Loh Seng Kok

Parlimen Malaysia

Barisan Nasional MCA

Loh Seng Kok 卢诚国
Member of Parliament for Kelana Jaya
雪州格拉那再也区国会议员
(2004 - Feb 2008)

Today is 

Perbahasan Titah Di-Raja 2004

Home
Back
My Profile 简介
My Opinion 观点
In the News 新闻
Gallery 活动照片
Voter Search
Links 网站连接
Contact Us 联络
Advanced Search

Pages on this website have been viewed
Hit Counter
times

UCAPAN LOH SENG KOK, AHLI PARLIMEN KAW. KELANA JAYA (P104)

MENYOKONG USUL MENJUNJUNG KASIH TITAH UCAPAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG DI MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL PERTAMA, DEWAN RAKYAT, PARLIMEN KESEBELAS, 19-5-2004.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Terima kasih, Tuan Yang Di-Pertua,

Salam Sejahtera kepada semua.

Terlebih dahulu, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang Di-Pertua kerana sudi memberi peluang kepada saya untuk menyokong usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat bagi Temerloh, iaitu usul menjunjung kasih titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong semasa merasmikan Mesyuarat Dewan Rakyat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen kesebelas di Dewan yang mulia ini semalam.

Tuan Yang Di-Pertua,

Ini adalah kali ulung saya berdiri di Dewan yang mulia ini.  Saya mohon, Tuan Yang Di-Pertua,

“Buah cempedak di luar pagar,  

ambil galah tolong jolokkan,

saya anggota baru belajar,

kalau salah tolong tunjukkan.” 

 

Tuan Yang Di-Pertua,

RASUAH DAN SISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM

Dalam pilihanraya umum ke-11 yang telah diadakan pada bulan Mac tahun ini, majoriti yang diperolehi oleh Parti Barisan Nasional (BN) menunjukkan rakyat jelata bersetuju dengan pimpinan YAB Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri. Sifat kepimpinan beliau yang sederhana tetapi tegas telah banyak membawa pembaharuan walaupun hanya memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dalam tempoh kurang dari satu tahun. Beberapa pendekatan yang telah beliau ambil, seperti mengisytiharkan ‘perang’ terhadap masalah rasuah menerusi penstrukturan semula operasi kerja dan peningkatan mutu sistem penyampaian Perkhidmatan Awam telah mendapat sokongan padu daripada rakyat jelata.

Selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelima beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara menstruktur semula fungsi pejabat dan Pegawai daerah serta pihak berkuasa tempatan (PBT), memastikan setiap kementerian menubuhkan pasukan petugas khas untuk menangani kerenah birokrasi yang dikenalpasti sebagai salah satu punca amalan rasuah.

Tuan Yang Di-Pertua,

Pentadbiran Kerajaan perlu memperkenalkan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap agar masalah rasuah dapat diatasi. Sasaran Malaysia adalah untuk mencapai rasuah sifar. Walaupun ini sebenarnya sangat sukar, kita boleh mengurangkan insiden rasuah sebanyak mungkin dengan tekad dan keazaman yang konsisten,  menjadikan sektor awam bebas dari kerenah birokrasi dengan mengamalkan cara kerja bersih, cekap dan amanah.

Perhatian lebih serius harus diberikan terhadap meningkatkan mutu perkhidmatan kaunter bagi memastikan rakyat sentiasa mendapat perkhidmatan yang cepat dan berkualiti. Pejabat-pejabat yang mempunyai kaunter yang berhadapan dengan orang ramai harus bekerja mengikut prosedur dan mengkaji semula proses kerja bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan kepada masyarakat lebih optimum.

Begitu juga, budaya masyarakat Malaysia perlu dibaiki di mana masyarakat seharusnya mempunyai sikap benci dan menolak sebarang perlakuan menyuap dan menerima rasuah.

Sehubungan dengan itu,  Tuan Yang Di-Pertua,

PELAN INTEGRITI NASIONAL

Saya mengambil kesempatan di sini menyeru Dewan ini mengalu-alukan perlancaran Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) baru-baru ini oleh YAB Perdana Menteri.  Sesungguhnya ini adalah hasrat rakyat yang telah dinanti-nantikan sekian lama.  Antara tujuan PIN ini sebagai dasar payung untuk memantapkan integriti negara ialah  menggubal strategi, memberi hala tuju kepada semua lapisan dan golongan masyarakat supaya mereka dapat bekerjasama dan mengambil bahagian secara langsung dalam usaha memantapkan nilai etika dan integriti, demi membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etika, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur.

