Loh Seng Kok

Parlimen Malaysia

Barisan Nasional MCA

Loh Seng Kok 卢诚国
Member of Parliament for Kelana Jaya
雪州格拉那再也区国会议员
(2004 - Feb 2008)

Today is 

Peg. JASA, Kualiti Penyiaran dan Globalisation Berita

Home
Back
My Profile 简介
My Opinion 观点
In the News 新闻
Gallery 活动照片
Voter Search
Links 网站连接
Contact Us 联络
Advanced Search

Pages on this website have been viewed
Hit Counter
times

YB Tuan Loh Seng Kok [ Kelana Jaya ] meminta:
a)     Kementerian menjawab teguran bahawa pelantikan pegawai JASA tidak mencerminkan komposisi rakyat di Malaysia yang sepatutnya dan peranan yang kurang jelas dimainkan oleh pegawai-pegawai berkenaan.
b)     Kementerian menyatakan apakah usaha-usaha untuk memastikan penyatuan dari segi kawalan dan seliaan terhadap stesen televisyen Kerajaan dan swasta.
c)     aspek latihan, kemahiran, maklumat dan pengetahuan pegawai-pegawai penyiar terutamanya yang muncul di kaca televisyen diperhebatkan lagi.
d)     supaya berita 24 jam dapat diwujudkan dalam konteks globalization bagi memastikan rakyat dan seluruh dunia dapat menikmati perkembangan terkini yang berlaku di Malaysia.

JAWAPAN:

(a)

Pelantikan pegawai JASA adalah tertakluk kepada syarat-syarat   yang   ditetapkan   mengikut   Skim   Perkhidmatan. Syarat asas pelantikan adalah memiliki kelayakan akademik seperti ijazah Sarjana Muda dari universiti yang diiktiraf bagi jawatan Pegawai Penerangan dan Sijil Pelajaran Malaysia serta lulus Ujian Lisan Bahasa Malaysia bagi jawatan Pembantu Penerangan. Di samping itu, jabatan akan mengambil kira kebolehan calon-calon dalam kemahiran komunikasi bersemuka.

Pemilihan pegawai JASA juga adalah berdasarkan kepada matlamat asal penubuhan jabatan dan skop operasi jabatan iaitu bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan khasnya berkaitan politik dan agama.

Jabatan ini juga ditugaskan untuk menangkis tohmahan pihak tertentu yang memutarbelitkan fahaman agama dengan menuduh kononnya kerajaan yang memerintah sekarang sekular, tidak Islamik, zalim dan sebagainya.

Pelantikan pegawai bukan Melayu dibuat berdasarkan kepada keperluan politik setempat, majoriti pengundi serta kesesuaian calon untuk ditempatkan di kawasan Parlimen dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan. Hal sedemikian adalah bertujuan untuk membolehkan pegawai-pegawai berkenaan dapat memainkan peranan yang berkesan sesuai dengan keperluan masyarakat setempat.

(b)

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau AKM 1998 yang menggantikan Akta Penyiaran tetap memperuntukkan kawal selia terhadap stesen televisyen Kerajaan dan swasta. Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) bertanggungjawab memantau stesen televisyen swasta manakala Kementerian Penerangan melaksanakan pemantauan ke atas stesen televisyen Kerajaan.

Walaupun pemantauan ke atas stesen-stesen televisyen milik Kerajaan dan swasta dilaksanakan oleh dua Kementerian, namun kesemua garis panduan dan peraturan yang digunakan adalah selaras kerana ia pada akhirnya akan memastikan kandungan bahan siaran sesuai bagi tontonan awam serta melindungi kepentingan negara, Kerajaan dan orang awam.

Salah satu usaha Kerajaan dalam penyatuan kawal selia ini adalah melalui penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Pemantauan Siaran Televisyen dan Radio Awam dan Swasta (JKPPSTRAS) yang ditubuhkan pada 14 Julai 2004 berasaskan keputusan Jemaah Menteri. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh KTAK dan dianggotai oleh Kementerian dan agensi awam yang berkepentingan termasuklah Kementerian Penerangan.

