmu. Meritokrasi perlu diamalkan dalam sistem pendidikan secara menyeluruh.

                   b)           Suatu rancangan untuk menambah dan menggalakkan penyertaan rakyat bukan Bumiputera untuk berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam. Kenaikan pangkat dan saranan untuk kenaikan gaji harus dinyatakan dengan jelas dan terbuka.

                   c)            Menumpu kepada kekayaan baru dan menambahbaikkan pertumbuhan bidang ekonomi yang sedia ada.

                   d)           Menjana lebih usaha pemulihan pasaran (market reform), yang akan membantu Malaysia menuju ke arah pasaran ekonomi yang lebih liberal.

                   e)           Membantu semua Small-Medium Enterprises (SMEs) yang perlu untuk perkembangan dan penerokaan perniagaan di luar negara.

                   f)             Membekalkan bantuan kewangan kepada yang miskin, kurang upaya dan wargatua. Dalam kes-kes kumpulan yang mengalami masalah kepincangan ekonomi, sumber-sumber pertolongan boleh disalurkan untuk pembinaan daya kapasiti.

                   g)           Pembelajaran sepanjang hayat sepatutnya dijadikan satu tonggak utama dalam pembentukan sebuah negara yang progresif dan berdaya saing.

Semoga syor-syor di atas dapat diteliti dan diberi pertimbangan sewajarnya. Sekiranya syor berkenaan dapat diterima dan dilaksanakan dalam RMK-9, saya yakin gerabak pembangunan negara dapat bergerak dengan lancarnya di atas landasan menuju ke arah destinasinya, iaitu stesen Wawasan 2020.

(back to top)

 

(3)       PENINGKATAN PRODUKTIVITI BAGI MENYERAP KESAN NEGATIF EKORAN PENARIKAN BALIK SUBSIDI MINYAK

14.       Langkah Kerajaan Malaysia dalam mengurangkan subsidi minyak telah dianggap menambahkan beban hidup rakyat. Walau bagaimanapun, jika dipandang dari sudut ‘sustainability of resources’, langkah ini perlu diambil. Ini adalah selaras dengan wacana Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang kompetitif secara global.

15.       Malaysia tidak boleh berharap untuk menjadi negara yang kompetitif jika kita hanya mampu bereaksi kepada ‘global market forces’, dan, dalam masa yang sama mengenakan halangan pasaran atau ‘market restrictions’ yang mengubahsuai atau ’distort’ pasaran ekonomi tempatan kerana mahu memenuhi keperluan tempatan.

16.       Sehubungan ini, subsidi dan kaedah harga kawalan sudah ketinggalan zaman dalam sebuah ekonomi yang dirancang atau ‘managed economy’. Malaysia sedang bergerak ke arah sebuah pasaran ekonomi bebas, secara langsung Kerajaan juga wajar mengkaji semula pengurusan keseluruhan mekanisma harga atau ‘pricing mechanism.

17.       Tidak dapat dinafikan cara pengurusan mekanisma harga selama ini telah menyumbang kepada pembangunan negara kita. Akan tetapi, ia mulai kehilangan keberkesanannya di dalam konteks ekonomi global. Disebabkan jurang perbezaan dalam ’disposal incomes’ rakyat yang ketara, maka subsidi tidak sesuai di terima pakai lagi sebagai suatu ‘blanket assistance’ kepada rakyat kini. Ini akan mengakibatkan tumpuan bantuan ekonomi terpesong dari mereka yang benar-benar memerlukan kepada mereka yang berada & kaya.

18.       Percambahan efisiensi dan produktiviti amat penting untuk membanteras kesan dari pengurangan subsidi. Peningkatan produktiviti mesti menyerap kesan ekoran penarikan balik subsidi bagi mengelakkan peningkatan harga disebabkan oleh ketidakseimbangan dalam pasaran.

19.       Pengawalan harga juga telah dipraktikkan dalam ekonomi lama kerana tiada mekanisma yang dapat mengawal perubahan harga dengan penggunaan subsidi. Prinsip yang sama adalah penting sebagaimana subsidi, pengawalan harga mesti diberikan ruang untuk penyesuaian ke dalam sistem ekonomi. Ini perlu untuk mengembalikan keseimbangan dalam harga keseluruhan di sesebuah ekonomi. Adalah sangat merbahaya jikalau pengawalan harga dimansuhkan tiba-tiba, dan ini akan membebankan rakyat yang tiada kapasiti untuk membuat penyelarasan terhadap kejutan dalam sistem tersebut.

20.       Peniaga-peniaga mesti dibenarkan untuk menyelaraskan harga barangan mereka secara ’gradual’ atau perlahan kerana ’the squeezing effect’ daripada pengurangan subsidi dan kehadiran harga terkawal mati akan mengakibatkan ketidakseimbangan harga dan ekonomi keseluruhannya. Ketidakseimbangan akibat daripada penarikan subsidi masa ini masih belum ditangani dengan berkesan.

21.       Ketidakseimbangan yang berlaku boleh memaksa peniaga-peniaga undur dari perniagaan dan kejatuhan keseluruhan industri-industri yang terlibat contohnya, industri simen, pemborong-pemborong, operator bas. Industri-industri ini memainkan peranan penting untuk memastikan perjalanan ekonomi yang lancar. Sebaliknya, sebarang impak negatif boleh membawa kesan riak (ripple effect) ke atas ekonomi dan pertumbuhan negatif dalam bidang yang lain.

22.       Ketidakseimbangan polisi harga akan secara tidak langsung menghasilkan perniagaan yang lebih monopolistik dan oligopolistik. Ini adalah kerana perniagaan yang besar menikmati kelebihan hasil daripada ‘economies of scale’ untuk menahan impak daripada penarikan balik subsidi.

23.       Kesimpulannya, penjimatan daripada penarikan balik subsidi mesti digunakan untuk membantu golongan miskin dan menaiktarafkan infrastruktur dengan menjana pertumbuhan baru. Sumber-sumber untuk kesejahteraan rakyat mesti dikendalikan dengan adanya ‘transparency and accountability’.

24.       Kerajaan seharusnya fokus terhadap tenaga sumber manusia dan modal sebagai salah satu kunci untuk pengembangan produktiviti pada masa hadapan. Pasaran bebas mesti dibenarkan untuk penentuan sumber-sumber yang paling cekap itu digunakan dalam ekonomi. Ini selaras dengan perubahan pasaran liberal untuk menjana keberkesanan ekonomi.

25.       Kerajaan berperanan untuk mewujudkan satu mekanisma ekonomi yang sesuai daripada hanya menumpu kepada keseimbangan harga yang sepatutnya berdasarkan pergerakan harga pasaran, bukan pengurusan mikro atau ’micro management’. Kepincangan dalam sesuatu pasaran bebas seharusnya ditangani melalui program khusus untuk pembasmian kemiskinan dan ‘capacity building’ dalam sumber tenaga manusia.