PIN juga bertujuan menangani masalah rasuah yang berleluasa dalam masyarakat kita, terutamanya di dalam sektor awam.  Tahniah dan syabas kepada Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, kerana sanggup mengemukakan masalah ini dan berusaha membendungnya.  Ini bukan perbuatan “membuka pekung di dada sendiri” tetapi adalah usaha untuk memajukan diri dan kesungguhan untuk memajukan negara.  Adanya nakhoda sedemikian, barulah kapalnya selamat dinaiki, pelayarannya wajar diceburi.

 Institut Integriti Malaysia akan menjalankan kajian berkala mengenai persepsi umum terhadap rasuah setiap dua tahun.  Ini adalah usaha yang baik, tetapi selain kajian pasif sedemikian, IIM boleh memainkan peranan lebih aktif untuk meresap ke dalam jabatan-jabatan dan badan-badan kerajaan sebagai pemberi minda kepada mereka.  Dengan berbuat sedemikian, nescaya hasil kajian selepas dua tahun kemudian diharap akan menunjukkan data-data yang lebih positif.

Sesungguhnya usaha untuk mengwujudkan sebuah masyarakat yang beretika dan integriti perlu penceburan daripada semua pihak dan peringkat, daripada teratas sampai ke akar umbi.  PIN menggesa penglibatan semua peringkat dengan melihat kepada perkara biasa dalam tabiat hari-harian kita seperti mematuhi lampu isyarat, tidak melompat giliran, tidak meludah sewenang-wenangnya, tidak merosakkan harta awam dan sebagainya.  Ini adalah sesuatu yang dapat dilakukan oleh sesiapa sahaja jika berhajat.   Kita patut menimba ilmu daripada falsafah konfusianisme seperti kata-kata seorang tokohnya Mencius bahawa jika tidak melakukan perbuatan murni sedemikian “bukan kerana tidak terdaya, tetapi adalah tidak berhajat”.

Negara kita sedang mengorak langkah menuju ke arah negara maju, tetapi kemajuan yang kita impi-impikan bukannya sekadar mercu-mercu tanda seperti Menara Berkembar (Twin-Tower) sahaja, kita inginkan kemajuan rohaniah juga.  Kita ada banyak rancangan-rancangan dan projek-projek fizikal yang membangunkan negara, tetapi kurang projek-projek rohaniah.  PIN muncul tepat pada masanya.  Dengan terlancarnya PIN, moga-moga keseimbangan pembangunan fizikal dan rohaniah di  negara kita akan lebih terlaksana mulai sekarang.  

Tuan Yang Di-Pertua,

BELIA & PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA

 Saya menyokong titah ucapan Seri Paduka Baginda Ynag Di-Pertuan Agong, bahawa Kerajaan hendaklah merapatkan hubungan kaum antara belia-belia Malaysia dan terus mengekalkan semangat muhibah dan saling hormat-menghormati antara kaum yang merupakan asas keharmonian dan kemajuan yang dinikmati selama ini.

Golongan belia merupakan golongan teristimewa yang bakal mewarisi segala harta, kekayaan dan khazanah yang terdapat di negara ini. Mereka jugalah golongan yang akan mengambilalih kedudukan kepemimpinan  dan generasi tua, yang mana mereka akan dipertanggungjawabkan untuk memastikan adanya kesinambungan pembangunan bangsa dan negara.

Dengan itu, teras pembangunan belia kini hendaklah melahirkan “Belia Malaysia” yang berdisiplin, bersatupadu, bersikap positif, bersemangat waja, berkeyakinan diri, setia kepada negara demi mengujudkan satu bangsa Malaysia yang senada, sehati, sejiwa, di samping mepertingkatkan pengetahuan dan kemahiran yang perlu membolehkan mereka menghadapi cabaran dan dapat menyesuaikan diri dengan olakan zaman dan  pembangunan yang pesat.