JKPPSTRAS   telah   menyiapkan   Garis   Panduan   Menyeluruh Mengenai Penyiaran Program Televisyen dan ianya akan mula diguna pakai secara menyeluruh di semua stesen televisyen tempatan, sama ada stesen awam mahupun swasta setelah mendapat kelulusan Kerajaan.

Garis panduan ini member! penekanan kepada lima aspek iaitu keagamaan dan kepercayaan, ideologi dan politik, ketertiban dan kesusilaan, sosiobudaya serta kesenian dan kebudayaan. Walau bagaimanapun, garis panduan sedia ada, seperti Garis Panduan Lembaga Penapisan Filem, Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia, Garis Panduan Penyiaran RTM, Kod Pengiklanan Kementerian Penerangan dan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-bahan Penyiaran Menyentuh Seni dan Budaya akan terus diguna pakai.

(c)

Kementerian  Penerangan amat sedar untuk menjadi seorang penyiar dan penyampai radio dan televisyen yang berketerampilan, berwibawa dan berjaya memikat perhatian penonton kepada maklumat yang hendak disampaikan, mereka bukan sekadar perlu tahu teknik berhadapan dengan kamera dan berkomunikasi dengan baik tetapi juga perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan. Ciri-ciri seperti inilah yang turut diberikan keutamaan oleh RTM dalam memilih penyampai di televisyen sama ada daripada kalangan kakitangan sendiri ataupun yang diundang dari luar.

Kemahiran ini perlu ada pada setiap penyampai berita, wartawan di lokasi, pengulas acara siaran langsung, pengerusi forum bicarawara ataupun pengacara rancangan hiburan. Aspek inilah yang turut diberikan penekanan oleh setiap penerbit rancangan dalam memilih penyampai bagi rancangan-rancangan mereka. Melalui sesi kursus anjuran Institut Penyiaran Tun Abul Razak (IPTAR) atau taklimat dengan penyampai, perkara yang sama turut dimaklumkan. Selain itu, penerbit rancangan selalu memperingatkan setiap penyampai supaya membuat persiapan membaca maklumat berkaitan topik mengenai rancangan berkenaan dan merancang soalan wawancara untuk tetamu undangan. Persiapan ini penting untuk memastikan mereka nampak benar-benar berpengetahuan dan dapat meyakinkan penonton agar memahami perkara yang hendak disampaikan dan dapat menerima mesej secara berkesan.

(d)

RTM memang mempunyai rancangan untuk mewujudkan saluran berita 24 jam bagi memastikan rakyat dan masyarakat antarabangsa mengikuti perkembangan terkini yang berlaku di Malaysia dan dunia. Cadangan mewujudkan saluran berita ini boleh direalisasikan apabila RTM menggunakan perkhidmatan TV Digital tidak lama lagi. Bagaimanapun buat masa ini, masyarakat termasuk di peringkat antarabangsa boleh mengikuti perkembangan yang berlaku di Malaysia dengan mengikuti saluran televisyen RTM yang turut dipancarkan melalui satelit MEASAT 3 sejak 25 Januari 2007 yang meliputi 70 peratus kawasan dunia yang melibatkan 110 negara di samping melalui streaming di laman web RTM. Melalui laman web berkenaan juga, laman 'BES ONLINE' turut disediakan yang memaparkan berita-berita semasa di peringkat tempatan dan antarabangsa dalam bahasa Malaysia dan Inggeris yang sentiasa dikemaskini.

 

Home Back My Profile 简介 My Opinion 观点 In the News 新闻 Gallery 活动照片 Voter Search Links 网站连接 Contact Us 联络 Advanced Search
Send mail to mpcentre@kelanajaya.com.my with questions or comments about this web site.
Copyright 2004 - 2009 Loh Seng Kok 卢诚国
Last modified:  Monday, August 10, 2009