26.       Malaysia sedang bergerak dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan dan ini tidak boleh diteruskan dengan pembahagian aset-aset dan sumber-sumbernya melalui penggunaan kaedah lama.

(back to top)

 

(4)       KEGUNAAN PENJIMATAN SUBSIDI MINYAK & KEYAKINAN RAKYAT

27.       Apabila pengurangan subsidi minyak diumumkan 2 minggu lepas, YAB Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa kenaikan harga runcit sebanyak 30 sen bagi petrol dan diesel hanya untuk sekali bagi sepanjang tahun ini. Kenaikan ini membolehkan Kerajaan berjimat kira-kira RM4.4 bilion bagi tahun 2006. Jikalau penjimatan ini diserap untuk perbelanjaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), bermakna negara dapat berjimat kira-kira lebih RM20 bilion bagi 5 tahun yang akan datang.

28.       Untuk meredakan orang ramai tentang kenaikan harga tersebut, pihak Kerajaan seharusnya melaporkan secara terperinci bagaimana penjimatan sebanyak RM4.4 bilion tersebut akan digunakan. Kerajaan perlu meyakinkan masyarakat bahawa wang tersebut tidak akan disalurkan untuk projek-projek yang tidak mendatangkan manfaat.

29.       Untuk mengukuhkan lagi pendirian bahawa pengurangan subsidi tersebut merupakan pemulangan secara tidak langsung kepada masyarakat, Kerajaan juga perlu melaporkan ekoran pengurangan subsidi pada tahun-tahun lepas, bagaimana penjimatan berbilion ringgit telah digunakan? Maklumat ini adalah mustahak untuk meyakinkan orang ramai bahawa inisiatif Kerajaan ini sebenarnya mempunyai manfaat / faedah jangka panjang (long term benefit).

(Peruntukan untuk pelaksanaan penyusunan semula pengangkutan awam di Lembah Kelang bagi tahun 2005 ialah RM252 juta dan RM750 juta bagi tahun 2006).

30.       Apa yang terpenting kini ialah meningkatkan sistem pengangkutan awam yang sedia ada supaya dapat memenuhi kehendak dan keperluan rakyat keseluruhan.

31.       Satu kajian harus dilaksanakan dengan serta merta untuk meneliti segala kelemahan dan kekurangan dalam sistem pengangkutan awam kita dan cara-cara untuk mengatasinya.

(back to top)

 

(5)       PENYUSUNAN SEMULA SISTEM PENGANGKUTAN AWAM

32.       Sistem transit aliran ringan di bawah STAR dan PUTRA adalah antara langkah-langkah yang menggalakkan yang diambil oleh Kerajaan dalam memperbaiki sistem pengangkutan awam. Walaubagaimana, sistem transit aliran ringan ini masih gagal untuk mengatasi masalah pengangkutan awam disebabkan kegagalan penguatkuasaan sistem berintegrasi. Kebaikan sistem transit aliran ringan hanya dikecapi oleh segelintir rakyat di beberapa destinasi di Lembah Kelang.  Fakta-fakta sokongan adalah seperti berikut:-

a)     Tiada cadangan untuk melanjutkan perkhidmatan sistem transit aliran ringan di beberapa kawasan perumahan yang berpendudukan tinggi seperti di Cheras, Kepong, Selayang, Subang terutamanya di kawasan-kawasan Utara.

b)     Tiada cadangan untuk melanjutkan perkhidmatan sistem transit aliran ringan di antara Putrajaya dan tempat lain untuk membolehkan rakyat yang perlu berurusan dengan agensi Kerajaan. Kerajaan telah memindahkan kebanyakan kementerian dan agensinya ke Putrajaya, adakah Kerajaan mengambilkira tentang kos yang perlu ditanggung oleh rakyat dengan jarak yang begitu jauh jika ingin berurusan dengan Kerajaan setiap hari? Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mengadakan sistem yang sama iaitu Express Rail Link (ERL) yang kini menghubungkan KLIA dengan KL Sentral.

c)      Sistem transit aliran ringan ini masih tidak berkesan tanpa sokongan daripada satu sistem berintegrasi iaitu bas-bas “feeder. Jadual perjalanan bas-bas ini ditetapkan oleh syarikat pengangkutan swasta yang mengutamakan keuntungan. Rungutan  pengguna terhadap sistem transit aliran ringan yang tidak diintegrasikan dengan sistem bas feeder yang berkesan telah diketengahkan semenjak sistem ini dimulakan. Walau bagaimanapun, tiada langkah positif diambil.

d)     Sistem pengangkutan awam juga telah gagal untuk mengambilkira perkhidmatan-perkidmatan dalam kalangan warga universiti di seluruh negara. Peningkatan penggunaan kenderaan persendirian oleh pelajar universiti dan kolej telah meningkat semenjak 1997. Di samping meningkatkan kos perbelanjaan ibubapa dalam membiayai pendidikan anak-anak mereka, ia turut menimbulkan beberapa masalah sosial. Kebanyakan pelajar universiti dan kolej merupakan remaja yang masih belum sedar akan tanggungjawab mereka semasa berada di jalanraya. Berikutan itu, nahas jalan raya yang melibatkan remaja telah semakin meningkat kebelakangan ini.

33.       Akhirnya dasar dan polisi kerajaan dalam pelaksanaan satu sistem pengangkutan awam yang berkesan adalah bergantung kepada ko-ordinasi yang baik di antara agensi-agensi Kerajaan. Seumpamanya di kawasan Kuala Lumpur, terdapat beberapa agensi Kerajaan yang terlibat dalam pengurusan sistem pengangkutan awam. DBKL berfungsi sebagai unit pengurusan dan rancangan pengangkutan awam di kawasan Bandar. Kementerian Pengangkutan berfungsi sebagai unit utama dalam rancangan pengangkutan awam untuk keseluruhan negara. Selain daripada itu, Kementerian Pengangkutan juga menguatkuasakan polisi, garis panduan berkenaan dengan pengurusan dan rancangan sistem pengangkutan awam negara.

Federal Government /Local Government Tier

Departments related to transportation

Prime Minister’s Department

Ø      Economic Planning Unit

Ø      Federal Territory Development &      Klang Valley Planning Division

 

Ministry of Home Affairs

Ø      Royal Malaysian Police

 

Ministry of Works

 

Ø      Public Works Department

Ø      Highway Planning Unit

Ø      Malaysian Highway Authority

 

Ministry of Transport

Ø      Road Transport Department

Ø      Department of Railways

Ø      Railway Asset Corporation

 

Ministry of Entrepreneur Development

Ø      Commercial Vehicle Licensing Board

 

City Hall Kuala Lumpur

Ø      Urban Transportation Department

Ø      Public Works Department

Ø      Enforcement Directorate

Source: Information Book: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur 1993. Dealing with the Malaysian Civil Servant –2nd edition Pelanduk Publication (M) 1994

34.       Terdapat pertindihan dan duplikasi tugas serta fungsi di antara agensi-agensi Kerajaan berkenaan dengan sistem pengangkutan awam di kawasan Kuala Lumpur. Hal ini mungkin akan menimbulkan masalah ko-ordinasi dan perancangan sistem pengangkutan awam yang konsisten.