Menyedari hakikat ini, maka usaha pembentukan “Belia Malaysia” yang jitu dan berkualiti ini hendaklah dimantapkan, diselaras dan diselenggarakan, khususnya di antara Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sumber Manusia, badan-badan bukan Kerajaan (NGO) dan juga Kementerian Pertahanan yang diberi mandat baru-baru ini untuk melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Menyentuh tentang PLKN, Tuan Yang Di-Pertua,

Saya ingin ucapkan tahniah kepada pelatih-pelatih siri 1 yang telah berjaya melalui program ini bermula pada 16 bulan Februari 2004, dan untuk pelatih-pelatih siri 2 dan 3 yang masih mengikuti latihan, selamat berjuang. Syabas kepada Kementerian Pertahanan, JLKN, MLKN, IPTA, para tenaga pengajar, jurulatih dan semua pihak yang terlibat atas kesungguhan dan kerajinan bagi memastikan PLKN dapat berjalan dengan lancar menepati matlamatnya.

Seperti yang diketahui umum bahawa PLKN mempunyai objektif-objektif murni yang tak perlu saya huraikan satu per satu. Namun sedemikian, terdapat kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku dalam pelaksanaan PLKN, seperti kelemahan logistik, insiden-insiden negatif, kes-kes jenayah dan kesalahan yang mana bukan sahaja pelatih, tetapi jurulatih, staf, dan pegawai juga terlibat. Kejadian-kejadian ini telah mencemarkan objektif-objektif murni PLKN dan menimbulkan kesulitan serta mengaibkan usaha Kerajaan membina sebuah generasi muda yang lebih patriotik, lebih berdisiplin, bersatu padu, mempunyai jati diri dan semangat waja untuk mendukung wawasan negara.

Keadaan ini membuka ruang kepada pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan “menangguk di air keroh”, mengutuk Kerajaan dan bertanggapan  “nila setitik, rosak susu sebelanga” serta mahu PLKN dibatalkan. Cadangan membatalkan PLKN hanyalah dari persepsi sempit dan merupakan pendekatan ibarat mencurahkan air di daun keladi yang tidak mendatangkan sebarang kesan dan faedah.  Kita sepatutnya mengambil langkah yang lebih praktikal dan pragmatik setelah mempertimbangkan manfaat jangka panjang dan kelebihan-kelebihan PLKN.

Saya sebagai Ahli Jawatankuasa Naziran PLKN, telah menerima banyak aduan dan juga cadangan dari pelbagai pihak, termasuklah badan-badan NGO. Dengan itu, saya ambil kesempatan ini mengemukakan cadangan berkenaan untuk dipertimbangkan. A) Mengasingkan pelatih mengikut Jantina, B) Mengadakan kem latihan dengan pengubahsuaian modul untuk pelatih yang tercicir dari sistem persekolahan menengah C)  Tenaga pengajar berkualiti dan berkelayakan dipilih melalui sistem saringan yang lebih terperinci D) Menentukan kuantiti tenaga pengajar adalah mencukupi sebelum pelaksanaan program E) mengadakan rujukan bidang tugas (terms of reference) yang jelas untuk setiap lapisan pegawai dan petugas, termasuklah komandan kem di IPTA F) memperkenalkan rujukan kelakuan (code of conduct) yang tegas untuk pelatih, tenaga pengajar dan lain-lain pegawai G) mempelbagaikan kaedah latihan bagi modul kenegaraan dan modul pembinaan karakter di IPTA H) Pengambilan jumlah pelatih hendaklah berasaskan premis yang sedia ada mampu menampung semua pelatih bahawa pelatih akan memulakan latihan dengan modul latihan fizikal di kem-kem latihan, bukannya modul-modul lain di IPTA I) Mengkaji semula modus operandi keseluruhannya yang melibatkan pengurusan logistik, pengangkutan, pembekalan barangan dan makanan, penyediaan kem dan prasarana kemudahan, keselamatan dan kawalan, Cadangan-cadangan ini harap mendapat pertimbangan sewajarnya supaya pelaksanaan PLKN lebih teratur dan licin.

