Loh Seng Kok

Parlimen Malaysia

Barisan Nasional MCA

Loh Seng Kok 卢诚国
Member of Parliament for Kelana Jaya
雪州格拉那再也区国会议员
(2004 - Feb 2008)

Today is 

Pages on this website have been viewed
Hit Counter
times

UCAPAN LOH SENG KOK, AHLI PARLIMEN KAW.  KELANA JAYA

PERBAHASAN TITAH DI-RAJA SEMPENA MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEDUA, DEWAN RAKYAT, PARLIMEN KESEBELAS, 31-3-2005 (KHAMIS)

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Terima kasih, Tuan Yang Di-Pertua,

Salam Sejahtera kepada semua.

Terlebih dahulu, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang Di-Pertua kerana sudi memberi peluang kepada saya untuk turut membahas titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong semasa merasmikan Mesyuarat Dewan Rakyat Pertama, Penggal Kedua, Parlimen kesebelas di Dewan yang mulia ini.

Tuan Yang Di-Pertua,

PERANCANGAN PENGGUNAAN DAN PENYEWAAN  TANAH / TAPAK RIZAB

Titah Yang Di-Pertuan Agong ada menyentuh tentang pertumbuhan tidak seimbang di kalangan wilayah, antara bandar dan luar bandar perlu diatasi. Saya berpendapat, salah satu usaha pengimbangan yang boleh dilaksanakan ialah melalui perancangan pembangunan jangka pendek atau jangka panjang,  yang melibatkan penggunaan tanah.

Keluasan negara adalah 330,252 kilometer persegi terdiri dari Semenanjung Tanah Melayu meliputi seluas 131,805 kilometer persegi, serta kawasan pantai barat daya Pulau Borneo (Sabah 73,997 kilometer persegi dan Sarawak 124,450 kilometer persegi).

Sehubungan ini, penggunaan tanah-tanah lapang, tanah terbiar, tapak rizab untuk sesuatu pembangunan secara berhemat akan membantu memantapkan pertumbuhan ekonomi negara kita, khususnya bagi kawasan-kawasan yang perlu pemangkin ekonomi, haruslah diutamakan.

Banyak syarikat pemajuan mempunyai kaki dan tangan, mata dan telinga, menjalin hubungan dengan agensi kemajuan, perbadanan, jabatan, khususnya agensi-agensi Kerajaan, untuk mencari tanah Kerajaan di dalam kawasan komersial dan kawasan perumahan membangun, dan berharap dapat memperolehi pulangan yang teramat tinggi “very high return” dengan bayaran premium atau sewa yang rendah untuk tujuan perniagaan dan kemajuan syarikat masing-masing.

Selain dari mencari peluang mengaut keuntungan dari guna tanah dalam jangka masa pendek, syarikat-syarikat berkenaan sepatutnya mempunyai  tanggungjawab sosial, iaitu membantu Kerajaan dan semua golongan masyarakat untuk memperolehi pembangunan seimbang dari segi pembangunan sumber manusia, pembangunan infrastruktur dan prasarana, pengujudan peluang-peluang pekerjaan, penggalakan perkembangan industri atau perusahaan tertentu di kawasan-kawasan yang kurang membangun.

Dalam pada itu juga, pihak agensi Kerajaan yang mempunyai tanah atau tapak rizab untuk disewa atau pindahmilik seperti pegawai pengawal yang diberikan mandat, contohnya Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, juga harus mempunyai keprihatinan yang sama semasa mempertimbangkan  sama ada tanah atau tapak rizab berkenaan disewa atau tukar syarat kegunaan tanah untuk tujuan lain.

Maka, apabila terdapatnya tanah Kerajaan atau tapak rizab agensi Kerajaan  yang belum dibangunkan dan  ingin disewakan atau pindahmilik kepada pihak swasta, ianya hendaklah berdasarkan kepada kesemua prinsip yang saya cadangkan seperti berikut:

1)                 penyewaan ke atas tanah Kerajaan atau tapak rizab agensi Kerajaan itu hendaklah mendatangkan pulangan optimum yang manasabah;

2)                 penggunaan tanah tersebut hendaklah tidak bercanggah dengan maksud asal rancangan struktur (Structural Plan) dan/atau rancangan tempatan (Local Plan). Sekiranya tidak ada rancangan tempatan, maka Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah mempertimbangkan permohonan Kebenaran Merancang (Planning Approval) mengikut proviso dalam Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172), tanpa mengabaikan hak-hak penduduk tempatan untuk terlibat bersama dalam perancangan pembangunan, bersesuaian dengan kehendak Local Agenda 21 (LA21), dan mengambilkira impak sosial, impak persekitaran, impak trafik dan kesihatan, seperti yang dikehendaki oleh Seksyen 21A, Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976;