34a.    Adalah dicadangkan bahawa struktur organisasi agensi-agensi kerajaaan ini dikemaskinikan supaya dasar dan polisi pengangkutan awam yang berkenaan dapat dirancangkan dengan teliti dan lancar.

35.       Pengawalseliaan berpusat ini adalah penting kerana rangka kawal selia masakini adalah masih tidak bersepadu, dengan lebih daripada 10 agensi Kerajaan yang terlibat dalam penggubalan dasar, perancangan, pelesenan dan penguatkuasaan.

35a.    Mengemaskinikan struktur organisasi agensi-agensi Kerajaan adalah perlu dijalankan dengan mewujudkan satu pengawalseliaan berpusat, untuk memberi perhatian khusus kepada usaha mengintegrasi dan memajukan sistem pengangkutan awam bandar Lembah Kelang secara menyeluruh.

(back to top)

 

(6)       SUMBER TENAGA ALTERNATIF

36.       Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merujuk kepada Bajet  (budget) tahun 2006 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri. Di bawah tajuk “Mempelbagaikan Sumber Tenaga”, di bawah Strategi Ke-4 : Meningkatkan Kesejahteraan Dan Kualiti Hidup Rakyat, Kerajaan merancang untuk memulakan rancangan adunan biofuel pada tahap 5% minyak sawit diproses dan 95% minyak diesel untuk digunakan secara percubaan dalam usaha meringankan pergantungan kepada petroleum. Piawaian 'diesel baru' ini akan dibangunkan oleh SIRIM. Apakah status rancangan Kerajaan dalam perkara ini? Ini adalah penting memandangkan kenaikan harga minyak mentah.  

37.       Dalam pembentangan bajet 2006 juga, Kerajaan telah merancang 3 loji bio-fuel untuk pasaran eksport. Bagaimana pula pasaran domestik? Apakah rancangan Kerajaan untuk menjual produk bio-fuel dalam pasaran tempatan?

38.       Sehubungan dengan ini, di dalam program SREP (Small Renewable Energy Power Programme – 11 May 2001), Kerajaan bercadang melanjutkan taraf perintis daripada 70% kepada 100% selama 10 tahun dan kadar elaun cukai pelaburan daripada 60% kepada 100% selama 5 tahun. Di samping itu, pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan yang digunakan dalam aktiviti berkenaan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2010. Sudahkah cadangan Kerajaan tersebut dilaksanakan? Apakah tahap sambutan industri terhadap cadangan tersebut? Dan apakah tahap sumbangan sektor SREP tersebut kepada industri janakuasa sekarang?  Selain daripada itu, apakah usaha lain oleh Kerajaan untuk menggalakkan pembangunan sektor SREP?  

39.       Program SREP adalah untuk sektor janakuasa sehingga 10 megawatt. Sehubungan itu, saya ingin tahu apakah galakan Kerajaan kepada pembangunan sektor loji janakuasa lebih daripada 10 megawatt. Bagaimana pula polisi Kerajaan dalam milikan ekuiti saham oleh pelabur asing di dalam syarikat SREP dan juga dalam loji janakuasa lebih daripada 10 megawatt yang menggunakan bahan kuasa yang boleh diperbaharui (renewable resources) seperti bio-fuel, bio-mass, solar dan hidro. Adakah bahagian pegangan pelaburan asing terhad kepada 30% sahaja?

40.       Memandangkan sektor ini melibatkan teknologi canggih yang mungkin tidak dipunyai Malaysia, adalah wajar Kerajaan membenarkan pelabur asing mengambil bahagian ekuiti lebih daripada 30% sebagai galakan pindahmilik teknologi ’renewable energy’ kepada Malaysia.

(back to top)

 

(7)       KPI PERKHIDMATAN AWAM & SISTEM PENYAMPAIAN

41.       Saya mengambil kesempatan di sini untuk menyeru Dewan ini mengalu-alukan serta memuji Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar berikutan ucapan beliau pada majlis Perasmian Seminar Ketua Polis Daerah baru-baru ini. Menurut beliau, PDRM tidak memerlukan pegawai dan anggota yang tidak berpengetahuan dalam melaksana dan menguatkuasakan undang-undang. Beliau juga berkata bahawa jika seseorang pegawai dan anggota gagal berubah untuk memenuhi kriteria tersebut adalah wajar mereka berhenti dan mencari pekerjaan lain.

42.       Titah ucapan Yang Di-Pertuan Agong juga menyatakan usaha-usaha PDRM kini dapat meningkatkan tahap kecekapan, integriti dan profesionalisme mereka yang natijahnya membolehkan rakyat menikmati keamanan dan kedamaian.

43.       Namun Yang Di-Pertuan Agong juga berasa bimbang kerana terdapat laporan antarabangsa yang menonjolkan kelemahan dan kekurangan sistem penyampaian Kerajaan dalam konteks mengukuh kedudukan dan daya saing negara.

44.       Sesungguhnya Kerajaan ingin mewujudkan satu perkhidmatan awam yang cemerlang dan bertaraf dunia, yang memenuhi kehendak dan cita rasa pelanggan, baik dalam kalangan rakyat mahu pun dari luar negara. Sikap terbuka Ketua Polis Negara patut diteladani oleh semua ahli-ahli perkhidmatan awam negara kita, termasuklah ketua-ketua setiausaha, ketua-ketua pengarah dan anggota-anggota pentadbiran seperti menteri dan timbalan menteri.

45.       Dengan itu, selain daripada pelaksanaan sistem Key Performance Index (KPI) dalam agensi-agensi awam dan syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan, Government Linked Companies (GLC), saya mencadangkan agar sistem KPI tersebut juga dilaksanakan ke atas pegawai-pegawai tinggi perkhidmatan awam dan anggota-anggota pentadbiran. Ini disebabkan ’accountability’ atau bertanggungjawab itu adalah ciri yang mustahak dalam perkhidmatan awam. Pengharapan rakyat ialah pegawai dan anggota berkenaan berkhidmat secara profesional dengan penuh komitmen bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap, adil dan berkualiti.

(back to top)

 

 (8)      Industri Perkhidmatan Air (IPA) & Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

46.       Lebih kurang 72% keluasan bumi dikelilingi dengan lautan, iaitu air. 28% dari bumi adalah daratan. 10% daripada jumlah keluasan daratan diliputi dengan air yang menjadi beku, iaitu ais, seperti di Kutub Utara dan Kutub Selatan. Kita dikelilingi air. Air adalah sumber semula jadi yang perlu dinikmati oleh semua hidupan.