Tuan Yang Di-Pertua,

Seperkara yang berkaitan dengan PLKN ialah, Saya rasa kita harus berterima kasih kepada kebebasan akhbar yang sedia ada.  Memang benar PLKN yang julung kali ini mempunyai nilai berita atau “news worthiness” yang sungguh tinggi.  Namun, seolah-olah kita terbaca lebih banyak berita buruk sungguhpun berita positif yang disiarkan juga tidak kurang daripadanya.  Walau bagaimanapun, saya percaya pihak media adalah berniat baik dan ingin turut memainkan peranan yang aktif supaya program ini lebih mantap dan disegani pada masa hadapan.  Segala kritikan yang konstruktif harus diteliti.  Apa yang baik biarlah dikekalkan dan apa yang kurang eloklah diperbetulkan.  Liputan akhbar mengenai penyalahgunaan dadah, gangsterisme, pergaduhan, gangguan seksual dan sebagainya memang mengimbaskan situasi sebenar pemuda-pemudi zaman kini.  Dengan ini, PLKN sememangnya harus diteruskan supaya membetulkan akhlak dan sahsiah mereka. 

Memang benar adalah sedikit gopoh untuk melaksanakan PLKN dalam masa yang agak singkat.  Namun, setelah menerima ikhtibar dari tiga siri pengambilan yang terkandung dalam kelompok pertama, saya percaya pihak JLKN sudah bersedia untuk menjalankan tugas dengan lebih baik pada masa hadapan.  Kita juga harus ingat supaya jangan patah semangat danm putus asa disebabkan beberapa insiden yang tidak dijangkakan.  Janganlah “kerana marahkan nyamuk seekor, kelambu dibakar”. Selepas langkah-langkah diambil untuk memperbetul dan memperbaiki kurikulum, metodologi dan modus operandi program, PLKN boleh diteruskan dengan prinsip-prinsip murninya yang asal demi masa hadapan negara kita yang tercinta.

Tuan Yang Di-Pertua,

PROGRAM INTEGRASI PELAJAR

Selain PLKN bagi remaja, untuk memantapkan lagi usaha Kerajaan ke arah menyatupadukan masyarakat terutama dari kalangan generasi muda, maka Program Integrasi Pelajar yang melibatkan murid-murid dari berbilang kaum yang datang dari ketiga-tiga jenis sekolah rendah iaitu SK, SJK(C) dan SJK(T) hendaklah dilaksanakan semula sebagai pelengkap kepada PLKN. Program ini diperkenalkan oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi pada tahun 1986 sewaktu beliau menjadi Menteri Pelajaran.

Bagai kata “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, sekolah-sekolah adalah tempat yang paling sesuai untuk menyemaikan benih-benih perpaduan. Di bawah Program Integrasi Pelajar, murid-murid berbagai keturunan dari SK, SJK(C) dan SJK(T) terutamanya sekolah-sekolah yang berhampiran, boleh bermesra dan  berinteraksi melalui Kegiatan-kegiatan Khas Ko-kurikulum yang terancang. Demikianlah jika peluang bergaul dapat disediakan dengan baik dan dilaksanakan secara sedar serta bertanggungjawab, proses integrasi murid-murid pelbagai kaum dari ketiga-tiga jenis sekolah itu dapat dipupuk dan dibina lebih awal sebelum mereka masuk ke sekolah-sekolah menengah.

KEMISKINAN DI BANDAR

Seterusnya, saya ingin membangkitkan isu kemiskinan di bandar.  Selama ini, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar yang efektif untuk membasmi masalah kemiskinan di Malaysia. Dasar Ekonomi Baru yang dilaksanakan antara tahun 1970-1990 contohnya telah menunjukkan keazaman tinggi kerajaan menuju ke arah ini.

Mengimbas kembali keberkesanan Dasar Ekonomi Baru pada hari ini, memang tidak dipertikaikan bahawa ia telah membawa sumbangan yang besar dalam merapatkan jurang pendapatan antara kaum dan mengurangkan kadar kemiskinan negera. Menurut perangkaan, kadar kemiskinan nasional telah menurun dengan drastik dari 49% pada tahun 1970 kepada hanya 5.1% sahaja pada tahun 2002.

Walau bagaimanapun, dalam era pembandaran (urbanization) dan globalisasi yang pesat ini, kemiskinan bukan lagi wujud di kawasan luar Bandar dan pendalaman sahaja. Kemiskinan penduduk bandar adalah fenomena baru yang berkembang dengan pantas. Menurut perangkaan, kadar kemiskinan negara semakin berkurangan, tetapi malangnya kadar kemiskinan di bandar pula meningkat.