3)                 Walaupun kemungkinan penyewaan tanah itu adalah jangka pendek, penggunaan tanah tersebut hendaklah mempunyai potensi untuk merangsang pembangunan tempatan dan menjana pertumbuhan ekonomi tempatan;

4)                 The immediate needs, keperluan segera masyarakat atau komuniti tempatan di mana terletaknya tapak itu, hendaklah diberi keutamaan, seperti untuk kegunaan rekreasi, padang dan kemudahan infrastruktur, seperti balai polis, klinik kesihatan dan lain-lain. Pada masa kini, tahap kawasan lapang dan rekreasi jauh daripada piawaian perancangan, iaitu tidak mencapai tahap minima 10% piawaian perancangan kerajaan tempatan;

5)                 Jika tanah tersebut telah diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56), maka prosedur yang betul harus digunakan untuk pemansuhan warta (degazette), iaitu berdasarkan kepada Seksyen 64 Kanun Tanah Negara 1965, di mana “public enquiry” perlu diadakan di bawah Seksyen  24 Kanun Tanah Negara. Prosedur yang betul diamalkan tidak akan menimbul masalah dan kontroversi seperti di Hutan Simpanan Bukit Cahaya dan Sg Buloh;

6)                 Pemberi milik tanah (alienation of land) oleh Kerajaan Negeri harus dilakukan mengikut perancangan yang betul di bawah Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976.

Tuan Yang Di-Pertua,

Dengan memenuhi prinsip-prinsip di atas, maka penggunaan tanah atau tapak itu membawa semua pihak mencapai suatu keadaan “Win-Win-Win situation”; yakni agensi Kerajaan menang kerana tanah belum dibangun itu mendatangkan hasil kepada rakyat dan Kerajaan, penyewa atau pengusaha masih boleh cari keuntungan dan, masyarakat tempatan dapat menikmati faedah pembangunan tanah berkaitan.

Dengan hujah di atas, saya ingin menarik perhatian Dewan ini terhadap tapak-tapak rizab agensi kerajaan, seperti tapak rizab balai polis.

 

PEMBINAAN SEGERA BALAI POLIS / IPD SUBANG JAYA DI TAPAK RIZAB BALAI POLIS USJ 8, SUBANG JAYA

Bagi kawasan-kawasan yang kritikal dari segi soal keselamatan dan ketenteraman awam, tapak rizab polis hendaklah dibina prasarana, balai polis dan kemudahan polis dengan segera, dan bukannya disewa untuk tujuan lain. Contohnya di dalam kawasan perbandaran dalam kawasan Parlimen Kelana Jaya (saya pernah membangkitkan isu yang sama dalam persidangan Parlimen pada 30 September 2004). Terdapat sebidang tapak rizab balai polis di Lot 42567, Mukim Damansara, USJ8, Subang Jaya.

Buat masa kini, hanya terdapat sebuah pondok polis bersebelahan dengan tapak tersebut dengan kekuatan polis seramai 46 orang sahaja. Kawasan pentadbiran pondok polis ini terbahagi kepada 13 sektor dan  meliputi Putra Heights, Alam Megah, Putra Bahagia, Taman Industri Subang, sebahagian kawasan Shah Alam, USJ 1 hingga USJ 28 Subang Jaya dan jumlah penduduk adalah melebihi 200,000 orang.

Demi keperluan dan kepentingan keselamatan di kawasan berkenaan, saya berharap balai polis atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dapat dibina segera di tapak rizab balai polis USJ8 dalam tahun 2005/2006 mengikut konsep Build, Lease and Transfer (BLT). (Dalam mesyuarat penyediaan cadangan projek peringkat Daerah Petaling untuk Rancangan Malaysia ke-9 pada 10 Disember 2004, saya telah cadangkan IPD Subang Jaya dibina di atas tapak rizab balai polis USJ 8) Ini adalah kerana IPD Subang Jaya yang baru ditubuhkan pada 1 Januari 2005 sedang menyewa bangunan kedai sebagai pejabat. Sekiranya pembinaan balai polis bagi IPD Subang Jaya secara BLT tidak dapat dilakukan, maka projek ini hendaklah diberi keutamaan khas dalam Rancangan Malaysia ke-9.