47.       Air merupakan keperluan asas bagi semua hidupan di muka bumi ini. Tetapi daripada jumlah air di bumi, dikatakan hanya 3% sahaja yang boleh digunakan oleh tumbuhan, haiwan dan manusia. Air memainkan peranan penting dalam tubuh. Lebih 70% daripada tubuh manusia terdiri daripada air. Jika seseorang itu tidak minum air selama empat hari, beliau akan menghadapi maut.   

48.       Penduduk dunia dianggarkan 6 billion orang dan 1.1 billion orang daripada jumlah itu tidak mendapat bekalan air bersih, manakala 2.4 billion pula tidak dapat menggunakan sistem sanitasi yang sempurna. Menjelang tahun 2025, dianggarkan bahawa dua orang dari setiap tiga orang penduduk dunia akan menghadapi masalah bekalan air bersih.

49.       Sejak akhir-akhir ini, isu kekurangan air bersih yang berkualiti telah menjadi masalah di beberapa negara, termasuk negara kita.

Contohnya, negara China telah dilanda “bencana padang pasir” (dust storm) dan keadaannya semakin teruk. Mengikut kajian yang dibuat oleh negara China, bencana habuk “dust storm”  berlaku di Beijing setiap 7-8 tahun satu kali sejak 1950-an, setiap 2-3 tahun satu kali di 1970-an, dan telah menjadi tiap-tiap tahun sekali sejak 1990-an.

50.       Keadaan ini telah mengakibatkan masalah kemarau di kawasan berkenaan. Keluasan kawasan yang dilanda masalah kemarau juga semakin luas.

51.       Di negara kita, masalah kekurangan air juga semakin ketara. Misalnya, negeri Selangor dijangka akan mula mengalami kekurangan air pada tahun 2007/8. Oleh itu, projek Pemindahan Air Mentah di antara Negeri Pahang - Selangor difikir perlu dilaksanakan dan dijangka siap pada tahun 2011. Projek yang dianggar menelan perbelanjaan sebanyak RM3.8 billion ini melibatkan pembinaan terowong sejauh 45 kilometer merentasi Banjaran Titiwangsa. Dijangka selepas penyempurnaan projek itu maka kawasan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mendapat bekalan air yang berterusan.

52.       Akan tetapi, dengan terbinanya terowong ini, adakah masalah perkhidmatan air akan diselesaikan secara menyeluruh?  Belum pasti lagi.

53.       Memang tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan tidak mampan, pemusnahan alam sekitar dan kekurangan penguatkuasaan undang-undang serta ketidakpatuhan perundangan perancangan telah menyebabkan kualiti air dan keupayaan untuk pembekalan air terjejas dan ini seterusnya mengakibatkan suatu ancaman serius terhadap ekonomi, kestabilan, kesihatan, keselamatan populasi dan kemasyhuran Malaysia.

54.       Baru-baru ini, satu krisis ancaman kesihatan telah berlaku apabila tahap ammonia di Sungai Selangor telah mencapai satu peringkat berbahaya pada kadar 9.2 mg seliter (Piawaian oleh Kementerian Kesihatan ialah 1.5mg/l). Ini bermakna standard itu tidak sesuai sama sekali untuk diminum oleh manusia mahu pun binatang.

55.       Melainkan satu tindakan drastik diambil tanpa was-was dan tanpa pilih kasih untuk memperbetulkan keadaan demi kepentingan rakyat, jika tidak, lambat laun kita akan mengalami satu krisis yang akan menggugat kestabilan negara. 

56.       Oleh kerana pelbagai permasalahan yang timbul berkaitan dengan sumber dan bekalan air, maka Jadual Kesembilan dan Jadual Kesepuluh kepada Perlembagaan Persekutuan dipinda pada tahun lepas. Selain daripada menjadikan bekalan dan perkhidmatan air dan pemeliharaan warisan perkara bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, pindaan telah dibuat dengan harapan agar Kerajaan Persekutuan perlu mengurus, mengawal selia industri air dan melesen pengendali air dengan pendekatan yang fokus dan seragam.

57.       Bagi maksud ini, suatu badan pusat bertaraf suruhanjaya akan kemudiannya ditubuhkan dan suatu undang-undang persekutuan tentang industri perkhidmatan air akan diperbuat di dalam Dewan yang mulia ini. 

58.       Sebelum Rang Undang-undang (RUU) Industri Perkhidmatan Air (IPA) dan RUU Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dibentangkan dalam Dewan ini, sukalah saya menyampaikan beberapa pandangan yang merupakan suara rakyat untuk perhatian Dewan yang mulia ini, dan menggesa Kementerian berkaitan dan Jabatan Peguam Negara semasa mengemaskini kedua-dua RUU itu, hendaklah mengambilkira rintihan rakyat.

59.       Walaupun banyak aspek dalam RUU berkaitan dengan perkhidmatan air boleh dibicarakan, saya hanya ingin menarik perhatian Dewan memberi fokus kepada satu aspek sahaja iaitu: Kepentingan Rakyat & Perlindungan Pengguna.

60.       Berlainan dengan hidupan tumbuhan dan haiwan, sumber air yang digunakan oleh manusia hendaklah terlebih dahulu dipastikan kebersihan dan keselamatannya. Maka, hendaklah ditetapkan bahawa pihak operator hanya boleh membekalkan air secara berterusan yang memenuhi piawaian atau standard kualiti air yang ditetapkan.

61.       Memandangkan pihak operator akan diberi hak untuk membuat kutipan, memotong bekalan air dalam keadaan-keadaan tertentu, mengambil tindakan sivil atau undang-undang terhadap pengguna di mahkamah, maka hak yang sedemikian rupa perlu diberi kepada pengguna juga.

62.       Orang awam perlu mempunyai hak untuk mendapatkan pampasan sekiranya pemegang lesen air gagal untuk mematuhi undang-undang yang mewajibkan mereka mengikutinya sepanjang masa. Hanya melalui hak dan tindakan pengguna sahaja yang membolehkan Kerajaan dan rakyat bekerjasama secara efektif untuk meneliti dan memastikan kesempurnaan pembekalan air memberi manfaat kepada seluruh negara.

63.       Dengan itu, sekiranya pihak operator gagal membekalkan air bersih yang memenuhi piawaian kualiti air secara berterusan, maka pengguna boleh menuntut ganti rugi daripada pihak operator. Ganti rugi yang dituntut oleh pengguna bolehlah ditentukan oleh mahkamah atau Tribunal Tuntutan Pengguna.

64.       Di samping itu, standard kualiti air yang minimum hendaklah tersurat di dalam undang-undang dengan jelasnya. Walau bagaimanapun, standard kualiti air boleh diperincikan di dalam peraturan yang akan ditetapkan oleh SPAN, dengan syarat perincian dibuat hanya untuk mempertingkatkan standard kualiti air.