 

1990

1995

Kadar Kemiskinan Negara

16.5%

7.5%

Kadar Kemiskinan hardcore Negara

3.9%

1.4%

 

 

1995

1999

Kadar Kemiskinan di bandar

83800 keluarga

86800 keluarga

Kadar Kemiskinan hardcore di bandar

21800 keluarga

15600 keluarga

(sumber: Rancangan Malaysia ke-8, 2001-2005)

Ini menunjukkan bahawa dasar pembasmian kemiskinan Kerajaan selama ini telah mengabaikan keadaan kemiskinan di bandar. Jika tanpa campur tangan aktif daripada Kerajaan,  pembangunan bandar secara tidak terancang boleh menimbulkan bencana manusia yang dahsyat. Lebih membimbangkan apabila kehidupan terdesak sering dikaitkan dengan pencemaran alam sekitar, gejala sosial, jenayah, keganasan, keciciran dalam kehidupan dan pendidikan akibat peningkatan kadar kemiskinan di bandar.

Untuk membasmi kemiskinan, langkah pertama ialah menentukan takrif miskin dari semasa ke semasa. Unit Perancang Ekonomi (EPU) perlu mengkaji semula takrif yang betul-betul sesuai dengan keadaan sebenar mengikut keadaan di setiap kawasan.  Ini kerana taraf kehidupan di bandar besar amat tinggi manakala di luar bandar lebih rendah. Sudah tentu tahap kemiskinan di kedua-dua kawasan itu juga berbeza.

Berdasarkan garis panduan EPU pada 2002, golongan miskin merujuk kepada keluarga berpendapatan bulanan di bawah paras RM529 di Semenanjung,, RM600 di Sarawak dan RM690 di Sabah. 

Bagaimanapun, pendapatan isi rumah RM529 mungkin hanya boleh dikategorikan sebagai golongan miskin di luar bandar tetapi bukannya di bandar.  Di kawasan bandar, jumlah itu mungkin boleh dianggap sebagai kategori kemiskinan tegar.   Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan oleh EPU perlu membezakan dengan jelas pendapatan isi rumah di kawasan bandar dan luar bandar, dan mengambilkira bilangan ahli keluarga yang perlu dibiayai.

Kedua,  penekanan dan fokus membasmi kemiskinan di bandar oleh Kerajaan harus ditonjolkan agar semua pihak dan setiap lapisan masyarakat sedar serta berusaha sama atau “integrated effort” menangani masalah ini. Lantaran itu, satu agensi pelaksana yang ditugaskan secara khas perlu diwujudkan untuk mengendalikan isu kemiskinan di bandar ini dan melaksanakan polisi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan  yang diberi mandat untuk menyelia usaha ini.

Ketiga, selama ini, terdapat banyak badan sukarela juga bergiat secara aktif dalam memberi bantuan kepada golongan miskin di bandar. Badan ini selalunya berunsur keagamaan dan kebajikan. Usaha membasmi kemiskinan di bandar adalah satu rangka kerja jangka panjang, maka Kerajaan harus mendapatkan kerjasama dan bantuan dari badan sukarela sedemikian. Lantaran itu, Kerajaan juga harus memberikan sokongan kewangan dan pengiktirafan kepada badan ini supaya badan ini boleh meneruskan usaha baik mereka ini dengan lebih licin.

Keempat, untuk menyelesaikan masalah kemiskinan di bandar secara berkesan, bantuan peringkat akar umbi adalah mustahak. Malangnya, didapati pekerja komuniti yang bekerja secara sepenuh masa adalah jauh tidak mencukupi, baik dari Jabatan Kebajikan, Jabatan Pendidikan atau Jabatan Belia dan Sukan.

Oleh itu, untuk memenuhi kekurangan ini, Kerajaan harus mengupah lebih banyak pekerja komuniti (social / community workers) untuk memberi fokus dalam aspek kerohanian, kebajikan, counseling dan bimbingan kerjaya penduduk miskin di bandar. Selain itu, kempen-kempen merekrut (recruit) pekerja komuniti yang rela bekerja secara sukarela, ke arah mewujudkan satu masyarakat penyayang.