 

Tuan Yang Di-Pertua,

KAWASAN LAPANG / TAPAK REKREASI HENDAKLAH DIWARTAKAN

Menyentuh tentang soal tanah lagi, YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 18 Ogos 2003, ketika itu beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri, setelah mempengerusikan mesyuarat ke-51 National Council for Local Government, menyatakan  keputusan mesyuarat itu bahawa kawasan lapang yang telahpun dikenalpasti sebagai tapak rekreasi dalam skim-skim

pemajuan perumahan hendaklah diwartakan (to be gazetted) dan dijadikan sebagai kawasan rekreasi seperti tujuan asalnya.

Kita dimaklum bahawa banyak tapak yang diperuntukkan sebagai kawasan lapang dalam rancangan asal pemaju telah ditukar (converted for development or other purposes) untuk tujuan pembangunan lain.

Para pemaju tidak boleh menafikan hak penduduk dari kawasan lapang dan rekreasi yang telah dijanjikan kepada mereka melalui pengedaran Original Sales Brochure dan Home-Buyer’s Map. Kerajaan harus mengambil tindakan sewajarnya supaya kawasan-kawasan lapang dapat kekal sebagai tapak kemudahan rekreasi. Agensi Kerajaan yang bertanggungjawab, misalannya pejabat tanah hendaklah memastikan tiada geran tanah berasingan atas kawasan lapang itu dikeluarkan kepada pemaju selepas projek pemajuan siap disempurnakan. Pemaju seharusnya menyerahkan tapak kawasan lapang itu kepada pejabat tanah atau PBT untuk terus diwartakan sebagai tapak rekreasi.

Kalau tidak, dari masa ke semasa, terdapat angkara-angkara, usaha-usaha tertentu untuk membuat cadangan pembangunan dan ini sungguh tidak adil kepada penduduk tempatan di mana ketenteraman dan kualiti hidup tidak terjamin. Kalau tidak, berapa kalikah Wakil Rakyat, ahli-ahli sesuatu majlis perbandaran dan PBT dikehendaki bertengkar, berdebat dan menolak permohonan pembangunan.

 

KAWASAN SUBANG RIA RECREATIONAL PARK DIWARTAKAN

Sehubungan itu, tapak yang dinyatakan sebagai taman rekreasi, seperti di atas Lot 17394, Mukim Damansara, Daerah Petaling Selangor seluas 29.39 hektar, yang telahpun diberi nama Subang Ria Recreational Park semenjak projek pemajuan Subang Jaya dimulakan pada 1970an hendaklah diambil tindakan oleh agensi Kerajaan berkaitan, PBT, pejabat tanah atau pemaju untuk diwartakan segera mengikut proviso Seksyen 62, Kanun Tanah Negara.

 

PERLUASKAN SKOP PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA

Titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga sekali lagi menekankan agar Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) ini akan dapat meningkatkan semangat cintakan negara dan perpaduan di kalangan remaja yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama..

Kumpulan remaja tanpa mengira jantina yang umurnya dalam lingkungan 18 tahun disasarkan menyertai PLKN untuk menanam semangat patriotisme di kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai murni. Para peserta PLKN yang dikehendaki menjalani latihan selama tiga bulan itu terdiri daripada pelbagai kaum, jantina dan negeri yang dipilih secara berkomputer.

Akan tetapi, daripada kira-kira 480,000 remaja sebaya yang layak setiap tahun, hanya 85,000 orang sahaja yang dipilih untuk menyertai PLKN. Bagaimana pula dengan kebanyakan remaja sebaya lain yang seumur seramai lebih kurang 400,000 orang? Apa program untuk mereka yang tidak terpilih?

Menyedari hakikat ini, maka sukacita saya cadangkan bahawa, dalam usaha Kerajaan mempertingkat dan menambahkan tenaga jurulatih, prasarana, kemudahan latihan secara berperingkat, memperkemas dan menambahbaik modul latihan, skop PLKN hendaklah diperluaskan, iaitu remaja lain diberi peluang menyertai latihan mirip pasukan seragam dalam sektor kepolisan dan kejururawatan.

Saya yakin, penglibatan sektor kepolisan dan kejururawatan juga boleh memberi ruang untuk membimbing dan merangsang remaja ke arah pencapaian matlamat murni PLKN. Di samping itu, saya yakin, apabila skop PLKN diperluaskan, bukan sahaja lebih ramai remaja berpeluang menyertai PLKN, mereka juga dapat membuka mata tentang kerjaya kepolisan dan kejururawatan, ini juga membantu menyelesaikan masalah kekurangan anggota polis dan jururawat dalam negara kita.

Tuan Yang Di-Pertua,

Dengan ini, saya mohon menyokong

Sekian, terima kasih.

 

Send mail to mpcentre@kelanajaya.com.my with questions or comments about this web site.
Copyright © 2004 - 2009 Loh Seng Kok 卢诚国
Last modified:  Friday, May 22, 2009