65.       Caj atau bayaran perkhidmatan bekalan air yang akan dikenakan kepada pengguna merupakan perkara yang dikuatiri oleh semua lapisan masyarakat. Kebiasaannya apabila sebuah syarikat swasta mendapat konsesi perkhidmatan, seperti yang berlaku dalam bidang lebuhraya bertol, sudah ditentukan dalam tempoh tertentu boleh buat semakan tarif oleh pihak konsesi pengendali dan bayaran akan dinaikkan. Kalau tidak dibenarkan kenaikan, Kerajaan kena membayar pampasan kepada syarikat berkenaan. Bagaimanapun, akhirnya rakyat juga yang kena tanggung kerana hasil pendapatan Kerajaan datang daripada pengguna yang menjadi pembayar cukai.

66.       Untuk memastikan pihak operator sentiasa memastikan bekalan air yang tersedia ada (availability) dan berkekalan (sustainability) untuk jangka masa panjang, pihak operator dikehendaki mengemukakan rancangan perniagaan boleh pinda (rolling plan) bagi tempoh setiap 3 atau 5 tahun dan terbuka kepada tatapan rakyat. Selepas pelaksanaan rancangan perniagaan boleh pinda itu terbukti berhasil dan efektif, barulah cadangan tarif disemak dibenarkan, dan bukannya minta semakan tarif semasa mengemukakan rancangan perniagaan boleh pinda.

67.       Oleh itu, sungguhpun ada ura-ura mencadangkan supaya kadar tarif air antara negeri diseragamkan, memandangkan struktur kos pembangunan bekalan air adalah berbeza mengikut negeri, maka penyeragaman kadar tarif mungkin tidak dapat dilakukan.

68.       Pada hemat saya, sama ada kadar tarif air diseragamkan atau tidak, hal ini tidak begitu mustahak. Yang mustahak ialah kadar maksima yang boleh dikenakan oleh pihak operator. “There must be a price ceiling for the water service provided” yang tersurat dalam undang-undang. Ini dikatakan ketelusan untuk mendapat keyakinan rakyat terhadap penggubalan RUU berkenaan, bukannya sekadar tersirat di dalam perjanjian konsesi yang semakan boleh dibuat dan operator boleh menuntut kenaikan kadar tarif sewenang-wenangnya.

69.       Kita dimaklumkan bahawa selepas perwujudan SPAN, sebuah badan industri sebagai forum industri yang bernama Forum Air akan ditubuhkan. Adalah disyorkan keanggotaan adalah benar-benar mewakili kepentingan pengguna, dan bukannya pengendali industri. Daripada 6 tujuan yang dicadangkan sebagai asas penubuhan Forum Air oleh Kerajaan, 5 tujuan menyentuh tentang kepentingan pengguna.

i.                    memberi maklum balas dan membuat syor kepada SPAN mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan pengguna;

ii.                  untuk mewakili kepentingan pengguna;

iii.                untuk memajukan kepentingan pengguna berhubung dengan tarif dan standard perkhidmatan;

iv.                 untuk mengenalpasti dan mengkaji semula perkara-perkara yang menyentuh kepentingan pengguna dan memastikan pihak operator menyedari dan responsif terhadap kebimbangan mengenai perkhidmatan mereka;

v.                   untuk membuat publisiti tentang kewujudan, fungsi dan kerja Forum Air dalam melindungi kepentingan pengguna;

vi.                 apa-apa fungsi yang ditentukan oleh Suruhanjaya.

70.       Maka keanggotaan Forum Air yang bakal ditubuhkan hendaklah mempunyai perwakilan kepentingan pengguna dalam erti kata yang sebenarnya. Oleh yang demikian, perlulah jelas dalam RUU bahawa Forum Air merupakan satu badan pengguna dan bukan badan industri.

71.       Kita mengalu-alukan cadangan penubuhan suatu “sinking fund” atau Kumpulan Wang Industri Air bagi maksud perbelanjaan seperti berikut:

i.                    perlindungan dan pemuliharaan alur air dan kawasan tadahan air;

ii.                  memastikan kekekalan bekalan air daripada alur air;

iii.                peningkatan kualiti air di alur air;

iv.                 penyediaan perkhidmatan air dan pembetungan di kawasan pembangunan luar bandar; atau

v.                   apa-apa maksud lain yang ditentukan oleh Menteri.

72.       Saya mencadangkan agar dimasukkan satu lagi maksud perbelanjaan Kumpulan Wang Industri Air demi kepentingan pengguna iaitu kumpulan wang itu boleh digunakan sebagai perbelanjaan kapital yang diperlukan untuk menggantikan paip air. Ini boleh mengelakkan operator dari menuntut kenaikan tarif dengan alasan pengguna perlu bayar lagi untuk penggantian paip air yang sudah tentu menelan kos yang tinggi.

73.       Contoh fakta kos: Aset fizikal perkhidmatan air di Negeri Selangor (April 2005) sahaja: 15,400 km saluran paip air, 867 kolam air dan tangki air, 285 unit kenderaan, 314 stesen pam booster, 10 pejabat daerah, 16 stor, 1 bengkel, (200 km) 200,000 meter paip air berumur melebihi 7 tahun yang memerlukan penukaran / penggantian (tidak termasuk 30,000 meter paip tidak dapat dibaca kerana terletak di dalam premis pengguna).

74.       Program penggantian paip SYABAS (Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd) tahun 2005 di 10 daerah ialah 835km dengan anggaran kos RM272 juta,  manakala dikenalpasti sehingga setakat ini, jumlah paip yang perlu diganti sepanjang tempoh konsesi ialah 6,000km (Anggaran jumlah kos RM1.95 billion).

75.       Dengan fakta kos penggantian paip di atas, bagi mengelak operator memindahkan kos itu daripada menjadi beban rakyat dan pengguna, maka adalah wajar Kumpulan Wang Industri Air juga digunakan untuk maksud membiayai projek penggantian paip

76.       Sebagai rumusan dalam soal air, perkhidmatan bekalan air bersih berkualiti hendaklah dikendalikan sebagai satu projek pembangunan masyarakat yang boleh dinikmati oleh semua rakyat, termasuklah masyarakat bandar, luar bandar dan pedalaman, golongan yang kurang upaya dan berpendapatan rendah. 

Adalah diharap semua perkara yang dibincangkan di atas dapat diambil kira dan dimasukkan sebelum RUU yang berkaitan dibawa ke dalam Dewan yang mulia ini untuk pertimbangan.

(back to top)

 

(9)       WARISAN KITA – BUKU TEKS SEJARAH

77.       Matlamat pengajaran sejarah di sekolah bukan semata-mata untuk megetahui kisah silam / asal usul (origins) kita, tetapi lebih pentingnya, untuk mengetahui bagaimana zaman sekarang diwujudkan. Keutamaan mata pelajaran sejarah seharusnya bertumpu kepada makna sezaman isu-isu sejarah dan tauladan yang boleh dipelajari daripadanya. Oleh itu, pembelajaran sejarah mesti membina pemikiran yang kritis dan memupuk prinsip dasar-dasar tentang masyarakat dan negara kita.