Kelima, mendirikan flat di tapak asal kawasan rumah setinggan yang merupakan kawasan tumpuan penduduk miskin di bandar. Hampir semua penduduk rumah setinggan enggan berpindah ke kawasan perumahan kos rendah yang jauh dari bandar atau kediaman asal mereka, kerana kawasan baru itu adalah jauh, tidak ada ameniti sosial yang berhampiran, kekurangan peluang kerja, pengangkutan awam yang serba kekurangan dan sebagainya.

Keenam, pendidikan merupakan antara aspek yang paling penting untuk meningkatkan kedudukan dan mobiliti sosial penduduk miskin ini. Namun, oleh kerana anak-anak di keluarga miskin ini tidak mendapat perhatian yang mencukupi, maka kadar keciciran mereka dari sekolah adalah tinggi, sehingga mereka hanya layak dan mampu menjalankan kerja buruh atau industri yang tidak membawa ganjaran upah yang tinggi.

Untuk meningkatkan keupayaan mereka di pasaran tenaga kerja, maka pihak Kerajaan perlu menyediakan beberapa kemudahan kepada mereka, termasuk mendirikan dewan dan pusat komputer, mengadakan tusyen percuma kepada anak-anak murid, atau kadang-kadang mengadakan latihan kursus tambahan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Ketujuh, kemudahan asas di rumah setinggan, rumah panjang atau “transit home” adalah buruk dan perlu ditingkatkan, khasnya dari segi bekalan elektrik dan air, dan pengutipan sampah. Kawasan berkenaan ini juga selalu ditimpa banjir kerana masalah perparitan. Tempat rekreasi juga harus disediakan untuk memupuk cara hidup sihat di kalangan penduduk ini.

Kelapan, kemudahan penjagaan anak juga perlu disediakan di kawasan kediaman orang miskin, ini memudahkan ibu bapa mereka keluar bekerja. Di kawasan luar bandar dalam bidang perladangan dan estet, kemudahan ini sebenarnya adalah diwajibkan dibekalkan oleh pihak majikan. Namun bagi kawasan setinggan di bandar ini, Kerajaan Tempatan seharusnya bertanggungjawab membekalkan kemudahan ini.

Kesembilan, membantu menubuhkan Jawatankuasa Penduduk di kawasan rumah setinggan. Suara penduduk setinggan miskin ini adalah lemah kerana mereka terdiri daripada golongan tidak berpelajaran yang tidak menyedari hak asasi diri sendiri. Maka banyak pihak seperti majikan yang tidak bertimbang rasa, cuba mengambil peluang menindas hak mereka.

Di kawasan kampong, terdapat jawatankuasa keselamatan untuk menjaga kepentingan penduduk setempat.Tetapi bagi penduduk miskin di bandar ini pula, mereka kekurangan satu barisan perwakilan untuk menjaga kebajikan dan menyuarakan masalah mereka secara berkesan.

Kesepuluh, salah satu punca utama yang mewujudkan banyak golongan miskin di Bandar, adalah kerana polisi kerajaan yang membenarkan kemasukan dan penglibatan pekerja asing dalam bidang kerja tertentu, seperti pembinaan, ladang, perkhidmatan dll.

Peluang kerja dalam bidang ini sudah dimonopoli oleh pekerja asing yang hanya diberi gaji rendah, menyebabkan warganegara sendiri yang hidup miskin di bandar tidak dapat mencari kerja yang diingini, atau menyebabkan kadar gaji dalam bidang kerja ini semakin jatuh.

Selain itu, banyak juga rumah setinggan telah didiami oleh pendatang asing yang haram, mengganggu keamanan setempat. Untuk mengatasi masalah ini, pendatang haram harus dihantar balik. Bilangan pendatang asing yang sah juga harus dikurangkan. Bagi pendatang asing yang sah juga, Kerajaan mesti menetapkan polisi ketat, mewajibkan pihak majikan menyediakan kawasan kediaman kepada mereka. Mereka adalah tidak dibenarkan mendiami kawasan rumah setinggan.

Kesebelas, dalam menangani masalah kemiskinan di bandar ini, saya berpendapat bahawa tahap inflasi dan taraf hidup di bandar juga perlu diberi kawalan yang baik. Tahap inflasi dan taraf hidup ini boleh  menurut tahap pembangunan sesebuah negara serta bersepadan dengan kemampuan rakyat. Jika tidak, penduduk di bandar akan terus menghadapi masalah kesempitan kewangan walaupun mereka menerima amaun pendapatan yang sebenarnya agak tinggi.

PENDIDIKAN

DYMM dalam titah ucapan baginda ada menyentuh beberapa isu pendidikan, antaranya ialah pewujudan  Sekolah Wawasan, pelaksanaan Program Integrasi Pelajar serta pelaksanaan Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.  Baginda memberi perhatian kepada isu-isu semasa pendidikan dan prihatin terhadap perkembangannya.  Oleh yang demikian, marilah kita melihat satu gambaran besar tentang pendidikan negara kita.

Pendidikan sebagai satu alat pupukan identiti rakyat negara perlulah berwawasan.  Pendekatan yang digunakan perlulah mudah diterima dan sesuai dengan masa.  Ia sepatutnya dapat menyempurnakan cita-cita pendidikan untuk mengwujudkan rakyat yang bermoral, berilmu, beragama, berbadan sihat, muhibbah dan bersatu padu serta berdaya apersiasi terhadap seni.  Lantaran itu, system pendidikan sekarang yang terlalu menitikberatkan kepada penyampaian ilmu dan kemahiran di negara kita perlulah diteliti dan difikir masak-masak perkembangan dan implikasinya.   Jika kita ada sekolah-sekolah yang terlalu mementingkan keputusan peperiksaan sahaja sehingga mengabaikan tumbesaran mental pelajar-pelajar, siapa yang perlu dipersalahkan?  Jika anak-anak kita terpaksa berusaha keras sehingga pukul 11 malam untuk menyiapkan kerjarumah yang diberi cikgu dan ada-ada saja peperiksaan yang menunggu mereka, siapa yang akan rasa sakit hati?  Pendek kata, kita perlu menilai semula system pendidikan negara kita.  Oleh yang demikian, saya mencadangkan kepada Dewan ini supaya satu Jawatankuasa Pernilaian Semula, dengan izin, A Review Committee, yang diketuai bersama oleh YB Menteri Pelajaran dan YB Menteri Pengajian Tinggi dibentuk untuk meangani perkara ini.

Tuan Yang Di-Pertua,

BAHASA INGGERIS, MATEMATIK & SAINS

Saya ingin menyentuh topik tentang pengajaran matapelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris.  Tidak dapat dinafikan bahawa Bahasa Inggeris adalah satu bahasa antarabangsa.  Adalah satu kemestian bagi rakyat kita untuk menguasai, dengan izin, “lingua-franca” ini demi meningkatkan daya-saing negara di arena antarabangsa. 

Program pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris telah dilancarkan pada tahun lepas. Hasrat kita adalah agar daya penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dapat dipertingkatkan. Di samping itu, kita juga ingin melihat peningkatan dari segi penguasaan matematik dan sains.

Beberapa isu telah ditimbulkan dan izinkan saya menerangkan isu-isu ini. Pertama, kita risau bahawa daya penguasaan bahasa ibunda di kalangan pelajar terjejas. Kita sedari tentang kepentingan menguasai bahasa Inggreris. Tetapi janganlah sampai merugikan anak-anak kita sehingga mereka kandas dalam bahasa ibunda mereka sendiri!

Kedua, kita risau keputusan peperiksaan bagi matapelajaran sains dan matematik akan merosot. Ini adalah kerana sebahagian pelajar lemah dalam bahasa Inggeris. Pada tahun 2002, keputusan UPSR bagi bahasa Inggeris mencatatkan kelulusan 63.4%. Manakala kelulusan bagi bahasa Melayu, Tamil dan Cina adalah lebih 80%. Adakah ini bermaksud program penggunaan bahasa Inggeris dalam matapelajaran sains dan matematik kita ini perlu dihentikan?  Tidak sama sekali.

Usaha ke arah meningkatkan daya penguasaan bahasa Inggeris di kalangan warga Malaysia ditangani secara objektif dan sistematik.  Pelajar wajar didedahkan kepada penggunaan bahasa Inggeris secara beransur-ansur. Sila ambil perhatian bahawa tujuan program ini bukanlah untuk menguji tahap dan daya penguasaan bahasa Inggeris. Kita tidak mahu anak-anak kita tercicir dalam peperiksaan semata-mata kerana lemah dalam bahasa asing.