78.       Dalam konteks Malaysia, ajaran sejarah adalah bertujuan untuk memastikan perpaduan nasional dan kemakmuran masyarakat berterusan.

79.       Malaysia merupakan suatu masyarakat pelbagai bangsa, kaum dan agama. Oleh itu, buku teks sejarah memainkan peranan yang penting untuk memelihara keseimbangan dalam usaha pembangunan negara.

80.       Walau bagaimanapun, mata pelajaran sejarah masa kini :-

i.   Tidak memadai untuk mewujudkan pemikiran yang kritis; atau

ii.  Tidak mengandungi pemahaman seimbang yang luas tentang sumbangan bangsa-bangsa lain dalam perkembangan negara. Misalnya, gerakan melawan penaklukan Jepun semasa Perang Dunia Kedua digambarkan sebagai suatu usaha orang Melayu saja, manakala peranan orang Cina dan India telah diabaikan; atau

iii. Tidak memberi pemahaman yang mendalam tentang pembentukan tamadun-tamadun lain untuk mewujudkan semangat bersaing di samping keharmonian masyarakat, misalnya, dalam kurikulum sejarah Tingkatan 1 – 5, tamadun Cina atau India hanya disentuh sepintas lalu.

81.       Buku teks sejarah yang sedia ada ini bukan kurang tepat, tetapi adalah kurang lengkap atau menyeluruh.

82.       Malaysia, majoriti penduduk adalah beragama Islam dapat hidup dengan aman damai bersama-sama dengan bilangan penduduk pelbagai agama yang amat ketara. Malaysia  sering dipandang sebagai sebuah negara yang sederhana dan progresif.

83.       Pemahaman tentang budaya dan agama lain serta amalan-amalannya adalah penting agar generasi muda kita menghargai kekayaan pelbagai budaya dan agama di masyarakat kita. Ini penting untuk melahir dan membina guna tenaga manusia yang mampu menyahut cabaran berdaya saing secara global.

84.       5 daripada 10 bab dalam buku teks mata pelajaran sejarah Tingkatan 4 sekarang tertumpu kepada tamadun Islam. Ketidakseimbangan dalam penyampaian maklumat ini harus diseimbangkan supaya tidak terjejas peluang bagi generasi muda untuk memahami dan menghargai tamadun-tamadun agama dan budaya lain, di samping membuka minda untuk menerima idea-idea baru.

85.    Daripada peristiwa pentadbiran Malayan Union yang telah mendorong gerakan nasionalisme Melayu, kita mengakui usaha Kongress Melayu pada tahun 1946 dan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu untuk menyatukan kaum Melayu, demi mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

86.    Sesungguhnya, tidak dapat dinafikan juga usaha sama kaum Melayu, Cina dan India serta perikatan UMNO, MCA dan MIC yang telah memaparkan kekentalan semangat juang untuk mencapai kemerdekaan negara kita.

87.       Selepas 48 tahun mencapai kemerdekaan, kita dibelenggui sekali lagi dengan cabaran luar yang dipanggil globalisasi – satu percubaan sekali lagi yang menguji keteguhan perpaduan negara kita. Murid-murid dan generasi muda hendaklah dilengkap dan disediakan untuk menghadapi cabaran baru ini. Buku-buku teks sejarah kita mesti mengiktiraf dan memaparkan kebenaran warisan daripada perjuangan nenek-moyang kita.

88.       Sejarah mestilah mendedahkan perihal galakan, sokongan dan hormat-menghormati sesama kita, tanpa mengenepikan jasa bakti semua kaum dan masyarakat, agar ianya menjadi pengajaran untuk merangsang kita terus bersatupadu menentang cabaran yang baru ini. Dalam konteks itu, penekanan yang seimbang harus diberi demi memperihalkan sumbangan yang telah diberikan oleh semua yang terlibat.

89.       Kesimpulan: Kita harus mengkaji semula kurikulum mata pelajaran sejarah di peringkat sekolah menengah, peringkat pendidikan tinggi misalnya di kolej-kolej swasta (e.g. Malaysian Studies), buku-buku teks yang digunakan untuk penilaian dan ujian kakitangan perkhidmatan awam – untuk memastikan ketepatan penterjemahan, penghuraian yang lengkap tentang peristiwa-peristiwa dan fakta-fakta sejarah.

90.       Pemilihan isi kandungan mata pelajaran oleh Pusat Perkembangan Kurikulum mestilah lebih seimbang dan menggambarkan masyarakat majmuk yang sebenarnya;

90a.    Kualiti dan mutu buku teks yang dicetak mesti dinaikkan taraf, misalnya dari segi taraf kandungannya, teks-teks rujukan akademik yang digunakan, kualiti cetakan dan gambarajah yang terkandung dalam buku-buku teks sejarah.

91.       Penguji di Lembaga Peperiksaan Malaysia juga mesti terdiri daripada pelbagai bangsa dan seimbang untuk memastikan bahawa kandungan dalam soalan dan jawapan untuk kertas-kertas peperiksaan mencerminkan objektif dan hasrat pengajaran sejarah dalam pembentukan negara (nation building).

92.       Dalam erti kata lain, isi kandungan mata pelajaran sejarah mestilah mempunyai kepelbagaian untuk membekalkan minda anak-anak kita dengan pengetahuan, ilmu, dan fakta yang boleh memahami sejarah dengan menyeluruh, secara rasional, kritikal dalam era globalisasi yang begitu kompetitif dan dalam masa yang sama dapat menghayati semangat rakyat Malaysia yang jati.

92a.    `Fakta Warisan’, sebuah paparan yang diterbitkan di muka depan Utusan Malaysia adalah suatu contoh yang baik di mana fakta sejarah dari pelusuk dunia dikongsi bersama untuk penghayatan pembaca-pembaca. Ini patut dipuji kerana menyumbang kepada penyebaran fikiran rakyat.

(back to top)

 

(10)     BUTIRAN AGAMA DALAM MYKAD & JABATAN PENDAFTARAN NEGARA

93.       Mengenai isu kesilapan butiran agama dalam Mykad, prosedur semasa yang digunakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN): Tidak perlu mengemukakan dokumentasi untuk membuktikan agama seseorang, cuma mengisi Borang A dan membuat pindaan atau pembetulan butiran agama dalam Mykad.

94.       Bayaran penalti RM20 untuk pembetulan tersebut jika ianya adalah kesilapan pemohon (contoh, tidak memberikan maklumat terkini semasa permohonan), manakala tiada caj jika kesilapan dilakukan oleh pegawai JPN.

95.       Masalah yang kini dihadapi oleh para pemohon:

i.  Ramai pegawai tidak peduli keputusan tersebut dan melengahkan tugas pengurusan mereka;

ii.  Prosedur pengurusan yang tidak konsisten di mana bayaran penalti untuk menggantikan Mykad berbeza antara RM20 hingga RM50;

iii.  Keengganan pegawai untuk memberi salinan cetakan data peribadi;

iv. Secara teknikal, pegawai JPN tempatan tiada kuasa untuk mengubah maklumat peribadi dalam sistem, tetapi sesetengah pegawai menunjukkan bahawa mereka boleh berbuat demikian.

96.       Dari segi bukti kesilapan, rakyat menghargai keputusan JPN kerana tidak mengenakan bayaran penalti terhadap pemohon bagi kesilapan yang disebabkan oleh pegawai JPN. Namun demikian, ia adalah sukar untuk mengemukakan bukti sebegini. Satu-satunya bukti adalah borang permohonan. Soalannya, bolehkah / sudikah pegawai mengeluarkan permohonan asal untuk pengesahan?

97.       Begitu juga, seseorang rakyat akan memohon Mykad pada umur 12 atau 18 tahun atau atas sebab program baru Kerajaan (new exercise) tertentu. Maka, JPN harus menyedari bahawa mengemaskini maklumat adalah penting kerana maklumat peribadi seperti alamat, agama dan sebagainya mungkin berubah selepas suatu tempoh masa.

98.       Seringkali, JPN silap mengandaikan bahawa seorang Cina itu semestinya beragama Buddha, seorang India beragama Hindu, dan sebagainya.

99.       Cadangan penambahbaikan ialah rakyat diberi tempoh kelonggaran / simpati (grace period) antara tiga hingga enam bulan, tanpa bayaran penalti untuk membetulkan kesilapan butiran agama. Pihak JPN juga hendaklah menyediakan  borang yang sesuai untuk mengemaskini data peribadi.

(back to top)

 

(11)     PERUNTUKAN & PENYEDIAAN TEMPAT IBADAT SEJAJAR DENGAN PEMBANGUNAN SEJAGAT

100.    Setiap pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan di negara ini sewajarnya dipastikan selari dengan usaha penerapan nilai-nilai murni yang menuju ke arah pembentukan masyarakat madani dan pembangunan mampan. Justeru itu, usaha dan inisiatif untuk membentuk suatu perancangan dan pembangunan yang berteraskan nilai-nilai murni ini seharusnya diberi keutamaan dan disambut baik bagi perwujudan petempatan-petempatan manusia.

101.    Garis panduan perancangan dan pembangunan sejagat yang bermatlamatkan ke arah mewujudkan keseimbangan antara pembangunan fizikal, pembangunan alam sekeliling dengan pembangunan insan dan sahsiah itu haruslah diikuti dan dilaksanakan.

102.    Sehubungan ini, sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk, peruntukan dan penyediaan tempat ibadat bukan Islam hendaklah tidak diabaikan dan kemudahan tertentu dibolehkan seperti kuil, gereja dan tokong berfungsi sebagai tempat melaksanakan penyembahannya. Tempat beribadat bukan Islam juga boleh berfungsi sebagai pusat sivik, tempat perjumpaan, pertemuan dan perbincangan serta sebagai salah satu institusi pembangunan masyarakat dan negara.

103.    Kita mengalu-alukan projek mendirikan sebuah gereja di Putrajaya yang mana suatu pertandingan sedang diadakan menjemput orang ramai untuk mengetengahkan cadangan rekabentuk. Kini kita menunggu keputusan pertandingan ini serta pembinaan bangunan ini yang kelak pasti akan menyerikan lagi keindahan Putrajaya.

104.    Penyediaan ruang sebagai tempat beribadat sebenarnya adalah selaras dengan usaha-usaha Kerajaan untuk mencapai Wawasan 2020 dalam membentuk masyarakat yang bertamadun tanpa mengabaikan nilai akhlak dan moral yang tinggi. Pada 22 April 2000, Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan telah meluluskan Garis Panduan Perancangan dan Pembangunan Sejagat, Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa, Semenanjung Malaysia (Piawaian Perancangan JPBD 4/2000), dengan peruntukan tempat dan penyediaan ruang ibadat bukan Islam hendaklah ditepati dan dipenuhi, berdasarkan kepada prinsip Perancangan Tempat Ibadat Bukan Islam, Lokasi Perletakan, Nisbah Kepadatan dan sebagainya, seperti yang telah dipersetujui.

105.    Akan tetapi, sehingga sekarang, pihak perancang bandar dan para pemaju telah mengabaikan peruntukan garis panduan tersebut. Banyak golongan agama tidak diberi petempatan yang sesuai untuk sembahyang. Oleh itu, penguatkuasaan yang tegas perlu dijalankan agar pemaju perumahan dan agensi berkaitan membuat perancangan dan pemajuan mengikut  ketetapan, dan merizabkan tapak ibadat bukan Islam di kawasan pemajuan baru.

106.    Pada masa yang sama, memandangkan juga segala hasil pendapatan negara adalah usaha sama dan sumbangan cukai rakyat Malaysia yang berbilang budaya dan agama, peruntukan kewangan daripada Kerajaan hendaklah diberi secara adil dan saksama untuk pembinaan dan penyelenggaraan tempat-tempat ibadat semua agama utama di negara kita. Pengagihan peruntukan sekurang-kurangnya hendaklah selaras dengan nisbah kaum. 

107.    Semasa pengisytiharan Rukun Negara pada Hari Merdeka tahun 1970 oleh SPB Yang Di-Pertuan Agong ke-4, salah satu prinsip yang ditegaskan ialah “Islam is the official religion of the Federation. Other religions and beliefs may be practiced in peace and harmony and there shall be no discrimination against any citizen on the ground of religion.” 

108.    Dengan itu, penyediaan ruang dan tempat beribadat serta pemberian peruntukan kepada semua golongan agama hendaklah dilaksanakan oleh Kerajaan tanah air ini.

(back to top)

 

(12)     PEMBATALAN DAFTAR GEREJA OLEH PENDAFTAR PERTUBUHAN (REGISTRAR OF SOCIETIES, ROS)

109.    Suatu pertubuhan yang mendaftar dengan ROS adalah tertakluk kepada Akta Pertubuhan 1966. Namun, kita mesti sedar bahawa pertubuhan dibolehkan tidak perlu menggunakan undang-undang dan peraturan tertentu yang tidak sesuai.

110.    Masalah yang dihadapi oleh para gereja dan pertubuhan agama hari ini: Terdapat aduan bahawa ROS boleh membatalkan pendaftaran sesebuah gereja atau pertubuhan agama tanpa memberi peluang kepada kononnya yang bersalah untuk penjelasan atau mengesahkan permasalahannya.

111.    Sebuah gereja, yang bermaksud menjaga kesejahteraan jiwa manusia, telah dibatalkan pendaftaran baru-baru ini atas sebab-sebab, seperti

            1. Kekeliruan dalam keahliannya

            2. Tidak mempamerkan notis mesyuarat-mesyuarat umumnya

            3. Menerima keahlian pelajar-pelajar kolej tanpa kebenaran Naib Canselornya

112.    Cadangan: Pegawai ROS harus meneliti dan berhati-hati (discreetly) apabila ingin membatalkan pendaftaran sesuatu pertubuhan, terutamanya organisasi agama.