Maka, saya mencadangkan agar ujian dan peperiksaan bagi matapelajaran sains dan matematik, di sekolah-sekolah jenis kebangsaan, diuji dalam bahasa ibunda masing-masing.

PEMBINAAN SJK

Pembangunan sektor pendidikan nampak lebih signifikan apabila YAB Perdana Menteri membuat rombakan kabinet dengan mengujudkan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. Langkah ini menunjukkan bahawa Kerajaan terus memberi penekanan yang khusus dalam sektor pendidikan. Ini adalah kerana dasar-dasar pendidikan yang dilaksanakan haruslah relevan dengan kehendak semasa dan memberi peluang-peluang pendidikan dengan skop yang seluas dan ke tahap yang setinggi mungkin kepada  generasi muda kita demi kepentingan jangka panjang negara.

Dalam konteks ini,  pendidikan dijadikan sebagai satu alat untuk memenuhi keperluan sumber manusia yang berkualiti untuk pembangunan negara serta melahirkan masyarakat yang berintegriti.  Dengan itu, kita perlu menubuhkan lebih banyak institusi pendidikan yang kondusif dan selesa untuk pengajaran dan pembelajaran. Strategi yang harus digunapakai ialah mempelbagaikan dan memperbanyakkan kemudahan pelajaran di semua peringkat, dari pra- sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah hinggalah ke kolej dan universiti.

Kita semua sedia maklum bahawa saiz optimum sebuah sekolah ialah dengan keluasan tanah 6 ekar,  bilangan pelajar tidak melebihi 805 orang, tidak melebihi 23 bilik darjah dengan bilangan pelajar tidak melebihi 35 orang satu kelas. Namun begitu, terdapat sekolah-sekolah dengan keluasan tanah yang kecil tetapi terpaksa menampung beribu-ribu pelajar. Keadaan ini adalah sangat ketara di kawasan bandar dan bandaraya termasuklah Kuala Lumpur, Johor Bahru, Petaling Jaya dan lain-lain lagi. Saya ambil SJK(C) Lick Hung di dalam kawasan Parlimen Kelana Jaya sebagai contoh, di mana ianya dengan keluasan tanah 3.2 ekar terpaksa menampung seramai 3836 orang murid, 78 kelas dibuka dengan 50 orang satu kelas. Banyak lagi sekolah menghadapi keadaan yang sama di Daerah Petaling dan bandar-bandar lain.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa Kerajaan ada berusaha membina sekolah-sekolah baru, akan tetapi bagi kawasan-kawasan kritikal yang tersebut di atas, misalan di Daerah Petaling, di mana kadar pertambahan bilangan murid bagi SJK setiap tahun di antara  1998 hingga 2004, adalah di dalam lingkungan 7.5% hingga 8.5%,  maka untuk menampung keperluan penempatan murid, mempelbagaikan dan memperbanyakkan kemudahan pelajaran yang kondusif, tapak-tapak rezab sekolah di kawasan perumahan baru hendaklah diperuntukkan bagi pembinaan SJK.

Saya percaya, Kerajaan yang jujur, prihatin dan mengutamakan rakyat di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, akan memastikan anak-anak kita dididik dan dibesarkan dalam persekitaran yang kondusif, membolehkan mereka menjadi warganegara yang berpengetahuan, beretika, bertanggungjawab dan berkebolehan bagi mencapai taraf hidup yang lebih baik serta memenuhi kehendak-kehendak negara selaras dengan prinsip-prinsip Rukunegara.

Tuan Yang Di-Pertua,

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dewan yang mulia ini  dan sekali lagi ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Di-Pertua kerana diberi peluang untuk menyokong usul menjunjung kasih titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.  

“Berterbangan sekawan rama-rama

hinggap seekor di atas lalang

marilah kita berusaha sama-sama

jadikan negara tercinta cemerlang, gemilang dan terbilang”

Dengan pantun ini, saya mohon menyokong usul yang dicadangkan oleh Yang Berhormat bagi Temerloh.

Sekian, terima kasih.

 

Home Back My Profile 简介 My Opinion 观点 In the News 新闻 Gallery 活动照片 Voter Search Links 网站连接 Contact Us 联络 Advanced Search
Send mail to mpcentre@kelanajaya.com.my with questions or comments about this web site.
Copyright © 2004 - 2009 Loh Seng Kok 卢诚国
Last modified:  Monday, August 10, 2009