113.    Pertubuhan berkenaan sepatutnya diberi peluang untuk mengenali masalah dan memperbaikinya, kerana tiada sesiapa yang sempurna.

114.    Dalam kes yang melibatkan organisasi agama, ROS sepatutnya membuat rundingan yang sesuai bersama dengan ketua agama berkenaan sebelum mengambil sebarang tindakan. Dalam kes gereja yang dibatalkan pendaftarannya kerana aduan daripada orang bukan ahli gereja. Sepatutnya tidak ada tindakan harus diambil terhadap pertubuhan itu kecuali aduannya dibuat oleh ahli-ahli pertubuhan itu.

(back to top)

 

(13)     GARIS PANDUAN TATACARA MEMBACA DOA & PENUBUHAN JABATAN KEMAJUAN AGAMA

115.    Kemerdekaan negara kita adalah hasil perjuangan bersama semua kaum yang berpegang pada prinsip perpaduan, permuafakatan dan persefahaman. Segala usaha Kerajaan untuk memperkenalkan peraturan atau dasar baru dalam aspek pembangunan masyarakat serta pembinaan insan yang bermoral dan berakhlak mulia, perlulah mematuhi peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan agar menghormati kebebasan hak beragama kaum masing-masing, di samping memahami kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

116.    Kerajaan perlu mendorong dialog yang sihat antara penganut agama, serta prihatin tentang sensitiviti agama khususnya dalam kalangan para pegawai pelaksana. Isu agama boleh menjadi positif dan juga negatif, justeru perlu menonjolkan persamaan nilai yang universal antara agama.

117.    Baru-baru ini, saya mendapati bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang menyediakan Garis Panduan Tatacara Membaca Doa untuk seluruh negara. Saya difahamkan oleh pegawai JAKIM bahawa garis panduan tersebut adalah dijadikan panduan dan digunapakai oleh semua orang, agensi Kerajaan dan swasta di majlis-majlis rasmi dan separuh rasmi. 

118.    Kerja-kerja penyediaan garis panduan itu dilakukan tanpa konsultasi, rujukan atau rundingan dengan wakil agama-agama lain, termasuklah pemimpin-pemimpin Malaysian Consultative Council for Buddhism, Christianity, Hinduism and Sikhism.

119.    Cara ini bercanggah dengan prinsip-prinsip penghormatan, persefahaman, permuafakatan, ketelusan yang digalakkan oleh Kerajaan dan pemimpin negara untuk dipraktiskan khususnya oleh pegawai-pegawai sektor awam.

120.    Perkara ini hendaklah berlandaskan persefahaman antara agama dan dihalusi segera oleh Kerajaan demi mempertahankan status negara kita yang kaya dengan kepelbagaian bangsa, agama dan budaya hidup yang dihormati oleh dunia sejagat.

121.    Lanjutan daripada itu, sebagai langkah pengiktirafan kepada agama-agama lain, mematuhi prinsip kebebasan hak beragama mengikut Perlembagaan Persekutuan, maka pelan tindakan pragmatik menggalak dan memupuk persefahaman serta hubungan harmoni rakyat berbilang agama perlu bermula dari sektor awam. Dengan itu, mungkin sudah tiba masanya untuk saya mencadangkan kepada Kerajaan agar ditubuhkan Jabatan Kemajuan Agama-agama di Malaysia (JAKAM).

122.    JAKIM selama ini telah berjaya mengurus dan mengendalikan hal ehwal Islam dengan baik (lebih kurang 60% daripada jumlah penduduk yang beragama Islam). Hal ehwal kerohanian bagi lebih kurang 40% penduduk negara ini yang bukan beragama Islam perlu dititikberatkan dan dipelihara. Mereka merupakan sumber manusia yang amat signifikan dan tak ternilai untuk pembangunan negara juga, di samping mereka juga merupakan penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi dan kemajuan sosial negara ini. Maka, Jabatan Kemajuan Agama-agama lain di Malaysia (JAKAM) hendaklah juga ditubuhkan dan bertanggungjawab serta berfungsi mengikut rujukan bidang kuasa (term of reference) seperti JAKIM untuk agama-agama bukan Islam.

123.    Bagi mengurus hal ehwal yang ada hubung kait antara agama, JAKAM  dan JAKIM boleh sentiasa duduk semeja, di bawah satu bumbung, berganding bahu untuk menyelia dan mengendali perkara-perkara yang perlu.

(back to top)

 

KESIMPULAN

124.    Biarpun apa jua usaha dan dasar Kerajaan, pihak-pihak yang terlibat dalam sistem pelaksanaan terutamanya kakitangan Kerajaan mestilah penuh yakin dengan Kerajaan dan melaksanakan tugas mereka dengan gigh, cekap, beramanah tanpa diskriminasi supaya matlamat pembangunan dapat terlaksana.

125.    Semoga dengan usaha, ikhlas dan jujur serta kerjasama daripada semua lapisan masyarakat, dapatlah melahirkan masyarakat majmuk Malaysia yang bersatu, di samping berkeyakinan, bermoral, beretika tinggi. Secara tuntasnya, diharapkan rakyat Malaysia dapat hidup dalam suasana liberal, demokratik, penyayang dan harmoni. Matlamat ini hanya dapat direalisasikan melalui pengukuhan dan penghayatan terhadap identiti kebangsaan, perwujudan integrasi nasional, pembangunan sumber manusia dan masyarakat berbudaya tinggi.

126.    Saya percaya, Kerajaan yang jujur, prihatin dan mengutamakan kepentingan rakyat di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, akan terus berusaha mewujudkan persekitaran yang kondusif, membolehkan rakyat menjadi warganegara yang berpengetahuan, beretika, bertanggungjawab dan berkebolehan bagi mencapai taraf hidup yang lebih baik serta memenuhi kehendak-kehendak dan aspirasi negara selaras dengan prinsip-prinsip Rukun Negara.

127.    Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dewan yang mulia ini  dan sekali lagi ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Di-Pertua kerana diberi peluang untuk menyokong usul menjunjung kasih Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.  

“Perigi jarang mencari timba,

 Pijat bersarang merata tempat;

 Rakyat jelata kebanggaan negara,

 Kegemilangan harapan seluruh rakyat”

 

“Hajat sudah saya sampaikan,

 Harapan kini menumpahi kerajaan;

 Sama-sama kita usahakan,

 Hajat tertunai menuju kegemilangan.”

128.    Dengan pantun ini, saya mohon menyokong usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat bagi Kuala Pilah. 

 

Sekian, terima kasih.

 

 

Send mail to mpcentre@kelanajaya.com.my with questions or comments about this web site.
Copyright © 2004 - 2009 Loh Seng Kok 卢诚国
Last modified:  Friday, May 22, 2009